18 September 2010

Semoga 'Latihan Ramadhan' Menjadi Kebiasaan

Menurut sebuah cerita, sayyidina Ali radiyallahu anhu pernah disapa oleh seorang lelaki di pagi raya.

“Wahai imam, di pagi hari raya anda masih memakai pakaian kasar dan memakan roti dari tepung yang kasar?”


Beliau menjawab :

لَيْسَ الْعِيْدُ لِمَنْ لَبِسَ الْجَدِيْدَ # إِنَّ الْعِيْدَ لِمَنْ طَاعَتُهُ تَزِيْد


اَلْيَوْمَ عِيْدٌ وَغَدًا عِيْدٌ وَبَعْدَ غَدٍ عِيْدٌ # وَكُلُّ يَوْمٍ لاَ نَعْصِي اللهَ فِيْهِ فَهُوَ عِيْدٌ


Bukanlah hakikat perayaan itu untuk mereka yang mengenakan pakaian baru,

Kerana sesungguhnya perayaan itu adalah untuk mereka yang ketaatannya bertambah maju.

Hari ini, esok dan lusa adalah hari raya,

Dan setiap hari yang kita tidak lakukan maksiat kepada Allah padanya adalah hari raya.

(Rujukan : http://ejabat.google.com/ejabat/thread?tid=666699d881d5c12b)

(Kredit : luqmanhakim.multiply.com)


Syawal untuk disyukuri

Ramadhan 1431h telah berlalu pergi dengan sejuta kebaikan dan keberkatan. Syawal pula bertandang sebagai bulan menzahirkan kesyukuran dan kemenangan untuk mereka yang – sekurang-kurangnya – berjaya meningkatkan iman melalui amal taat di dalam bulan Ramadhan.


وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.


Al-Baqarah : 185


Suasana ibadah di waktu siang dan malam amat terserlah di dalam 30 hari yang berkat ini. Di sana sini manusia murah dengan derma dan simpati. Masjid dan surau lebih meriah dengan kunjungan umat yang hadir menunaikan solat berjemaah. Ayat-ayat al-Quran sering kedengaran dibaca secara individu dan berkumpulan. Suasana penuh berkat ini tampak jelas dan zahir dalam bulan Ramadhan.

Kemeriahan ini ada kaitan dengan ketiadaan sang penyesat umat yang dilaknat.

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ

Apabila masuk malam pertama dari bulan Ramadhan, maka syaitan-syaitan dan ketua-ketua jin diikat

H.R Tirmizi, Al-Hakim dll

Ketiadaan ketua-ketua syaitan memberikan lebih peluang untuk insan fokus dalam latihan pembangunan iman.


Akademi Ramadhan – Bulan Latihan

Allah memperuntukkan 29 atau 30 hari dalam bulan Ramadhan sebagai tempoh untuk manusia melatih diri dengan pelbagai jenis ibadah dan amalan sunat. Bermula dengan solat berjemaah, bersedekah, membaca al-Quran, menahan anggota dari melakukan maksiat, mendidik nafsu melalui puasa perut dan anggota, mengawal selera sewaktu berbuka dan berbelanja serta pelbagai lagi.

Harapan untuk kita semua setelah sebulan menjalani kursus akhlak dan rohani dalam akademi ini agar ketaqwaan dan kualiti iman semakin baik dan meningkat.



Persis manusia yang menghadiri kursus pemantapan pengurusan organisasi atau kursus pengurusan emosi atau kursus pemantapan imam dan khatib atau lainnya. Lazimnya kursus intensif seperti itu diadakan secara bertempoh bagi meningkatkan keupayaan peserta dalam bidang-bidang tertentu.


Harapan dari pihak penganjur agar para peserta dapat melaksanakan saranan dan latihan kursus ketika berorganisasi atau sewaktu menguruskan konflik emosi atau di kala menjalankan tugas imam dan khatib dengan lebih berkesan.

Persis itu jugalah latihan sebulan yang dijalankan dalam Akademi Ramadhan. Mudah-mudahan latihan seperti solat berjemaah, bersedekah, membaca al-Quran, menahan anggota dari melakukan maksiat, mendidik nafsu melalui puasa perut dan anggota, mengawal selera sewaktu berbuka dan berbelanja bertukar menjadi kebiasaan untuk baki 11 bulan yang mendatang.

Itulah antara objektif (maqasid) di sebalik modul kursus Akademi Ramadhan seperti yang dijelaskan oleh ‘Penganjur Akademi’.

Ke semua bentuk amalan sunat itu dipakejkan agar membentuk nilai TAQWA dalam diri insan.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

Al-Baqarah : 183



Hamba Ramadhan, hamba nafsu dan hamba Tuhan

Ada manusia yang sudah mula meninggalkan rutin Ramadhan di kala syawal menjelang. Atau barangkali memang tidak pernah terbiasa melaksanakan saranan Allah dan Rasul di musim Ramadhan. Bagi golongan ini, Ramadhan atau tidak, tidak menjelmakan sebarang perbezaan buat mereka. Zahirnya mereka berpuasa seperti orang lain.

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ

Ramai orang yang berpuasa itu hanya mendapat habuan penat menahan lapar dan dahaga dari puasanya.

H.R Ahmad, al-Hakim dll

Golongan pertama ini digelar ulama sebagai hamba Ramadhan. Manakala golongan kedua pula dikategorikan sebagai hamba nafsu.

Hamba Ramadhan

Hamba Ramadhan hanya rajin di musim Ramadhan. Kesungguhan dan kerajinan hanya wujud selama Ramadhan itu wujud. Menjelangnya syawal bererti menjelangnya kembali perangai lama dan akhlak mazmumah. Berlalunya Ramadhan turut membawa pergi kerajinan solat berjemaah, membaca al-Quran dan seluruh nilai-nilai mulia yang telah dilakukan sepanjang Ramadhan.


Barangkali itulah punca masjid dan surau menjadi lengang sejurus tamat Ramadhan. Naskhah mushaf kembali berhabuk usang dan manusia semakin jauh dari fitrah hidup berTuhan.

Golongan ini hanya berminat menjadi muslim atau muslimah 'separuh masa'.

Hamba nafsu


Golongan yang bertuhankan nafsu pula tidak pernah peduli dan merasa ghairah dengan kehebatan Ramadhan. Nafsu sangat tidak berkenan dengan pakej ibadah Ramadhan anjuran Tuhan yang dirasakan membebankan dan memenatkan.

إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي

Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.

Yusuf : 53

Membaca al-Quran, solat tarawih, solat berjemaah, bersedekah, berbuka dan berbelanja secara sederhana dianggap menyeksakan dan menyekat kebebasan. Golongan ini tidak sudi membentuk nafsu mereka menurut acuan Nabawi dan Rabbani.

Golongan inilah antara yang didoakan kecelakaan oleh Jibril Alayhis Salam serta diaminkan oleh baginda Rasulullah Alayhis Solatu Wassalam.


بَعُدَ مَنْ أَدْرَكَ رَمَضَانَ، فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ، فَقُلْتُ: آمِينَ

Semoga semakin jauh (dari rahmat Allah) mereka yang bertemu bulan Ramadhan, namun ia tidak mendapat pengampunan Allah. Lalu aku (Rasulullah) berkata : Amin!

H.R Tobrani, al-Baihaqi dll

Hamba Tuhan

Mereka ini adalah golongan yang sentiasa bermujahadah melawan godaan syaitan dan nafsu yang menggila. Meskipun kadangkala tewas dengan desakan godaan dunia, mereka bingkas bangkit kembali memperbetulkan azam, memperbaiki keadaan serta memohon ampun daripada Allah azza wa jalla.
Benar, Ramadhan adalah pesta ibadah dan masa memperbaiki diri. Namun menjadi hamba Allah serta memperbaiki diri tidak hanya terhad pada musim Ramadhan.

Ianya merupakan proses sepanjang hayat.
Justeru, harus menjadi muslim ‘sepenuh masa!’



Ramadhan adalah masa untuk mengecas iman, memperbaharui taqwa serta mempertajam akal. Iman dan taqwa yang telah sempurna dicas ini kemudiannya menjadi perisai dan benteng untuk menghadapi cabaran duniawi pada bulan-bulan berikutnya. Kerana itu, takbir dan tahmid menjadi ucapan pertama menjelang hari raya sebagai tanda syukur dan perhargaan kepada Allah atas kurniaan Ramadhan bulan latihan. 

Memang benar, pemergian Ramadhan amat dirasai oleh mereka yang mengerti. Hanya jauhari mengenal manikam.


Ya Allah, Pertemukan kami dengan Ramadhan-ramadhan di masa hadapan. Jadikanlah di kalangan hamba-hambaMu yang soleh, amin!