25 November 2011

Kebenaran Tuhan Pada Jari-Jemari Insan


Allah pernah menggunakan istilah jari ketika menjawab keraguan segolongan insan. 

Ianya disebutkan dalam surah Al-Qiyamah, ayat 3 dan 4.

Allah menceritakan :

أَيَحْسَبُ الْإِنْسَانُ أَلَّنْ نَجْمَعَ عِظَامَهُ (3) بَلَى قَادِرِينَ عَلَى أَنْ نُسَوِّيَ بَنَانَهُ (4)

Apakah manusia itu mengira Kami tidak mampu menghimpunkan kembali tulang belulang manusia dan menghidupkannya semula? (Bukan sekadar itu) Bahkan Kami berkuasa untuk membentuk semula jari-jarinya!

Golongan kafir di zaman Rasulullah s.a.w pernah mempersoalkan kemampuan Allah untuk menghidupkan semula insan yang telah mati.

“Bagaimana manusia yang telah hancur luluh di dalam tanah itu boleh dibangkitkan lagi?” sindir Abu Jahal.

“Tak masuk akal!” Ujar Adiyy bin Rabi`ah

Allah telah memberi respon kepada golongan yang ragu-ragu. Ianya sebuah respon yang mukjizat. Respon yang telah menjadi salah satu sistem pengenalan diri manusia di seluruh dunia.

Tuhan bukan setakat boleh mencipta semula daging dan tulang manusia yang telah mati, nak bentuk semula corak dan garisan pada jari-jemari pun Tuhan berkuasa melakukannya!

Ada hikmah besar kenapa Allah memilih jari dalam responNya.

Walaupun jumlah manusia sudah mencapai 7 bilion, namun hingga sekarang tiada laporan yang menunjukkan wujud kesamaan corak jari antara 2 insan.


Ajaib bukan? Luasnya permukaan jari sekitar 1 cm X 2 cm tetapi tetap mampu menampilkan perbezaan dari sudut corak dan garisannya. Ia bukan calang-calang corak lengkungan. Ianya adalah identiti untuk setiap insan!

Tiada sebarang kesamaan walaupun di antara kembar seiras!
                                                          

Nabi Muhammad s.a.w yang tidak tahu membaca dan menulis itu telah menyampaikan wahyu ini semenjak lebih dari 1400 tahun yang lampau. Tetapi kita baru menyedari fungsi ayat ini sejak 131 tahun yang lepas melalui penemuan Sir Francis Galton pada tahun 1880.


Sejak itu, cap jari telah banyak membantu dalam proses pengecaman identiti manusia. Bermula dari proses pengecaman manusia melalui kad pengenalan dan paspot hinggalah kepada kes-kes jenayah seperti pembunuhan, rompakan, kecurian dan sebagainya.

Banyak pihak yang mendapat manfaat dari cap jari ciptaan Tuhan. Skuad penyiasat, ahli forensik, jabatan pendaftaran dan termasuklah juga pengarah-pengarah drama penyiasatan bersiri seperti Crime Scene Investigation (CSI) yang popular itu.


Beleklah ibu jari. Kemudian renunglah firman Allah dalam surah al-Qiyamah tadi. Tidakkah terzahir kebijaksaan dan kualiti tinggi perancangan Allah dalam mencipta jari-jemari?

Dari situ, tidakkah juga kehebatan sistem cap jari menjadi dalil atas kehebatan Islam buat kehidupan insan?

Renungilah selalu ayat ke-88 surah an-Naml. Ulangilah bacaan dan kefahamannya.

صُنْعَ اللهِ الَّذِيْ أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ
Begitulah kerja buat Allah yang mencipta tiap-tiap sesuatu dengan teliti.
'Jari' telah menjadi bukti kesempurnaan dan kehebatan ajaran Islam. Kerana Islam dan jari  itu berkongsi Pencipta yang sama.

Tidak diragui lagi.

22 November 2011

Stratosfera & Mesosfera : Tanda Maha Kasih Allah Buat Manusia

Di antara sesuatu perkara yang semua orang tahu mengenainya ialah langit.

Kedudukannya berada di bahagian atas seluruh hidupan di bumi. Melihatnya membuatkan kepala terdongak.

Hampir 300 kali langit disebut di dalam Al-Quran. Kebanyakannya disebut dalam bentuk kata jamak manakala selebihnya dinyatakan dalam bentuk kata tunggal.

Angka tersebut menggambarkan seriusnya Al-Quran dalam mengajak manusia mengenal Allah sebagai Tuhan dengan penuh kesedaran.

Mengenali Tuhan melalui produk ciptaanNya. Lalu timbul rasa kagum dan agung terhadap pencipta.

Persis mereka yang kagum dengan jenama Honda. Keyakinan dan kekaguman itu terbit setelah mereka merenung dan ‘merasai’ kehebatan produk Honda.

Allah mengajak kita melihat langit.

أَفَلَمْ يَنْظُرُوا إِلَى السَّمَاءِ فَوْقَهُمْ كَيْفَ بَنَيْنَاهَا وَزَيَّنَّاهَا وَمَا لَهَا مِنْ فُرُوجٍ

Tidakkah mereka mahu merenung langit yang berada di atas mereka, bagaimana Kami membinanya (tanpa tiang) serta Kami hiasinya (dengan bintang dan planet) dan tidak ada  pula padanya retak dan rosak?
Qaf : 6


Berbicara tentang keajaiban langit memang tiada hujungnya.

Walaupun penemuan demi penemuan berjaya dihasilkan, langit masih sarat dengan 1001 misteri. Masih banyak yang belum benar-benar difahami. Keluasan langit di luar atmosfera, persoalan tentang wujudkah hidupan di planet dan bintang, saiz bintang, ukuran dan jarak, galaksi dan pelbagai lagi.

Berfikir tentangnya boleh membuatkan manusia merasa kerdil dan lemah.

Merasa kerdil berhadapan keajaiban langit. Merasa lemah berhadapan kehebatan sistem ciptaan Tuhan.

“Perghh…!” respon sebuah hati. Tiada kalimah yang mampu terucap.

Fungsi langit di Mesosfera

Setiap rumah, sekolah dan dewan mesti ada bumbung. Binaan yang tiada bumbung adalah binaan yang tidak siap. Ia masih belum sempurna. Bumbung sangat penting bagi sebuah binaan. Ia berfungsi melindungi penghuninya dari hujan, cuaca panas, habuk dan udara sejuk.

Siapa pun tidak ingin menghuni rumah yang tiada bumbung walaupun lantai, dekorasi dan dindingnya mewah dan bercat indah.

Kerana itu langit adalah antara tanda kasih sayang Allah kepada manusia. Ia direka dengan sistem yang sangat canggih bagi melindungi kita di bumi.

Allah menjelaskan sebahagian fungsi langit.

وَجَعَلْنَا السَّمَاءَ سَقْفًا مَحْفُوظًا وَهُمْ عَنْ آيَاتِهَا مُعْرِضُونَ

Dan Kami jadikan langit itu bumbung (untuk bumi) yang terpelihara (dari bocor atau rosak) dan terkawal (dengan sistem), tetapi manusia itu tetap berpaling (tidak memperdulikan) tanda-tanda (kehebatan Kami) padanya.

Al-Anbiya` : 32

Bumi selamat dihuni kerana langit berfungsi sebagai bumbung yang melindungi hidupan.



Sebenarnya, setiap hari bumi kita di‘serang’ oleh asteroid. Namun lapisan Mesosfera di langit telah menjadi ‘bumbung’ protektif. Mana-mana objek yang cuba masuk ke kawasan atmosfera bumi akan bergeser dengan udara di zon Mesosfera lalu terbakar, justeru tiada meteor atau asteroid yang menghempap manusia atau merosakkan binaan dan permukaan bumi.

Mujur bumi tidak seperti bulan. Allah mencipta bulan tanpa bumbung protektif. Sebab itu banyak kawah kecil dan gergasi di permukaan bulan. Ini disebabkan oleh komet atau asteroid yang sentiasa menghentam bulan.



Bulan itu hanya bersebelahan dengan bumi dengan jarak lebih kurang 300,000 km sahaja!

Namun, alhamdulillah atas nikmat langit untuk bumi.

Bumbung bumi : Stratosfera

Selain itu langit juga bertindak sebagai penapis cahaya matahari. Cahaya matahari yang original sebenarnya amat merbahaya untuk manusia dan hidupan lain. Sinaran pembunuh ultra ungu yang belum ditapis boleh menjadikan hidupan di bumi mati dan pupus. Tetapi Pentadbir alam ini telah menyediakan molekul ozon di lapisan Stratosfera agar segala sinaran ultra ungu merbahaya dapat ditapis, lalu matahari menjadi nikmat dan manfaat untuk semua hidupan.

Alhamdulillah tidak ada yang mengadu kanser kulit dan katarak setelah terkena cahaya matahari.

Ramai bayi yang baru lahir didedahkan di bawah sinaran matahari waktu dhuha. Betapa mudah dan percumanya cahaya suria di waktu itu dalam mengurangkan risiko demam kuning.
Ramai suri rumah yang tidak serik menjemur dan mengangkat pakaian di bawah terik matahari.

Ramai buruh binaan yang mampu ‘menjemur’ diri di bawah terik matahari demi sesuap rezeki yang halal.

Haiwan dan tumbuhan menjalani hidup dengan aman dan tiada sebarang gangguan. Semuanya tenang menjalani kehidupan tanpa mengeluh dengan mudarat sang suria!

Lapisan ozon di Stratosfera itu benar-benar telah menjadi bumbung hidupan.

Setiap saat kita menikmati bumbung ajaib Tuhan. Namun kenapa kita sampai hati dan tergamak mengkufuri Tuhan?

Meninggalkan solat, mendedahkan aurat, terlibat dengan hasil mahsul haram, memandang sepi majlis ilmu, menzalimi yang lemah, berhasad dengki, menghina hukum Tuhan dan pelbagai lagi bentuk kufur nikmat yang manusia lakukan…..!

Langit adalah anugerah Allah untuk semua. Untuk Muslim, Non Muslim, haiwan dan tumbuhan. 

Ia bukti kasih sayang Allah yang mendalam kepada semua makhlukNya di dunia. Nikmat-nikmat itu boleh menjadi wasilah untuk insan memperbaiki iman dan amalan mereka.

Sedikit befikir dan merenung terhadap langit akan membuatkan kita terharu dengan luasnya kasih sayang Tuhan kepada kita.

Marilah sama-sama kita berterima kasih kepada Allah.

Berterima kasih bukan sekadar melafazkan ‘alhamdulillah’! tapi juga dengan melaksanakan sarananNya serta menjauhi laranganNya!

16 November 2011

Pembetulan Salah Faham Terhadap Nabi Ibrahim



Berlaku sedikit salah faham terhadap nabi yang bergelar khalilullah ini. 

Segelintir tersalah anggap lalu menyangka bahawa Ibrahim alayhissalam pernah tidak mempunyai agama sebelum dilantik menjadi rasul. Dalam erti kata yang lain, Ibrahim alayhissalam dianggap pernah menempuhi saat kebingungan dalam usaha mencari tuhan yang sebenar.

Ini kerana Ibrahim tidak menyokong kaumnya yang menyembah patung berhala kerana patung itu tidak bercakap, buta dan tuli. Malahan kewujudan berhala itu sendiri bergantung kepada tukang ukirnya, maka bagaimana pula ia boleh memenuhi hajat dan keperluan manusia?

Lalu Ibrahim pun mengalihkan pandangannya kepada bintang, bulan dan matahari serta membuat analisis. Apakah mereka ini layak menjadi tuhan?

Bintang, bulan dan matahari silih berganti muncul di dada langit. Ibrahim meneliti dan memerhati. Namun ke semuanya tidak dapat memenuhi fitrah ingin bertuhan. Sehingga akhirnya Ibrahim menjumpai tuhan yang layak disembah iaitu Allah azza wa jalla.

Itu konklusi dari mereka yang tersalah anggap.

Hakikat sebenarnya bukanlah begitu.

Ada beberapa kaedah yang dipakai dalam merungkai kekeliruan isu ini.

Dimensi Prinsip `Ismah (Ma`sum)

Dimensi ini diperincikan dalam ilmu tauhid.

Kebenaran dalam isu ini ialah setiap nabi dan rasul adalah ‘terpelihara’ (ma`sum). Mereka ini terpelihara daripada terlibat dengan perkara-perkara yang boleh mengaibkan diri, menjatuhkan maruah yang sekaligus menghilangkan kelayakan mereka sebagai rasul dan nabi.

Sebarang penyakit-penyakit yang boleh menghalang manusia dari mendekati dakwah rasul seumpama gila, sopak, penyakit berjangkit dan sebagainya adalah mustahil berlaku. Apa sahaja akhlak dan perangai yang mencederakan maruah rasul adalah sama sekali tidak berlaku seperti mencarut, kencing di khalayak awam, menghisap rokok dan seumpamanya. Segala kesalahan dan dosa, sama ada dosa kecil atau besar, ketika sebelum dan selepas dilantik menjadi rasul dan nabi adalah terhindar dari golongan ini.


Mereka ini golongan istimewa yang dijaga oleh Tuhan agar proses menyampaikan agama Allah menjadi lebih lancar.

“Alah! Dulu dia pun sama minum arak juga. Sekarang ni je baru jadi baik!”

“Nak larang orang lain jangan berbohong? Dulu dia pun 2 X 5...!”

“Eeiii, pergi jauh-jauh dari sini si busuk berkuman!”

Agar manusia tidak menempelak rasul atau memberi alasan begitu bila mereka diajak berubah.

Maka dari prinsip `ismah, nabi Ibrahim alayhissalam sememangnya tidak pernah terpesong atau tersesat akidah

Dimensi Tafsir Al-Quran

Ayat-ayat yang menjadi punca kekeliruan adalah seperti berikut.

وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ (75) فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَى كَوْكَبًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَا أُحِبُّ الْآفِلِينَ (76) فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَئِنْ لَمْ يَهْدِنِي رَبِّي لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ (77) فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَذَا رَبِّي هَذَا أَكْبَرُ فَلَمَّا أَفَلَتْ قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تُشْرِكُونَ (78) إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (79)

75. Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim akan kebesaran dan kekuasaan Kami di langit dan bumi, dan supaya dia (Ibrahim) menjadi orang yang percaya dengan sepenuh keyakinan.
76. Maka ketika waktu malam yang gelap tiba, dia melihat kepada bintang dan berkata : “Inikah tuhanku?” kemudian apabila bintang terbenam, dia berkata pula : “Aku tidak suka (tuhan) yang terbenam hilang!”
77. Kemudian apabila ia melihat bulan terbit, dia berkata lagi : “Inikah tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah ia : “Sekiranya aku tidak diberikan petunjuk oleh tuhanku, nescaya aku akan termasuk di kalangan kaum yang sesat”.
78. Kemudian apabila ia melihat matahari sedang terbit, ia berkata lagi : “Inikah tuhanku? Ini lebih besar!” Namun setelah matahari terbenam, dia berkata pula :  “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri  dari apa yang kamu sekutukan Allah dengannya!”
79. “Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, serta aku tetap di atas dasar tauhid. Dan aku bukanlah dari kalangan golongan yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Al-An`am : 75 - 79

Pembacaan ayat-ayat tersebut perlu digabungkan dengan tafsiran yang muktabar. Supaya kefahaman menjadi tepat dan objektif.

Perhatikan ayat ke-78 dan 79. Ianya petanda jelas bahawa Ibrahim alaihissalam bukan kebingungan mencari Tuhan. Bahkan aqidah Ibrahim sudah utuh berlandaskan La Ilaha Illah. Cuma Ibrahim ketika itu sedang mengamalkan teknik ‘taslim jadaliy’ dengan kaum yang bertuhankan bintang, bulan dan matahari.

Agak sukar untuk menterjemah istilah tersebut secara literal. Namun kefahamannya ialah menggunakan pendekatan menukar dakwaan lawan sebagai hujah ‘makan tuan’ terhadap lawan. Dengan kata lain, kita memperakui hujah dan dakwaan lawan di peringkat awal, lalu menjadikan hujah dan dakwaan yang sama sebagai cara mendiamkan lawan.

Ibrahim sememangnya seorang yang bijaksana. Beliau tidak menggunakan pendekatan menghentam @ provokasi dalam menghadapi kaumnya.

Jika awal-awal lagi Ibrahim memanggilkan mereka “Wahai golongan yang sesat! Wahai golongan tak berotak! Sembahlah tuhan yang benar!” sudah tentu kaumnya tidak akan melayan panggilan Ibrahim. Bahkan sudah tentu juga Ibrahim tidak sempat menyatakan kebenaran kerana sibuk berkelahi, bertengkar atau dihalau penentangnya.

Tetapi dengan kaedah ‘taslim jadaliy’, Ibrahim seakan mengiyakan bintang, bulan dan matahari sebagai tuhan bagi menarik perhatian penganutnya. Ibrahim duduk bersama mereka di waktu malam memerhatikan bulan dan bintang sambil menyatakan : “Owh, ini adalah tuhan?” 

Namun setelah bintang lenyap, bulan dikalahkan siang, Ibrahim menolak ketuhanan bintang dan bulan dengan alasan : “Bukan tuhan namanya jika ia lenyap atau dikalahkan siang.”

Begitu juga di waktu siang. Ibrahim alayhissalam menzahirkan persetujuan terhadap ketuhanan matahari di hadapan penganutnya. Namun apabila matahari hilang ditelan malam, Ibrahim dengan tegas menyatakan :

“Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri  dari apa yang kamu sekutukan Allah dengannya!. Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, serta aku tetap di atas dasar tauhid. Dan aku bukanlah dari kalangan golongan yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Semoga Allah merahmati nabi Ibrahim. Beliau telah mewariskan teladan terbaik dalam kebijaksanaan berhujjah buat penegak-penegak kebenaran sepanjang zaman.

Semoga style dan approach Ibrahim alayhissalam menjadi pengajaran yang menyerap masuk ke dalam jiwa pencinta kebenaran.


Rujukan :
- Tafsir Al-Qurtubi –  Al-Imam Al-Qurtubi
-  Tafsir Mukhtasar Ibnu Kathir – Dr. Ali As-Sobuni
-  Tafsir Syaikh Sya`rawi – Allamah Syaikh Ash-Sya`rawi
-  Mawaqif Al-Anbiya` Fi Al-Quran : Tahlil Wa Taujih – Dr. Solah Abdul Fattah Al-Kholidi

11 November 2011

Jin Juga Seperti Kita!



Sesetengah manusia amat mengkagumi kehebatan jin dan bergantung kepada mereka. Jin dianggap berupaya memberitahu manusia tentang sesuatu perkara yang bakal berlaku. Ini kerana jin dikatakan mengetahui perkara-perkara ghaib dan sesuatu yang akan terjadi di masa hadapan.

Benarkah begitu?

Manusia amat jarang bertemu jin, apatah lagi bersosial dan bermesra dengan mereka. Namun, anehnya sesetengah manusia mempercayai bulat-bulat dengan kata-kata dan saranan jin!

Masa bila mereka berkenalan lalu menjadi ‘member kamcing’ jin?

Kepercayaan terhadap seseorang akan datang setelah perkenalan terjalin dalam tempoh yang agak lama. Ia melalui proses perkenalan, pemerhatian, ramah mesra serta berkongsi pengalaman susah senang bersama. Setelah itu, barulah keputusan layak dibuat, apakah insan tersebut boleh dipercayai atau sebaliknya.

Tetapi proses itu tidak pula dilakukan ke atas jin. Tau-taunya jin sudah boleh dipercayai.

Pelik bukan?

Tunjuk ajar Al-Quran

Allah memberitahu bahawa jin adalah sama seperti manusia.

Sama dari sudut pengetahuan dan kefahaman. Siapa yang belajar akan lebih berpengetahuan dari yang tidak belajar. Natijahnya, manusia boleh jadi lebih pandai daripada jin dan begitu juga sebaliknya. Asal usul api atau tanah tidak pernah mewujudkan perbezaan dari sudut kualiti pengetahuan.

“Siapa berusaha dialah dapat!” Kata pepatah arab yang telah diterjemahkan.

Yang mengetahui secara mutlak hanyalah Allah jua. Dia Maha Mengetahui sesuatu yang telah, sedang dan akan berlaku, yang zahir dan yang ghaib.

Allah memberitahu :

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Sesungguhnya Allah memiliki pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dialah jua yang menurunkan hujan dan mengetahui dengan tepat tentang apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Sedangkan tiada seorang pun yang benar-benar tahu apa yang akan dilakukanya pada esok hari dan tiada seorang yang dapat mengetahui di lokasi manakah ia akan menemui kematian. (Bahkan) Sesungguhnya Allahlah yang Maha Mengetahui lagi amat meliputi ilmuNya.

Luqman : 34

Pengetahuan tentang perkara ghaib adalah eksklusif mutlak milik Allah jua. Bukan milik jin, bomoh dan juga pengarah-pengarah filem!

Renungi firman ini :

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Katakanlah (Ya Muhammad) : Tiada sesiapa pun  di langit dan di bumi yang mengetahui perkara-perkara ghaib melainkan Allah!

An-Naml : 65

Tarikh kiamat, alam barzakh, alam akhirat, alam jin, alam malaikat, sesuatu yang bakal berlaku, ruh si mati dan yang seumpama dengannya hanya diketahui oleh Allah jua.

Kecuali maklumat-maklumat ghaib yang diisytiharkan oleh Allah melalui al-Quran dan as-Sunnah, maka ketika itu manusia berpeluang mengetahui secebis ilmu yang bersifat terhad dari keseluruhan maklumat.

“Maklumat bersifat ghaib itu urusanKu! Makhluk seperti malaikat, jin dan insan hanya mengetahuinya sedikit sahaja, itu pun sangat terhad!” kata Allah.

Itu konklusi dari mafhum ayat 85 dari surah al-Isra`.

Di sebalik kematian Nabi Sulaiman

Cara kematian Nabi Sulaiman alayhissalam dianggap unik. Baginda wafat dalam keadaan berdiri sambil bertongkat di atas sebatang kayu.

Lebih ajaib lagi, kematian Baginda berlaku di hadapan sekumpulan buruh jin yang sedang sibuk membina Baitul Maqdis. Oleh kerana Baginda kekal dalam posisi berdiri, jin-jin tersebut tetap terus mengangkat batu, membina dinding, meratakan lantai dan yang sewaktu dengannya.

“Bila la bos kita tu nak balik rehat? Dah berhari-hari tercegat kat situ. Tak lenguh ke dia berdiri lama-lama?” Keluh seorang buruh jin.

“Betul juga. Alah! Kita buat je la kerja kita. Nanti bos marahkan kita pula. Jangan banyak soal!” Cadang seorang lagi buruh jin.

Jin-jin itu memang takut dengan Nabi Sulaiman alayhissalam.

Bulan demi bulan berlalu. Nabi Sulaiman kekal ‘mengawasi’ buruh-buruhnya sambil berdiri dengan tongkat. Jin-jin sudah mula penat. Tapi mereka gagahi juga kerana gerun mereka kepada nabi Sulaiman mengatasi kepenatan.

Tiba-tiba nabi Sulaiman rebah ke tanah. Jin-jin saling berpandangan kehairanan. Nabi Sulaiman pengsankah?

Setelah diselidik, rupa-rupanya tongkat Baginda sudah mereput kerana dimakan anai-anai! Baru jin-jin tahu bahawa selama ini nabi Sulaiman telah meninggal dunia. Patutlah Baginda ‘membiarkan’ saja anai-anai memakan tongkatnya. Patutlah Baginda sanggup berdiri lama tanpa solat dan berehat.

Pembinaan sudah pun siap. Namun jin-jin itu masih menggaru kepala kehairanan. Bagaimana mereka tidak menyedari kematian Sulaiman?

Ada Ibrah di sebalik kematian Sulaiman alayshissalam. Allah merakamkan kisah ini dalam surah Saba`, ayat 14.

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَى مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنْسَأَتَهُ...

Apabila Kami telah menetapkan kematian (Nabi Sulaiman), maka tidak ada yang menunjukkan kepada jin tanda-tanda kematiannya melainkan anai-anai yang memakan tongkatnya (sehingga reput)…


Cuba perhatikan penghabisan ayat ini.

...فَلَمَّا خَرَّ، تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَنْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ

…Maka apabila Sulaiman telah rebah, baru ternyata kepada jin-jin bahawa kalaulah mereka mengetahui perkara-perkara ghaib, pasti mereka tidak akan terus bekerja berat dalam keadaan terseksa dan hina.

“Pappp!!” seorang jin menepuk dahinya sendiri.

“Laa, dah setahun nabi Sulaiman mati rupanya!??” keluh seorang jin di sebelahnya.

“Kalau aku tahu dia dah mati, dah lama aku berhenti kerja ni…” ujar seorang lagi dengan nada kesal.

Sulaiman alayhissalam mati betul-betul di hadapan sekumpulan jin. Namun tiada seorang  pun dikalangan mereka yang menyedarinya sehinggalah setahun berlalu.

Jika yang berlaku di depan mata pun jin tak tahu, maka apatah lagi benda-benda ghaib dan perkara yang belum berlaku.

Sumber mutlak berkaitan alam ghaib dan masa hadapan adalah pengkhabaran Allah di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Sumber selain itu adalah tidak benar dan terdedah kepada pendustaan dan kesesatan.

Benarlah Rasulullah s.a.w yang berpesan

“Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara. Kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya, iaitu kitab al-Quran dan Sunnahku.”