05 Disember 2010

Kesusahan Rakyat Diutamakan, Pencapaian Pemerintah Didahulukan?




Untuk ke sekian kalinya, rakyat Malaysia dipaksa menelan hakikat dari kenaikan harga keperluan asas seperti minyak petrol, diesel, gas dan gula.

Kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadikan RM1.90 seliter, diesel naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram. Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.


Pengumuman di suatu ketika

4 hari yang lalu, kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 15 sen telah diumumkan. Alasan yang telah diberikan ialah perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Jika dahulu rakyat diberikan alasan kenaikan harga petrol untuk meningkatkan taraf pengangkutan (yang walaupun penaiktarafan kualiti pengangkutan tidak jelas kelihatan) namun kali ini entah apa pula alasan pemimpin negara.


Alasan Yang Sering Meragukan

Setiap alasan, sebab dan tujuan disebalik kenaikan harga barang-barang asas keperluan rakyat ini selalunya tidak jelas dan meragukan. Bahkan adakala rakyat melihatnya sebagai pembohongan dan alasan yang tidak munasabah.

Di sebalik alasan penjimatan subsidi, mengurangkan beban negara dan pelbagai lagi, rakyat tertanya-tanya, apakah rasional pemerintah bercadang mahu membina bangunan 100 tingkat dengan anggaran bernilai RM 5 bilion seperti yang diumumkan dalam belanjawan tempoh hari?



Orang-orang kampung bertanya : “Apa kejadahnya bangunan tu nak dibuat?”


Orang-orang pekan pula mencadangkan : “Tak boleh ke cancel dan salurkan peruntukkan buat bangunan tu untuk menolong rakyat?”

Rakyat mengeluh kebingungan.


Inilah Kepastiannya

Apa yang pasti ialah kebanyakan harga-harga barang keperluan asas akan turut dinaikkan.

Beras, tambang pengangkutan, ikan, sayur, lauk-pauk dan segala perkara-perkara asas keperluan si rakyat akan bertambah-tambah mahal.

Keperluan perkahwinan, hantaran nikah dan kenduri walimah sedang dan akan menjadi medan untuk segelintir ibu dan bapa ‘menperniagakan’ anak gadis mereka. Siapa yang susah? Pengantin lelaki dan keluarga mereka.


Ibu-ibu dan bapa-bapa akan bertambah pening kepala setiap kali berdepan dengan musim perayaan dan musim anak-anak mereka kembali ke sekolah.


Ya, semua natijah yang PASTI ini dinamakan kesusahan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat.




Malaysia juga negara pengeluar minyakkan?


Amaran Rasulullah

Alasan yang telah dan sedang digunakan bagi meredakan kemarahan rakyat ialah :
''Harga gula dan bahan api di Malaysia masih merupakan yang terendah di rantau ini walaupun selepas harga baru diperkenalkan"
Bukanlah semua rakyat kita yang gajinya sama dengan gaji setiausaha parlimen yang bernilai RM 7, 187.40 apatah lagi nak menyamai gaji menteri-menteri kabinet yang bernilai RM 14, 907.15. Bahkan jauh sekali Malaysia mempunyai majoriti rakyatnya yang bergaji RM 22,826.65 – gaji seorang Perdana Menteri!

Juga bukanlah semua rakyat Malaysia mempunyai pendapatan setanding dengan gaji seorang insan yang menghimpunkan jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri sekaligus disamping jawatan sebagai Ahli Parlimen. Kerana dengan pendapatan sebanyak RM56,753.84 sebulan, sudah tentu tiada masalah untuk menghadapi sebarang kenaikan harga.


Justeru, usahlah dilihat sebagai pemerintah yang zalim lagi menindas!


Usahlah juga menambahkan keyakinan rakyat betapa pemerintah negara Malaysia adalah perasuah, pemboros dan tidak cekap menguruskan negara dan ekonomi!


Pemerintah yang mengutamakan pencapaian kekayaan sendiri serta mendahulukan kesusahan untuk rakyat tidak akan terlepas dari doa Rasul yang sentiasa dimakbulkan Allah.


Baginda – yang tahu akan kewujudan bakal pemerintah yang menindas ini – mendoakan :


اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَق بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ


Ya Allah, mana-mana pemerintah yang menguruskan rakyat tetapi menyusahkan rakyatnya, maka berilah kesusahan kepada mereka (di dunia dan akhirat). Dan mana-mana pemerintah yang menguruskan rakyat serta mengasihani dan memudahkan rakyatnya, maka kasihani dan permudahkanlah urusan mereka (di dunia dan akhirat).

H.R Muslim, Ahmad dll


Baru-baru ini Dr. Said Ramadhan al-Buti ada berpesan.
Kembalilah kepada ALlah, nescaya Dia akan membantu kita melepaskan diri kongkongan golongan penindas lagi zalim.

Tuhan! Engkaulah tempat kami bergantung.


Kasihanilah hamba-hambamu yang lemah Ya Allah...