22 Disember 2011

Lihatlah Unta Itu!


Al-Quran bukan sekadar buku yang menceritakan kisah-kisah teladan umat terdahulu. Ia juga bukan hanya kitab yang menjelaskan hukum-hakam serta perintah dan tegah. Malahan, Al-Quran juga tidak sekadar memuatkan prinsip keadilan, akidah, etika, alam ghaib, perubatan dan tatacara hidup.

Lebih dari itu, Al-Quran juga sering mengajak insan mencari kebenaran Tuhan melalui pemerhatian terhadap produk ciptaanNya.

Antaranya ialah ayat seumpama ini.

أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ؟

Tidakkah mereka itu perhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?

Al-Ghasyiyah : 17

Ada apa dengan unta hingga Tuhan mention namanya? 

Mulut dan Perut Yang Lasak

Mari kita merenung unta barang 5 minit. Barangkali kita menemui sesuatu yang mengkagumkan tentangnya. Sesuatu yang sekaligus menumbuhkan rasa ta`zim dan hormat terhadap Tuhan dan agama.

Di sebalik wajahnya yang blues itu, unta sebenarnya adalah haiwan yang paling sabar dengan cabaran ekstrim di padang pasir. Dengan suhu setinggi 55 darjah celcius, unta – sejak ribuan yang lalu –  tidak pernah bersungut kepanasan. Ia tetap sabar sekalipun padang pasir tidak menjanjikan makanan dan minuman yang melimpah.

Walaupun makanannya tidak semewah haiwan yang lain, namun Allah telah membekalkannya satu set mulut yang dilengkapi lidah, gigi dan bibir yang tahan lasak. Ia betah memakan apa sahaja yang melata di padang pasir. Pohon berduri tajam, dahan kering, rumput keras semuanya membujur lalu melintang patah. Anehnya, makanan-makanan yang keras dan tajam itu tidak pernah mengoyakkan mulut atau mencederakan perutya!


‘Bonnet’ Yang Unik

Di antara sesuatu yang menjadikan unta sesuai hidup di gurun ialah bonggolnya. Berat ‘bonnet’ unik ini akan mewakili 1/3 dari berat keseluruhan badannya jika ia dipenuhi air. Unta mampu memuatkan lebih kurang 130 liter air di dalam bonggolnya dalam tempoh 10 minit menyedut air. 



Di samping itu juga terdapat lebih kurang 40 kg lemak tambahan di sekitar kawasan ini sebagai tenaga ‘spare’.  Itulah rahsia mengapa unta mampu berjalan berhari-hari sambil menanggung beban berat di bawah cuaca ekstrim tanpa makan dan minum.

Sistem Keselamatan Pada Mata dan Hidung

Allah membekalkan sepasang mata dan sebatang hidung yang unik buat unta. Diberikan unta itu 2 lapis bulu mata yang tebal dan lentik serta kulit penutup mata yang lutsinar! Selain itu juga, unta dianugerahkan sebatang hidung yang canggih dengan sistem keselamatan.

Kedua-dua nikmat pemberian ini amat membantu unta dalam berhadapan dengan situasi angin ribut pasir dan debu yang menyesakkan!

Sekalipun angin bertiup kuat serta menerbangkan pasir dan debu yang tebal, unta tetap mampu meneruskan perjalanan seperti biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

 By : CamelPhotos.com

Bulu mata yang lentik dan tebal itu akan menepis habuk-habuk kecil yang hinggap pada matanya. Namun, jika habuk dan pasir itu datang dalam bentuk yang lebih banyak dan ekstrim, maka unta akan berjalan dengan memejamkan mata. Tiada masalah untuk unta meneruskan perjalanan kerana kulit penutup matanya direka khas secara lutsinar atau transparent!



Malah, penafasannya kekal lancar dan jauh dari risiko lelah atau tersumbat kerana unta memiliki penutup lubang hidung khusus yang boleh terbuka dan tertutup secara automatic mengikut keperluan.

Kaki Yang Istimewa

Unta memiliki kaki yang lasak.

Walaupun berat badan unta mencapai ratusan kilo, ditambah dengan muatan berat yang ditanggung serta suhu tinggi tanah gurun yang memeritkan, unta tidak pernah terhincut-hincut atau terjengket-terjengket kepanasan sewaktu berjalan.



2 pasang kaki ajaib anugerah Tuhan ini telah di‘design’ khas bagi menghadapi permukaan tanah yang tidak menentu dan suasana panas yang ekstrim. 


Unta memiliki 2 jari pada setiap kaki. Ia kelihatan lembut tetapi tebal dan lebar menjadikan unta selesa meneruskan pengembaraannya dengan lancar. Selain itu, kaki yang panjang turut menjadikan badannya terelak dari merasa kurang selesa dengan bahang pasir yang panas.



‘Aksesori’ Penebat Haba

Bagaimana unta mampu duduk dan berehat di atas permukaan tanah gurun yang panas membahang  itu?

Jika suhu setinggi 32 darjah celcius pun sudah menyebabkan jalanraya menjadi panas ‘membara’ serta tidak ada manusia mampu memijak jalan tar tanpa selipar, inikan lagi padang pasir!

Kepanasannya berganda. Ianya melecurkan kulit dan menggandakan rasa pedih dan luka.



Tiada rungutan dari unta. Dia bebas berehat dan duduk pada bila-bila masa. Tiada kerisauan melecur atau cedera.

Rahsianya terletak pada aksesori tambahan yang disediakan oleh Allah pentadbir alam yang Maha Cekap. Setiap zon tubuh unta yang akan menyentuh tanah sewaktu duduk dan berehat telah disediakan lapisan bulu yang lebih tebal sebagai penebat haba dan kepanasan. Lapisan ekstra inilah menjadi menjadikan unta selesa duduk berehat dan tidur.

Dulu, kini dan selamanya, unta adalah nikmat buat insan penghuni gurun. Ia adalah kenderaan peribadi. Ia juga kenderaan pengangkutan barang-barang berat. Ia pembekal susu dan daging. Malah ia juga melambangkan kekayaan dan kemegahan pemiliknya.

Mulut yang lasak, mata dan hidung yang unik, sistem penghadaman yang kebal, bonggol penyimpan yang berkesan, ‘design’ kaki yang menakjubkan dan ketebalan bulu yang tumbuh di sesetengah kawasan badan unta, adakah semua ini berlaku secara kebetulan?

Apakah kehebatan unta ini berlaku tanpa perancangan?

Maha suci Allah dari terlupa atau terlalai. Semuanya kekal dalam pengawasan Allah. Semuanya terjadi mengikut ketetapan dan perancangan Tuhan Pentadbir alam.

Tiada satu pun yang berlaku diluar kehendakNya.

Tahap pengawasan Allah digambarkan dalam ayat kursi ini.

لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ!

Allah itu tidak mengantuk, usahkan lagi tidur!

Al-Baqarah : 255

Ia menggambarkan pemantauan Tuhan dan pemerhatianNya yang maha sempurna maksimum. Justeru, Dia benar-benar Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana! 

Unta menggambarkan kebijaksanaan Tuhan yang teliti dan rapi dalam penciptaannya. Ia juga menyerlahkan keadilan Allah apabila ia diciptakan lengkap dan sesuai dengan situasi ekstrim di gurun panas.

Itulah tujuan utama di sebalik suruhan melihat unta.

أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ؟

Tidakkah mereka itu perhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?

Al-Ghasyiyah : 17

Unta mesti direnung dengan pandangan iktibar.

Kebenaran Tuhan, kehebatan Islam dan kesesuaiannya terhadap insan adalah natiah dan tujuan utama dari merenung ayat-ayat Allah  seperti ini.

Bukankah keajaiban unta menjadi bukti nyata bahawa ISLAM ciptaan Allah itu sentiasa adil, relevan dan lengkap buat insan penghuni bumi?

Ianya sebuah pengajaran buat insan yang mahu berfikir.

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Sesungguhnya pada ciptaan Allah itu terdapat tanda-tanda kehebatanNya bagi orang-orang yang mahu berfikir.

Ar-Ra`ad : 3

18 Disember 2011

Bagaimana Menulis dan Menjelmakan Tulisan Arab Dalam Android


Baru-baru ini ada seorang sahabat bertanya, macamana nak taip tulisan arab dalam smartphone yang menggunakan Android OS?

Ada beberapa kaedah untuk mendapatkan cara tersebut. Ada yang free, ada yang berbayar.
Kalau nak yang berbayar, ada beberapa cara lagi, iaitu antaranya :


1. Beli tablet jenama tertentu yang memang dah ada font Arab. Setakat yang saya tahu tablet yang ada font Arab dan boleh baca tulisan Arab ialah Acer Iconia. Samsung Galaxy Tab setakat yang diketahui hanya mampu menjelmakan tulisan arab, tapi masih belum memiliki kemudahan menaip tulisan arab. Mungkin kerana tabiat Android versi Honeycomb sudah begitu. Kalau nak juga kena install huruf Arab secara berasingan.

Ini keyboard maya Acer Iconia 


2. Kalau tak minat jenama Acer, boleh beli Ipad atau Iphone. Jenama ni memang dah ada huruf Arab secara automatik. Boleh taip dan baca sekaligus. Tapi macam yang kita tahu ia tidak menggunakan Android OS. Ia menggunakan Apple OS. Ianya sudah tentu berbeza dan melibatkan minat dan keselesaan pengguna.

3. Kalau tak mau Acer atau Apple juga, maka kita kena install huruf Arab di kedai-kedai tertentu. Setakat yang saya tau, di Lowyat ada perkhidmatan macam tu. Harganya sekitar RM 60 – Rm 70. Tapi yang agak lecehnya, kalau nak install font, ia menyebabkan seluruh sistem HP akan di‘re-format’ semula. Bagi yang baru beli mungkin tak kisah. Tapi bagi yang dah lama beli, dah simpan gambar, video, audio dan ambil pelbagai application dari Market, mungkin fikir 2-3 kali.

Kalau nak yang free tanpa perlu tukar jenama lain atau install, maka ini langkah-langkahnya.
1.        
Pertama, buka Market.


Lepas tu, tekan ikon kanta sebelah kanan, atas dan taip 'Keyboard From Android 2.3'. Lepas tu install.


 Lepas tu, Install 'Arabic LP for GK'


Ba`din, install 'Opera Mobile Browser'. Tapi ingat, dalam Market ada satu lagi browser Opera yang seakan sama, namanya Opera Mini Browser. Usah ambil yang ini. Ia kurang membantu.


*      *      *      *      *

Lepas dah install semua tu, kita akan praktis pulak.
Bila nak taip huruf Arab, kita kena ubah dulu method keyboard. Caranya tekan 2 saat dekat ruang kosong tulisan. Nanti akan keluar paparan Edit Text. Then pilih Input method.


Sila pilih Gingerbread keyboad.


 Maka, akan keluarlah bentuk keyboard seperti di bawah.

Nampak tak kalimah English dekat butang space tu? Sila leretkan ke kanan atau ke kiri. Huruf-huruf di keyboard akan berubah seperti berikut...


Tadaaa...!


Namun perlu diingatkan disini. Walaupun kita sudah boleh taip arab, tapi tak semua keadaan mengizinkan kita berbuat demikian.

Contohnya gambar di bawah. Kalau nak tulis SMS, huruf Arab memang kelihatan, tapi dalam keadaan tak bersambung. Jadi, untuk SMS ia amat tidak membantu.

(Sambungkan huruf yang bercerai di atas supaya menjadi kalimat yang difahami.... hehe)


 Habis tu, kaedah ini boleh digunakan di mana?

Ia hanya boleh digunakan dalam paparan Opera Mobile Browser yang anda install dari Market tu. 

Kalau nak guna dalam browser Internet yang tersedia dalam smartphone anda, ia akan jadi seperti di bawah. Hurufnya akan terpapar berasingan!




Jadi, gunakan Opera Mobile. Ketika mula-mula taip, memang hurufnya tak bersambung.



Tapi bila anda sentuh sekali di mana-mana ruang page atau tekan butang back, huruf-hurufnya akan jadi seperti ini!


Ini adalah result dari search. Tulisan Arabnya boleh dibaca. Cuma untuk setakat ini, khatnya tak boleh diubah.




Berikut adalah paparan perbezaan tulisan arab antara 2 browser.

Ini dari Internet browser


Ini dari Opera Mobile browser

Jadi, itulah teknik yang dapat saya kongsikan. Jika anda ada teknik yang lebih mantap dan baik, kongsi-kongsikanlah ye...

Memang agak leceh. Tapi sekurang-kurangnya ia percuma. Nak reply facebook dalam bahasa Arab pun boleh. Tapi kena guna Opera Mobile lah!

Selamat mencuba!


04 Disember 2011

Al-Muawwizatan : Pelindung Insan Secara ‘Borong’



Dunia adalah persinggahan kehidupan yang tidak mutlak. Tidak mutlak kerana adakalanya kita gembira dengan kesenangan dan adakalanya kita sedih atau marah dengan bencana dan ujian.

Bencana dan ujian boleh mengenai manusia pada bila-bila masa. Ianya tidak dapat dijangka dan diduga. Hadirnya selalu mengejut dan tidak diundang. Ianya sukar dikesan persis pepatah melayu yang masyhur “malang tidak berbau”.

Adakalanya bencana datang secara alami seperti banjir, tanah runtuh, panahan petir, ditimpa dahan pokok yang besar dan pelbagai lagi.

Adakalanya malapetaka muncul melalui kejahatan insan yang merompak, membunuh, mencuri,  mendengki, mencedera, meragut beg, mengugut dan menyimbah asid!

Bala juga boleh berlaku dalam bentuk sengatan serangga, patukan ular, amukan gajah atau lembu, disondol babi hutan, diterkam sang belang, diserang sekumpulan lebah dan tebuan dan bermacam-macam lagi!

Malang juga sering berlaku atas kecuaian pihak lain. Lihat saja laporan kemalangan jalanraya. Ada penunggang yang dirempuh ketika sedang berhenti di lampu isyarat. Ada yang bertembung dengan kenderaan yang datang dari arah bertentangan. Ada yang ditimpa kecelakaan akibat tayar kenderaan yang tiba-tiba meletup. Ada yang cedera ringan sejurus kemalangan tapi mati akibat dijilat api yang membakar kenderaan.  Ada yang dilanggar sewaktu berjalan kaki dan berbasikal. Malah ada juga yang ‘diterjah’ oleh kenderaan sewaktu sedang berehat-rehat di dalam rumah!

Justeru, tidakkah kita terfikir, siapakah yang sebenarnya mampu menjamin keselamatan dalam hidup ini? Adakah teknologi ABS dan airbag benar-benar dapat mengelakkan sebuah kecelakaan? Apakah kenderaan yang meraih anugerah 4 atau 5 bintang Euro NCAP seratus peratus menjamin nyawa pemandu dan penumpangnya? Apakah dengan mengemaskan ikatan helmet di kepala benar-benar memberikan keselamatan penunggang? Apakah tali pinggang hitam yang diraih dalam taekwondo itu dapat menyelamatkan diri terbunuh atau cedera parah? Apakah ‘pak guard’ dan polis peronda benar-benar telah menjadikan kes pecah rumah menjadi sifar?

Ke semua itu bukanlah penjamin keselamatan yang mutlak untuk insan. Ianya tidak lain hanyalah usaha dan ikhtiar bagi mengelak bencana atau meminimumkannya. Ianya adalah sebahagian dari sistem sebab dan natijah yang menjadi sunnatullah di alam ini. Manusia mengusahakan sebab,  sementara hakikat natijahnya adalah ketentuan daripada Allah pentadbir alam semesta ini.

Kerana itu, selepas berikhtiar dan mengusahakan sebab, manusia diajar menyerah diri dan bertawakkal kepada Pentadbir alam semesta. Berserah dan bertawakkal ini adalah dengan meyakini bahawa Allah yang melindungi dan memelihara serta mengamalkan doa-doa yang melambangkan penyerahan kepadaNya.

Ada banyak doa dan bacaan yang diajarkan oleh Al-Quran dan Sunnah. Namun, di antara doa yang pernah diajarkan kepada Rasulullah s.a.w ialah al-Muawwizatan (dua pelindung) iaitu surah Al-Falaq dan surah An-Nas.

Ianya mudah, ringkas dan percuma. Kebaikannya amat berkesan dan mujarab. Melalui surah ini, insan meminta perlindungan dengan Allah dari sebarang bentuk kejahatan secara borong dan menyeluruh!

Surah Al-Falaq
بسم الله الرحمن الرحيم
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ (1) مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ (2) وَمِنْ شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ (3) وَمِنْ شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ (4) وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (5) 
  1. Katakan (Wahai Muhammad), aku berlindung dengan Tuhan yang menjadikan waktu subuh.
  2. Dari segala bentuk kejahatan yang diciptakannya.
  3. Dari kejahatan di waktu malam apabila ia semakin gelap.
  4. Dari kejahatan tukang-tukang sihir yang menghembuskan pada tali-tali yang disimpulkan.
  5. Dari kejahatan orang yang hasad apabila ia mendengki.

Surah An-Nas
بسم الله الرحمن الرحيم
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَهِ النَّاسِ (3) مِنْ شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)

  1. Katakan (Wahai Muhammad) aku berlindung dengan Tuhan yang menguruskan manusia.
  2. Tuhan yang menjadi raja manusia.
  3. Tuhan yang menjadi sembahan manusia.
  4. Dari kejahatan bisikan syaitan yang menyembunyikan diri.
  5. Yang sentiasa membisikkan kejahatan dalam dada manusia.
  6. (Syaitan itu adalah) di kalangan jin dan manusia.

Renungi makna dan hayati pengajarannya.

Surah Al-Falaq adalah permohonan keselamatan ke atas fizikal dan luaran insan yang melibatkan diri dan pemilikan harta. Sementara An-Nas pula ialah permintaan penjagaan ke atas hati dari bisikan syaitan jin dan manusia yang menyesatkan.

Kedua-dua unsur dalaman dan luaran ini wajar dilindungi. Agar jasad dan pemilikan selamat dari diragut oleh golongan zalim dan cuai. Supaya iman dan hati terpelihara dari anasir-anasir yang membinasakan agama dan akhlak.

Bacalah surah-surah ini sewaktu berpergian, memandu, menunggang, berbasikal, berjalan kaki, sebelum tidur, memasuki hutan, mengunjungi bandar, ketika berseorangan dan seumpamanya. Ianya lambang penyerahan diri kepada Tuhan yang tidak pernah mengecewakan.

Sebarkanlah kebaikan ini kepada yang tersayang. Agar kita semua berkongsi kebaikan dari Tuhan Ar-Rahman.


25 November 2011

Kebenaran Tuhan Pada Jari-Jemari Insan


Allah pernah menggunakan istilah jari ketika menjawab keraguan segolongan insan. 

Ianya disebutkan dalam surah Al-Qiyamah, ayat 3 dan 4.

Allah menceritakan :

أَيَحْسَبُ الْإِنْسَانُ أَلَّنْ نَجْمَعَ عِظَامَهُ (3) بَلَى قَادِرِينَ عَلَى أَنْ نُسَوِّيَ بَنَانَهُ (4)

Apakah manusia itu mengira Kami tidak mampu menghimpunkan kembali tulang belulang manusia dan menghidupkannya semula? (Bukan sekadar itu) Bahkan Kami berkuasa untuk membentuk semula jari-jarinya!

Golongan kafir di zaman Rasulullah s.a.w pernah mempersoalkan kemampuan Allah untuk menghidupkan semula insan yang telah mati.

“Bagaimana manusia yang telah hancur luluh di dalam tanah itu boleh dibangkitkan lagi?” sindir Abu Jahal.

“Tak masuk akal!” Ujar Adiyy bin Rabi`ah

Allah telah memberi respon kepada golongan yang ragu-ragu. Ianya sebuah respon yang mukjizat. Respon yang telah menjadi salah satu sistem pengenalan diri manusia di seluruh dunia.

Tuhan bukan setakat boleh mencipta semula daging dan tulang manusia yang telah mati, nak bentuk semula corak dan garisan pada jari-jemari pun Tuhan berkuasa melakukannya!

Ada hikmah besar kenapa Allah memilih jari dalam responNya.

Walaupun jumlah manusia sudah mencapai 7 bilion, namun hingga sekarang tiada laporan yang menunjukkan wujud kesamaan corak jari antara 2 insan.


Ajaib bukan? Luasnya permukaan jari sekitar 1 cm X 2 cm tetapi tetap mampu menampilkan perbezaan dari sudut corak dan garisannya. Ia bukan calang-calang corak lengkungan. Ianya adalah identiti untuk setiap insan!

Tiada sebarang kesamaan walaupun di antara kembar seiras!
                                                          

Nabi Muhammad s.a.w yang tidak tahu membaca dan menulis itu telah menyampaikan wahyu ini semenjak lebih dari 1400 tahun yang lampau. Tetapi kita baru menyedari fungsi ayat ini sejak 131 tahun yang lepas melalui penemuan Sir Francis Galton pada tahun 1880.


Sejak itu, cap jari telah banyak membantu dalam proses pengecaman identiti manusia. Bermula dari proses pengecaman manusia melalui kad pengenalan dan paspot hinggalah kepada kes-kes jenayah seperti pembunuhan, rompakan, kecurian dan sebagainya.

Banyak pihak yang mendapat manfaat dari cap jari ciptaan Tuhan. Skuad penyiasat, ahli forensik, jabatan pendaftaran dan termasuklah juga pengarah-pengarah drama penyiasatan bersiri seperti Crime Scene Investigation (CSI) yang popular itu.


Beleklah ibu jari. Kemudian renunglah firman Allah dalam surah al-Qiyamah tadi. Tidakkah terzahir kebijaksaan dan kualiti tinggi perancangan Allah dalam mencipta jari-jemari?

Dari situ, tidakkah juga kehebatan sistem cap jari menjadi dalil atas kehebatan Islam buat kehidupan insan?

Renungilah selalu ayat ke-88 surah an-Naml. Ulangilah bacaan dan kefahamannya.

صُنْعَ اللهِ الَّذِيْ أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ
Begitulah kerja buat Allah yang mencipta tiap-tiap sesuatu dengan teliti.
'Jari' telah menjadi bukti kesempurnaan dan kehebatan ajaran Islam. Kerana Islam dan jari  itu berkongsi Pencipta yang sama.

Tidak diragui lagi.

22 November 2011

Stratosfera & Mesosfera : Tanda Maha Kasih Allah Buat Manusia

Di antara sesuatu perkara yang semua orang tahu mengenainya ialah langit.

Kedudukannya berada di bahagian atas seluruh hidupan di bumi. Melihatnya membuatkan kepala terdongak.

Hampir 300 kali langit disebut di dalam Al-Quran. Kebanyakannya disebut dalam bentuk kata jamak manakala selebihnya dinyatakan dalam bentuk kata tunggal.

Angka tersebut menggambarkan seriusnya Al-Quran dalam mengajak manusia mengenal Allah sebagai Tuhan dengan penuh kesedaran.

Mengenali Tuhan melalui produk ciptaanNya. Lalu timbul rasa kagum dan agung terhadap pencipta.

Persis mereka yang kagum dengan jenama Honda. Keyakinan dan kekaguman itu terbit setelah mereka merenung dan ‘merasai’ kehebatan produk Honda.

Allah mengajak kita melihat langit.

أَفَلَمْ يَنْظُرُوا إِلَى السَّمَاءِ فَوْقَهُمْ كَيْفَ بَنَيْنَاهَا وَزَيَّنَّاهَا وَمَا لَهَا مِنْ فُرُوجٍ

Tidakkah mereka mahu merenung langit yang berada di atas mereka, bagaimana Kami membinanya (tanpa tiang) serta Kami hiasinya (dengan bintang dan planet) dan tidak ada  pula padanya retak dan rosak?
Qaf : 6


Berbicara tentang keajaiban langit memang tiada hujungnya.

Walaupun penemuan demi penemuan berjaya dihasilkan, langit masih sarat dengan 1001 misteri. Masih banyak yang belum benar-benar difahami. Keluasan langit di luar atmosfera, persoalan tentang wujudkah hidupan di planet dan bintang, saiz bintang, ukuran dan jarak, galaksi dan pelbagai lagi.

Berfikir tentangnya boleh membuatkan manusia merasa kerdil dan lemah.

Merasa kerdil berhadapan keajaiban langit. Merasa lemah berhadapan kehebatan sistem ciptaan Tuhan.

“Perghh…!” respon sebuah hati. Tiada kalimah yang mampu terucap.

Fungsi langit di Mesosfera

Setiap rumah, sekolah dan dewan mesti ada bumbung. Binaan yang tiada bumbung adalah binaan yang tidak siap. Ia masih belum sempurna. Bumbung sangat penting bagi sebuah binaan. Ia berfungsi melindungi penghuninya dari hujan, cuaca panas, habuk dan udara sejuk.

Siapa pun tidak ingin menghuni rumah yang tiada bumbung walaupun lantai, dekorasi dan dindingnya mewah dan bercat indah.

Kerana itu langit adalah antara tanda kasih sayang Allah kepada manusia. Ia direka dengan sistem yang sangat canggih bagi melindungi kita di bumi.

Allah menjelaskan sebahagian fungsi langit.

وَجَعَلْنَا السَّمَاءَ سَقْفًا مَحْفُوظًا وَهُمْ عَنْ آيَاتِهَا مُعْرِضُونَ

Dan Kami jadikan langit itu bumbung (untuk bumi) yang terpelihara (dari bocor atau rosak) dan terkawal (dengan sistem), tetapi manusia itu tetap berpaling (tidak memperdulikan) tanda-tanda (kehebatan Kami) padanya.

Al-Anbiya` : 32

Bumi selamat dihuni kerana langit berfungsi sebagai bumbung yang melindungi hidupan.



Sebenarnya, setiap hari bumi kita di‘serang’ oleh asteroid. Namun lapisan Mesosfera di langit telah menjadi ‘bumbung’ protektif. Mana-mana objek yang cuba masuk ke kawasan atmosfera bumi akan bergeser dengan udara di zon Mesosfera lalu terbakar, justeru tiada meteor atau asteroid yang menghempap manusia atau merosakkan binaan dan permukaan bumi.

Mujur bumi tidak seperti bulan. Allah mencipta bulan tanpa bumbung protektif. Sebab itu banyak kawah kecil dan gergasi di permukaan bulan. Ini disebabkan oleh komet atau asteroid yang sentiasa menghentam bulan.



Bulan itu hanya bersebelahan dengan bumi dengan jarak lebih kurang 300,000 km sahaja!

Namun, alhamdulillah atas nikmat langit untuk bumi.

Bumbung bumi : Stratosfera

Selain itu langit juga bertindak sebagai penapis cahaya matahari. Cahaya matahari yang original sebenarnya amat merbahaya untuk manusia dan hidupan lain. Sinaran pembunuh ultra ungu yang belum ditapis boleh menjadikan hidupan di bumi mati dan pupus. Tetapi Pentadbir alam ini telah menyediakan molekul ozon di lapisan Stratosfera agar segala sinaran ultra ungu merbahaya dapat ditapis, lalu matahari menjadi nikmat dan manfaat untuk semua hidupan.

Alhamdulillah tidak ada yang mengadu kanser kulit dan katarak setelah terkena cahaya matahari.

Ramai bayi yang baru lahir didedahkan di bawah sinaran matahari waktu dhuha. Betapa mudah dan percumanya cahaya suria di waktu itu dalam mengurangkan risiko demam kuning.
Ramai suri rumah yang tidak serik menjemur dan mengangkat pakaian di bawah terik matahari.

Ramai buruh binaan yang mampu ‘menjemur’ diri di bawah terik matahari demi sesuap rezeki yang halal.

Haiwan dan tumbuhan menjalani hidup dengan aman dan tiada sebarang gangguan. Semuanya tenang menjalani kehidupan tanpa mengeluh dengan mudarat sang suria!

Lapisan ozon di Stratosfera itu benar-benar telah menjadi bumbung hidupan.

Setiap saat kita menikmati bumbung ajaib Tuhan. Namun kenapa kita sampai hati dan tergamak mengkufuri Tuhan?

Meninggalkan solat, mendedahkan aurat, terlibat dengan hasil mahsul haram, memandang sepi majlis ilmu, menzalimi yang lemah, berhasad dengki, menghina hukum Tuhan dan pelbagai lagi bentuk kufur nikmat yang manusia lakukan…..!

Langit adalah anugerah Allah untuk semua. Untuk Muslim, Non Muslim, haiwan dan tumbuhan. 

Ia bukti kasih sayang Allah yang mendalam kepada semua makhlukNya di dunia. Nikmat-nikmat itu boleh menjadi wasilah untuk insan memperbaiki iman dan amalan mereka.

Sedikit befikir dan merenung terhadap langit akan membuatkan kita terharu dengan luasnya kasih sayang Tuhan kepada kita.

Marilah sama-sama kita berterima kasih kepada Allah.

Berterima kasih bukan sekadar melafazkan ‘alhamdulillah’! tapi juga dengan melaksanakan sarananNya serta menjauhi laranganNya!