Dunia Kembar Bencana
Itulah sebahagian dari ciri asas kehidupan duniawi. Rintangan dan ‘cobaan’ adalah ‘saudara kembar’ kehidupan. Di sebalik kesenangan ada kesusahan. Niamat dan niqmat silih berganti. Suka dan duka datang dan pergi.
Kerana itu, sejahtera dan bahagia yang ‘solid’ tidak pernah wujud dalam dunia. Usaha mencari keseronokan sempurna ‘di sini’ adalah sia-sia.
Bahagia dan aman yang mutlak itu hanya wujud di dalam syurga Allah.
Berdoa Selepas Ikhtiar
Namun, Allah tidak membiarkan hambaNya begitu sahaja. Sekalipun musibah ‘menggila’ di keliling pinggang, peluang untuk mengelak atau meminimakan ‘hentakan’ kecelakaan masih ada.
وقال ربكم ادعوني أستجب لكم
Dan Tuhanmu berkata : “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu.
Kerana, yang berkuasa memberi manfaat atau mendatang mudarat itu hanyalah Allah. Terselamatnya hamba daripada musibah adalah keranaNya. Terdedahnya manusia kepada bencana adalah juga keranaNya.
Hakikatnya manusia ‘sifar upaya’ untuk memastikan keselamatan diri. Kerana itu, selepas usaha dan ikhtiar, doa adalah cara terbaik mengelakkan diri dari bencana. Bukan seperti ‘qadariyyah’ yang semata-mata bergantung ke atas usaha. Bukan juga seperti ‘mu`attilah’ yang berdoa semata. Bahkan bukan juga dengan tangkal mahupun kayu kokka!
Maaf jika ada yang terasa. Sehingga kini saya tidak mampu menjustifikasikan buah kokka sebagai pendinding. Tiada dalil atau fakta.
Sedar Tentang Kelemahan Diri
Sekalipun kempen-kempen keselamatan di jalanraya seperti kempen ‘memakai tali pinggang keledar’,’ mengikat topi keledar serta menukarnya 5 tahun sekali’, ‘patuhi had laju’, ‘toleh kiri dan kanan sebelum melintas’ diperhebatkan, namun sebenarnya ia masih belum memadai. Semata-mata bergantung kepada usaha manusia dan kecanggihan teknologi tidak menggambarkan jiwa hamba. Sekadar ‘berhati-hati’ atau ‘memandu perlahan di tepian jalan’ belum menjamin keselamatan diri.
Ikatlah unta kamu dahulu kemudian barulah bertawakkal!
Benar, kita disaran bersiap sedia dan berusaha untuk mencapai sesuatu atau mengelak dari sesuatu. Tetapi kita juga dituntut menyertakan doa dan tawakkal pada setiap usaha. Inilah yang membezakan aliran Ahli Sunnah wal Jamaah dengan aliran-aliran yang menyimpang.
Siapa lagi yang mampu menjamin keselamatan manusia?
Ekspres Mara Liner dan Doa
Jika tidak salah, dicelah belasan kali pengalaman bermusafir ke utara Tanah Air, 3 daripadanya adalah dengan menggunakan khidmat Bas Ekspres Mara Liner . Penulis masih teringat pesanan pemandunya yang lebih kurang begini :
“Saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian, pada jam 12 malam sebentar nanti kita akan memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur dan akan sampai di Alor Setar dalam sekitar jam 6 pagi nanti. Kami berharap anda semua berada dalam keadaan tenang dan selesa. Sebelum kita memulakan perjalanan, marilah sama-sama kita membaca doa."
Apa yang membuatkan penulis merasa tenang ialah pemandunya sering mengingatkan penumpang agar berdoa memohon keselamatan kepada Allah. Seingat penulis, ketika doa dibaca, ketika itu jugalah kelihatan ramai penumpang-penumpang mengangkat tangan mengaminkan doa. Bahkan tidak kurang juga yang menambah dan membacakan doa sendiri.
Mengagumkan!
Doa Di Luar Rumah
Teringat, sewaktu berada di tingkatan 3 dahulu, guru saya Ustaz Shamsuddin Wadin pernah mengajarkan kami serangkap doa apabila keluar rumah. Doa itu merupakan saranan Rasulullah s.a.w yang telah direkodkan oleh imam Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan lain-lain.
Dengan Nama Allah, aku berserah kepada Allah (dalam segala urusan). Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung denganmu dari tergelincir, tersesat, melakukan kezaliman (terhadap orang lain) atau dizalimi (oleh orang lain), memperbodohkan orang lain atau diperbodohkan orang lain.
Oleh kerana bencana dan kejahatan itu banyak dan sukar diduga, maka Nabi mengajarkan doa yang menyeluruh dan merangkum.
Rekomen dari Malaikat
Mereka yang berdoa, sebenar turut juga didoakan oleh pegawai atau ‘kabel’ Allah.
Sesiapa yang berkata ketika keluar dari rumahnya : “Dengan Nama Allah, Aku berserah kepada Allah. Tiada daya dan upaya kemampuan melainkan dengan Allah.” Nescaya malaikat akan mendoakannya : “Semoga dipermudahkan urusanmu. Semoga Engkau dijaga dari sebarang kejahatan dan bala.” Serta syaitan juga akan menjauhkan diri darinya.
Selain doa di atas, ada juga doa yang bersifat umum yang menolak segala jenis bencana dan kejahatan secara ‘borong’. Doa ini pendek dan popular.
Sesiapa yang membaca : “Dengan nama Allah yang dengan namaNya tidak akan memberi mudarat oleh sesuatu yang ada di bumi dan juga di langit. Dan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, nescaya ia tidak akan ditimpa bencana mengejut sehingga pagi. Dan sesiapa yang menyebutnya 3 kali diwaktu pagi, nescaya tidak akan ditimpa bencana mengejut sehingga waktu petang.
H.R Abu Daud & Tirmizi
Sebagai tanda kasih pada yang tersayang, usahlah sekadar berpesan "Jaga diri ye", "pandu kereta perlahan-lahan", "bawa motor tepi-tepi" dan sebagainya. Tetapi ingatkanlah mereka di kala mereka berpergian atau disaat meninggalkan mereka, "Jaga diri ye, jangan lupa berdoa tau!", "Tiga Qul jangan lupa baca"
Insya Allah, Allah pasti tidak mensia-siakan anda!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan