20 Mei 2019

Bolehkah Beri`tikaf Di Surau?



Erti dan Hukum I`tikaf

I`tikaf adalah suatu ibadah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Asalkan kita masuk masjid, kita disunatkan berniat i`tikaf, walaupun tempohnya sekejap. I`tikaf bermaksud, berada dalam masjid dengan niat i`tikaf (Mughni Al-Muhtaj). 

Walaupun waktu i`tikaf bersifat terbuka, tapi waktu paling afdhal kita digalakkan i`tikaf ialah pada 10 hari kedua dan 10 hari ketiga di bulan Ramadhan. Sebab Nabi kita melakukannya (H.R Al-Bukhari dan Muslim).

Hikmah I`tikaf

I`tikaf digalakkan kerana ia memberi peluang kepada pelakunya untuk menambah ibadah dan ketaatan ketika berada di dalam masjid seperti solat sunat, membaca Al-Quran, menghadiri majlis ilmu, berzikir dan seumpamanya. 

Cara I`tikaf

Cara yang paling afdhal ialah menggabungkan i`tikaf dengan berpuasa, iaitu kita duduk dalam masjid dengan niat i`tikaf, beribadah sambil berpuasa. Namun, boleh juga beri`tikaf tanpa puasa. 

Kita boleh i`tikaf seberapa lama yang kita mahu. Kita juga boleh niat i`tikaf sambil-sambil kita belajar, menghadiri majlis akad nikah, bermesyuarat, menunggu orang lain atau membersih, vakuum carpet dan sebagainya. Ia cara mudah untuk dapat pahala tambahan, insya Allah.

Tapi, kalau setakat melintas masuk dalam masjid dari pintu kemudian keluar ke pintu yang lain, ia tidak memadai. Ulama menyebutkan, perlu kita masuk dan 'stay' sekejap barang 2-3 saat sambil niat i`tikaf, lepas tu keluar. Ini tempoh minimum i`tikaf yang dibenarkan (Tuhfat Al-Habib `Ala Syarh Al-Khatib).

Lokasi I`tikaf

Tempat i`tikaf adalah di masjid. Namun, timbul persoalan adakah sah kita i`tikaf di surau atau musalla?

Di sini, kita perlu menilai dulu pengertian masjid. Dari situ, baru kita akan lihat, boleh atau tidak beri`tikaf di surau dan musalla.


Para ulama membahagikan masjid kepada 2 kategori:

1) Masjid Al-Jami`(الجامع)
2) Masjid Al-Jama`ah (الجماعة)


Masjid Al-Jami` atau juga ditulis dengan 'jamek' bermaksud setiap masjid yang didirikan padanya solat jumaat. Ini kerana maksud al-jami` ialah yang menghimpunkan. Ia merujuk kepada fungsi masjid yang mengumpulkan umat Islam di hari Jumaat untuk menunaikan solat jumaat. 

Berdasarkan maksud ini, setiap surau yang diizinkan untuk tunaikan solat jumaat adalah termasuk dalam kategori masjid. 

Masjid Al-Jama`ah pula setiap tempat yang dikhususkan untuk aktiviti solat fardu secara berjemaah secara konsisten. Berdasarkan ciri ini, surau-surau biasa di taman-taman, kampung-kampung dan seumpamanya, yang mempunyai organisasi pengurusan, ditunaikan solat berjemaah 5 waktu dan apa sahaja aktiviti yang mirip dibuat di masjid jamek, maka ia termasuk dalam kategori masjid al-jama`ah walaupun ia tidak bernama 'masjid'.

Fatwa Wilayah Persekutuan tentang Masjid Al-Jama`ah menyatakan :

"Sesetengah surau di Malaysia padanya dilaungkan azan, ditunaikan solat lima waktu berjemaah di dalamnya, bahkan surau-surau ini ada carta organisasinya yang tersendiri dari sudut pentadbiran dan juga bangunan yang sesuai. Surau-surau ini juga telah didaftarkan dengan jabatan-jabatan agama negeri masing-masing untuk mendapatkan pengesahan seterusnya mula beroperasi. Surau-surau seperti ini wujud di kawasan perumahan awam yang mana apabila pihak pemaju ingin memajukan sesuatu kawasan yang majoritinya beragama Islam, maka sebidang tanah telah diperuntukkan untuk dibinakan surau atau masjid yang mana tanah itu akan diambil alih pengurusannya oleh majlis atau jabatan agama yang terbabit. Atas dasar ini, kami melihat, meskipun asal pada namanya adalah surau namun ianya telah menepati ciri-ciri masjid yang telah ditetapkan di sisi para ulama."

Ini bererti, surau di RnR, surau di stesen minyak, surau umum di mall termasuk musalla (seperti padang atau stadium yang sesekali diadakan solat hajat, istisqa` dan seumpamanya), adalah tidak menepati konsep masjid. Maka, ibadah i`tikaf tidak wujud di tempat ibadah sebegitu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...