28 September 2011

Uihh... ! Ni Ka Yang Kata Kenughi (Kenduri)



(Ini baru namanya 'makan besar'. Tapi harapnya mereka tak membazir dan tidak meminggirkan si miskin)


Ada orang cakap, orang Melayu ni rajin dan meriah buat kenduri. Ada macam-macam jenis kenduri yang orang kita buat. Kenduri doa selamat, kenduri tahlil, kenduri khatan, kenduri buka rumah, buka kedai, kenduri khatan dan sebagainya.

Selain kenduri kahwin, ada juga kenduri yang dibuat kerana kesyukuran. Kesyukuran pulak ada macam-macam sebab. Kesyukuran sebab dapat baby, syukur sebab lulus periksa, dapat masuk universiti, sembuh dari penyakit, dapat pekerjaan baru dan banyak lagi.

Pendek kata, macam-macam ada!

Sebenarnya, bukan takat orang Melayu, bangsa Arab pun macam tu jugak. Mereka ada banyak jenis kenduri berdasarkan tujuan dan sebab. Yang hebatnya, setiap kenduri mereka ada istilah yang khusus.

Cuba lihat di bawah.

Walimah - ( وَلِيْمَة)
Ini istilah yang paling popular dalam masyarakat Islam Arab dan bukan Arab. Makna asal ‘walimah’ ialah kenduri. Ia digunakan untuk apa jua jenis kenduri. Tapi, oleh kerana ramai orang khususkan istilah ini untuk kenduri kahwin, maka secara tak rasmi jadilah istilah WALIMAH ini cenderung digunakan untuk kenduri kahwin.

I`zar (إِعْذَارْ)
Ia bermaksud kenduri khatan. Istilah ini amat janggal dalam masyarakat Melayu. Susah juga nak eja dalam bahasa Melayu. Tapi 'kendurinya' tidaklah janggal.


Aqiqah ((عقيقة
Haaa, yang ni korang mesti tau kan? Kenduri dapat baby. Disunatkan buat pada hari ke-7 setelah baby dilahirkan. Kalau tak mampu, boleh la tangguh sampai mampu.

Ia disunatkan kepada ibu dan ayah atau penjaga baby. Kalau sampai dah dewasa pun tak sempat buat juga, maka ‘baby yang dah dewasa’ tu boleh buat sendiri-sendiri. Hukumnya sunat sahaja. Tak nak buat pun tak pe. Bak kata mereka yang berlakon dalam sinetron tu : “Terserah!”

Khurs (خُرْس)
Ianya kenduri yang dibuat setelah wanita selamat melahirkan anak. Yang ni lebih kurang macam kenduri kesyukuran.

Naqi`ah (نَقِيْعَة)
Jika orang yang musafir itu kembali pulang ke kampung halaman, maka kenduri yang dibuat oleh keluarga tersebut dipanggil naqi`ah.

Jadi, anak-anak yang baru balik dari oversea @ dalam negara kerana belajar @ bekerja , maka keluarganya boleh la buat kenduri sebagai tanda syukur atas keselamatan pergi dan pulang.

Wakirah (وَكِيْرَة)
Ini pula kenduri sempena bangunkan rumah, kedai, sekolah, surau, dewan dan yang sewaktu dengannya. Kalau kita macam doa selamat la…

Wadhimah (وَضِيْمَة) 
Ianya ialah kenduri yang dibuat setelah berlaku sesuatu musibah seperti kematian, kemalangan dan yang seumpamanya.

Kalau kita mungkin macam kenduri tahlil @ doa selamat. Namun tak pasti pula bagaimana bangsa Arab buat. Mungkin dengan menjemput orang berhimpun untuk kongsi kesedihan, kemudian diberikan jamuan ringan.

Hizaq (حِذَاقٌ)
Ini kenduri bagi mereka yang yang berjaya menghafaz al-Quran @ mengkhatam kitab. Kalau di tempat kita, ada kenduri khatam al-Quran. Tapi janganlah hanya sekali tu je khatam, lepas tu terus tak baca-baca… Teruskan baca dan baca sampai khatam untuk ke sekian kalinya. Ya deh??

Ma`dubah (مَأْدُبَة)
Setiap jamuan makan yang dibuat tanpa sebab dipanggil ma`dubah. Ini kerana tuan kenduri saja nak jamu orang makan atau nak pahala ekstra.

Kenduri jenis ni boleh di buat di kedai mamak, restoran nasi Arab, minum-minum petang di bawah pokok, makan-makan keropok, ‘cucoq’ kat beranda dan seumpamanya.

Orang yang diajak ni memang untung sebab makan free… hehe, tapi yang ajak dapat pahala.

Hukum berkaitan kenduri

Buat kenduri hukumnya sunat. Apa sahaja jenis kenduri! Asalkan tujuan baik dan harus.

Adapun hadir kenduri, maka ianya hanya wajib pada kenduri kahwin sahaja. Dengan kata lain, kalau saja-saja tak nak hadir, maka hukumnya berdosa di sisi Allah. Melainkan kalau ada keuzuran seperti tak sihat atau banyak sangat kenduri sampai tak sempat hadir, maka eloklah kita SMS atau talipon untuk minta maaf dan nyatakan alasan.

Punca kenduri kahwin wajib dihadiri ialah hadith Rasul s.a.w.

مَنْ تَرَكَ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Sesiapa yang tidak hadir jemput kahwin, maka ia telah menyalahi perintah Allah dan RasulNya

(H.R Bukhari dll)

Lagi...

!إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيُجِبْ

Jika ada di kalangan kamu dijemput ke kenduri kahwin, maka hendaklah ia hadir!

(H.R Muslim dll)

Namun, jika tuan kenduri didapati hanya menjemput orang kaya yang tiap-tiap hari kenyang dengan makanan mewah serta meminggirkan orang miskin yang kelaparan, maka kenduri tersebut digelar sebagai seburuk-buruk kenduri!
Nabi pesan tak payah hadir!

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الْأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ

Seburuk-buruk jamuan makan ialah kenduri kahwin yang hanya menjemput golongan kaya serta meminggirkan orang fakir
(H.R Bukhari dll)

Begitu juga jika kenduri itu menyelitkan unsur maksiat dan dosa ATAU tuan kenduri - secara pasti - menggunakan duit haram untuk menjamu orang ramai. Maka ketika itu tidak perlu hadir. Kerana kehadiran kita akan memakmur dan memeriahkan lagi maksiat tersebut.

Ada pun selain kenduri kahwin hukumnya sunat hadir. Ertinya kalau hadir dapat pahala, kalau tak, tak dapat apa-apa. Namun, sebagai adab dan sopan santun, eloklah kita bagitau kenduri yang kita tak dapat datang. Nyatakan alasan yang jujur. Kerana dia telah berbesar hati jemput kita. Maka kita beri excuse sebaik mungkin agar dia tidak kecik hati.

Sekadar berkongsi maklumat mana yang boleh...

P/S : Untuk maklumat tambahan, sila rujuk Bab Walimah dalam kitab-kitab fiqh.

24 September 2011

Sapa Buat, Dia Dapat!



Golongan 'kebendaan' @ Materialists @ Maddiyyun selalu mengukur keuntungan dan kelebihan dengan dunia. Segala kebaikan yang boleh dilihat, boleh dirasa, boleh dipegang, boleh didengar dan mampu dilogikkan akal akan dianggap sebagai benefit yang mesti dikejar dan direbut. 

Adapun benda yang tidak dapat dicapai dengan pancaindera dan logik insan, maka ianya bak fatamorgana dan bayang-bayang. Melakukannya dianggap sia-sia.

Dengan kata lain, pahala, dosa, syurga, neraka, rahmat, berkat termasuk ketuhanan adalah sia-sia. 

Kerana itu, solat dipandang sepi oleh golongan ini. Apa untungnya solat? Boleh meningkatkan ekonomi? Dapat duit? Menyihatkan? Memberi ketenangan?

"Apa pun tak bolehhh!" bentak si Materialis

*   *   *   *   *

Anda mahu tahu benefit solat di dunia? Lihat 'sebahagian kecil' dari hasil kajian saintis di bawah.

Itu baru sikit. Ada banyak lagi sebenarnya.

Pakar sains mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling menggalakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Percaya atau tidak, berikut adalah kelebihan @ benefit yang diperoleh daripada solat yang ikhlas dan komited.

  1. Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit daripada tempat asalnya.
  2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
  3. Melegakan sakit hernia.
  4. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
  5. Melegakan paru-paru daripada ketegangan.
  6. Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa. Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.
  7. Meringankan bahagian pelvis.
  8. Memberi dorongan supaya mudah tidur.
  9. Menggerakkan otot bahu, dada,leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud. Pergerakan otot ini akan menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik,secara semula jadi dan ia juga akan memastikan kelancaran perjalanan darah.
  10. Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik,mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
  11. Sujud juga mampu mengurangkan kegemukan.
  12. Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin.organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut.(Convulsions).
  13. Organ terpenting iaitu otak kita juga akan menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
  14. Mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya. Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha pencipta sekali gus mengikis sifat sombong,riak takbur dan sebagainya.
  15. Manakala dari sudut perubatan pula, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang.

Alhamdulillah, mereka yang solat, secara sedar atau tidak, telah dan sedang menikmati benefit 'sampingan' yang telah Allah sediakan.

Ye, ianya bersifat 'sampingan' dan 'sementara' sebagai motivasi tambahan buat mereka berusaha mendekati Tuhan.

Sementara hadiah utama pula sedang menanti manusia dalam kehidupan kedua.

Jika pakej hadiah 'sementara' pun sudah menakjubkan, bagaimana pula dengan bentuk hadiah utama?

Ianya tidak pernah dilihat, tidak pernah didengari tentangnya bahkan tidak pernah dibayangkan oleh manusia!

Kami seronok menikmatinya! Anda bila lagi? Jangan lengah dan tangguh, nanti melepas, rugi sekarang dan selamanya...

19 September 2011

Bila Tayar Kenderaan Kita 'dilahirkan'?


Entri ini biasa-biasa saja.

Sebab ia bukanlah benda baru. Ramai orang yang dah tahu. Dalam blog-blog pun dah banyak orang tulis.

Pun begitu, saya tetap nak kongsi. Mana tau kot ada orang yang masih belum tahu.

Sekurang-kurangnya mereka yang tak tau dapat info baru, saya pula dapat pahala…. (^__^)  insya Allah…

Ianya berkenaan dengan benda yang kita selalu pakai, terutamanya kepada mereka yang sudah berkereta dan bermotorsikal.

Jika sudah tiba masanya anda perlu menukar tayar, maka berhati-hatilah ketika membeli yang baru.

Jika tidak, peniaga tayar akan menjual kepada anda tayar yang lama.

Ia bukanlah tayar second hand atau tayar yang dilorek semula.

Ia tayar baru jugak. Cuma tayar ‘baru’ tu dah lama dalam stok. Tak terjual. Maka, mungkin tayar ‘baru yang dah lama’ tu jadi rezeki anda jika anda tak perhatikan ‘tarikh lahirnya’


*             *             *             *             *

Baru-baru ni, saya ada membeli tayar kereta di sebuah kedai tayar di Semenyih.

Setelah setuju dengan jenama dan harganya, si peniaga pun pergi mengambil tayar di gudang.

Setelah 2 biji tayar dikeluarkan, saya pun membelek-belek tayar tersebut untuk mencari tarikh ia dikilangkan.

“Tokei, you bagilah tayar 2011. Ini tayar 2010, tahun lepas punya…!”  Pinta saya.

“Oh! Ya ka? Ok-ok, kita ambil yang lain punya!” Jawab si tokei tersenyum malu.

Tidak lama kemudian, tayar Continental keluaran 2011 pun dibawa. Saya sempat memeriksa tarikhnya lagi sekali untuk kepastian.

Moral

Bagi saya si tokei tidaklah salah. Sebab dia masih lagi menjual tayar yang baru. Dia bukannya menipu. Bunga tayarnya masih lagi ori.

Cuma sebagai pengguna, kalau boleh kita naklah yang terbaru. Sebab tayar kereta ni – berdasarkan piawaian antarabangsa – boleh digunakan  selama 2 tahun selepas tarikh dikilangkan. Tapi ada juga saya terbaca dalam blog-blog lain mengatakan  boleh guna maksimum sehingga 5 tahun dari tarikh dikilangkan. Ada pandangan lain kata sehingga 3 tahun dari date of produce....

Jadi, ada macam-macam 'mazhab'!

Ertinya, kalau ikut piawaian antarabangsa,  kita hanya ada baki setahun sahaja jika ‘tarikh lahir’ tayar tu 2010. 

Kalau ikut 'mazhab 5 tahun', kita ada lagi 4 tahun tempoh guna... Begitulah seterusnya…

Macam mana nak kenal tarikh pengilangan tayar?

Cuba cari dan cek pada tayar. Nanti kita akan jumpa sekumpulan tulisan yang terdiri dari 4 angka sahaja seperti  1611.

1611 tu ertinya :
16 : minggu yang ke-16
11 : tahun 2011


 Ni tayar belakang. Nampak tak angka 1611 ?


Yang ni tayar depan. 1610!

 
Ni pulak tayar motor gue. Lahir minggu pertama dari tahun ini.


 Lahir pada minggu 45, tahun 2010!

Ni tayar kereta orang. Tertulis di situ 2607. (Lahir pada minggu 26, tahun 2007). Tuan punya kereta mungkin ikut 'mazhab' 5 tahun!


Untuk tips tambahan tentang tayar, sila rujuk di sini


P/S:

Motivasi tulis entri ni ialah sabda Rasulullah s.a.w :

أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Manusia yang paling disukai oleh Allah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.

(H.R At-Tabrani - al-Mu`jam al-Kabir)

16 September 2011

Ber'EMPATI' Itu Sebahagian Daripada Iman!

Namun hati-hati!

“Berempati adalah sebahagian daripada iman” itu bukanlah sabda Rasul. Ianya sekadar konklusi saya secara peribadi setelah mencari dan memahami makna EMPATI.

Niat asal nak kaji tentang GST. Tetapi terjumpa pula Empati.

Oh ya… GST itu ialah Goods And Services Tax. Dalam bahasa melayunya ialah cukai barangan dan perkhidmatan. Memang ianya belum dilaksanakan lagi. Insya Allah lepas pilihanraya ke-13 esok PM kita nak laksanakan.

Bukan sebab PM atau isterinya SMS saya. Tapi akhbar The Star yang telah melaporkan begitu.

“Baguih sungguh kerajaan kita ni. Rakyat ‘didahulukan’, pencapaian ‘diutamakan’!” ujar Abu sambil menggeleng-gelang kepala.

Empati itu ialah daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain. Perasaan itu selalunya akan diiringi dengan tindakan membantu atau meringankan beban orang lain.

Tindakan itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk berdasarkan keadaan orang yang diempati tadi.

Empati dalam isu Palestin mungkin menatijahkan sokongan, boikot barangan zionis, bantuan wang dan doa.

Empati dengan budak kematian ayah boleh menyebabkan orang tampil menyara kos persekolahan atau berkahwin dengan ibunya!

Empati kepada orang yang cedera menimbulkan belas kasihan ramai pihak lalu bantuan kecemasan diberikan.

Empati kepada fakir miskin menggamitkan manusia menghulurkan wang ringgit.

Empati kepada isteri menjadikan si suami turut membantu menguruskan kerja-kerja di rumah.

Empati kepada rakyat akan menjadikan pemimpin terpanggil untuk berusaha memberikan kemakmuran dan kebajikan, bukan dengan menambahkan beban!

Ia berbeza sedikit dengan simpati. Kerana simpati hanya sekadar perasaan belas kasihan dan timbang rasa terhadap seseorang atau sesuatu. Perasaan itu tidak menatijahkan sebarang tindakan membantu mereka yang disimpati.

“Kasihannya bang kat orang yang eksiden tadi..” simpati seorang isteri.

“Ha`ah, teruk jugak cederanya. Semoga Allah bantu dia…” angguk suami meneruskan pemanduan.

Walaupun simpati tidak seperti empati, tapi ia masih ok dan baik.

Ini bererti siapa yang tiada simpati dan empati, maka ia sebenarnya dikuasai sifat keji bernama ego dan penting diri!!

Sifat ini telah dan masih diperangi oleh agama Islam. Rasul mengingatkan :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Tidak sempurna iman seseorang di kalangan kamu sehingga ia suka untuk diri saudaranya sesuatu yang ia suka untuk dirinya sendiri.

(H.R Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dll)

Apa yang kita suka untuk diri kita, itu jualah yang kita suka untuk orang lain.

Apa yang kita benci berlaku kepada kita, itu jualah yang kita benci berlaku kepada orang lain.

Kita tak suka jiran sebelah pasang radio dan TV kuat-kuat, maka jiran kita pun begitu terhadap kita.

Kita benci pemandu lain corner tak bagi signal atau memandu perlahan dilorong kanan. Maka pemandu lain turut tak suka macam tu dari kita.

Kita meluat orang lain rompak, ragut dan curi barang kita. Maka begitu juga harapan orang daripada kita.

Kita terguris jika orang mengata dan mengaibkan kita. Maka orang lain pun turut sama terguris.

Kita nak orang lain hormat dan senyum pada kita. Maka orang lain pun nak macam tu dari kita.

Kita seronok kalau orang lain berterima kasih dan menghargai bantuan kita. Maka itu jugalah perasaan mereka jika kita hargai mereka.

Perasaan dan tindakan begitu itu hanya akan datang jika kita memiliki daya empati terhadap orang lain.

Daya empati itu akan wujud dalam diri jika kita punya nilai iman yang berkualiti!

G.S.T

GST tidaklah salah 100%. Malahan mungkin ia perlu dilaksanakan jika kewangan negara dalam keadaan terdesak . Tapi jika ia dilaksanakan tanpa berempati terhadap keadaan rakyat, tanpa melihat situasi dan kemampuan Negara, maka ia bakal membebankan orang ramai dan menyusahkan hidup mereka.

Dengar kata, sudah tidak kurang dari 150 buah negara maju yang buat GST. Maka Malaysia pun nak buat juga.

Niat di hati nak tiru macam Negara-negara maju yang buat GST tu. Tapi menteri-menteri di Malaysia tidak pula membandingkan situasi dan keadaan Malaysia dengan Negara-negara maju tu.

Sama ke KDNKnya. Serupa ka tahap indeks rasuahnya. Layak ke negara buat GST sedangkan kebanyakkan gaji rakyat taklah setinggi mana. Statistik yang ada menunjukkan sebanyak 40 peratus rakyat Malaysia berpendapatan lebih kurang RM1,500 sebulan (rujuk Utusan) . Apalah sangat dengan Rm1,500 jika dibandingkan dengan keperluan harian dan kos hidup yang semakin tinggi. 

Tolak duit minyak, tolak duit tol, tolak keperluan prepaid, tolak makan minum dah tinggal berapa ratus? Itu belum masuk lagi keperluan anak-anak… susu, pampers, kos kesihatan. Itu belum lagi tolak duit ansuran motor atau kereta…!?

Itu belum kira mereka yang bergaji bawah RM 1,000.

Dengan GST, rakyat dari budak kecil sampai orang tua, dari yang berkerja hingga yang dah pencen, yang pendapatannya tinggi hingga yang pendapatan tak tetap akan membayar cukai segala barang yang dibeli dan perkhidmatan yang digunakan.

Harga barang akan meningkat mahal kerana harga runcit barang + tax 4%.

Justeru, jika status ekonomi rakyat belum sama dengan nagara maju, maka janganlah buat juga GST ini.

Sementara gaji menteri belasan ribu. Elaunnya 5 angka. Segalanya ditanggung. Gaji bulanan barangkali tak tersentuh. Rumah terbuka pun guna peruntukan yang disediakan. Apa kata menteri potong elaun mereka yang banyak itu dan cuba berjimat cermat.

Ini asyik-asyik rakyat yang disuruh berjimat, berhemah, bijak berbelanja. Sementara menteri hidup mewah, membazir dengan projek yang takde benefit untuk rakyat. Bahkan cincin berliannya pun smpai USD20 juta  (RM70 juta)!!?

Tergamak sungguh?!!!

Berempatilah terhadap rakyat. Selamilah kesusahan mereka. Hargailah dan bertimbang rasalah. Sabar tu ada tahapnya. Jika tidak, anda akan ‘bungkus’ ketika PRU 13 nanti!

Bantulah kami ini Ya Allah!


(Ini bukan entri ilmiah tentang GST. Oleh itu anda disarankan mencari info GST di internet)

*     *     *     *     *     *

Teks berita

PM: GST implementation after GE
KUALA LUMPUR: The government would introduce the goods and services tax “when the time is right”, Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak said.

He said this was necessary eventhough Malaysia has a 12 million workforce and only 1.2 million paid taxes.

“I guess when the time is right, in the near future, probably after the next general election, we will introduce the GST.

“We need to explain this to the people and there is a growing acceptance that this is the way forward for Malaysia,” he said in a dialogue session with Forbes Media editor-in-chief Steve Forbes.

Najib said affirmative action to help the bumiputras would remain with a shift where opportunities would be created to help them grow.

The move was different compared to the New Economic Policy introduced in the 1970s where quotas were impose or percentage of shares or certain amount of contracts be set aside for the bumiputras.

“What we are trying to do now is to shift that. Affirmative action remains but it should be more on the basis of merit where we create opportunities for them to grow than imposing quotas on others,” he said.
URL Rujukan :
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/9/13/nation/20110913230936&sec=nation



11 September 2011

Pictureless Of Sunday! Arabic For Fun...


Sekali-sekala try tajuk pictureless pulak....


صَدِيْقَانِ يَتَصَفَّحَانِ إِحْدَى الْمَجَلاَّتِ، فَوَجَدَا صَفْحَةً بَيْضَاءَ وَتَعَجَّباَ مِنْ ذَلِكَ...
فَقَالَ أَحَدُهُمَا : هَذِهِ الصَّفْحَةُ لِلَّذِيْنَ لاَ يَعْرِفُوْنَ الْقِرَاءَةَ.

Dua orang sekawan sedang membelek-belek sebuah majalah. Lalu mereka menjumpai satu halaman muka surat yang kosong tanpa sebarang tulisan. Mereka berdua kehairanan.

Salah seorang dari mereka dengan selamba berkata : “Ooo, muka surat ini rupanya dikhususkan untuk mereka yang buta huruf."


*   *   *   *   *

طَلَبَ صَاجِبُ الْمَنْزِلِ مِنَ الْبُسْتَانِيِّ أَنْ يَسْقِيَ الْحَدِيَقَةَ.
اَلْبُسْتَانِيُّ : لَكِنَ السَّمَاءَ تُمْطِرُ بِغَزَارَةٍ؟
صَاحِبُ الْمَنْزِلِ : هَذَا لَيْسَ عُذْرًا! يُمْكِنُكَ أَنْ تَرْتَدِيَ مِعْطَفًا!

Seorang tuan rumah meminta tukang kebunnya menyiram pokok-pokok bunganya.

Tukang kebun  : “Tuan, bukankah hujan sedang lebat di luar sana?”
Tuan rumah    : “Ini bukan alasan! Kan awak boleh menggunakan baju hujan?!”


*   *   *   *   *


سَأَلَ الْمُعَلَّمُ التَّلاَمِيْذَ.
اَلْمُعَلِّمُ : مَا هُوَ أَكْثَرُ شَيْءٍ مُمْتِعٍ فِي الْمَدْرَسَةِ؟
اَلتَّلَامِيْذُ : جَرَسُ الرَّاحَةِ!

Seorang guru telah bertanya murid-muridnya.

Guru : Apakah benda yang paling menyeronokkan di sekolah kita?
Murid  (dengan serentak) : Loceng rehat!


------------------------------------------------------------------------



P/S : Merehatkan otak seketika setelah - secara santai - membaca, berbincang dan berfikir  tentang:
  • Bukit Kepong
  • Malaysia dijajah atau dinaungi British?
  • Mat Indera pejuang @ pengkhianat?
  • .............................................. ?

08 September 2011

Surah Yang Menyelamat Rumahtangga


(Edisi ulang siar bersama pembetulan & penambahan fakta)

Imam al-Qurtubi menyelitkan kisah menarik ketika mentafsir sepotong ayat dari surah at-Tin.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dalam seindah-indah ciptaan.”
At-Tin : 4


Seorang lelaki bernama Isa Bin Musa Al-Hasyimi sangat menyayangi isterinya. Bertuah si Isa kerana beristerikan wanita jelita. Bagi Isa, isterinya bak bidadari kayangan yang turun ke dunia. Sudah habis bahasa pujian yang telah dihamburkan kepada kekasih hatinya itu.

Dek kerana ‘geram’ dengan kecantikan isterinya, Isa mengungkapkan :

“Engkau tertalak tiga jika engkau tidak secantik dan seindah bulan purnama!”

Ungkapan 'aneh' Isa telah membantutkan suasana romantik yang dibina.

Terperanjat dengan kata-kata Isa, isterinya bingkas bangkit dan menutup auratnya serta berkata:

“Kenapa abang menceraikan saya?!”

Tidur mereka pada malam itu tidak lena. Kerana kecantikan, penghargaan bertukar menjadi bencana. Bukan kecil anak tragedi yang terjadi. Sebuah rumahtangga bahagia dan kasih sayang runtuh sekelip mata dilanggar 'tsunami'.

Mengadu kepada khalifah

Isa yang masih terkejut dengan bencana ciptaannya sendiri bergegas menemui khalifah Abu Ja`afar Al-Mansur dan menceritakan segala-galanya kepada baginda. 

"Tolonglah wahai Amirul Mukminin! Saya pun tak pasti adakah dia masih isteri saya tak tidak!" Rayu Isa.

Khalifah al-Mansur yang juga kelihatan bingung dengan kes pelik tersebut lantas memanggil para ulama.

“Ini kes penceraian yang aneh. Maka, apakah pandangan syara` terhadap kes ini?” soal al-Mansur kepada jemaah mufti dan ulama di hadapannya.

“Talak telah jatuh dan wanita tersebut telah pun diceraikan.” Mereka sepakat memberikan jawapan setelah meneliti masalah dan berijtihad.

Ini kerana bulan purnama adalah ciptaan Allah yang indah dan tiada tolok bandingnya.

Bulan sering menjadi lambang keindahan dan kecantikan. Justeru, insan yang indah dan cantik akan disamakan pula dengan bulan purnama.

“Engkau laksana bulan...” Ungkap seorang penyanyi terohor itu.

"طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا..."
“Telah datang bulan pernama (Nabi Muhammad) kepada kami…!” 

Seru golongan Ansar ketika menyambut kedatangan Rasulullah di Madinah.

Dari sudut itu, memang tiada siapa yang boleh mengatasi kecantikan bulan purnama.

Surah at-Tin sebagai penyelamat

Sungguh pun majoriti fuqaha` yang bersidang bersependapat menjatuhkan talak, ada seorang ulama dari aliran Hanafi yang dilihat masih berdiam diri.

Diamnya adalah diam ubi.

Khalifah al-Mansur menyedari kehadiran sarjana ini. Baginda menegur lelaki tersebut.

“Kenapa anda masih berdiam diri? Apakah ada pandangan lain?”

Lelaki tersebut mengangkat kepala dan membacakan surah at-Tin dari ayat 1 sehingga ayat 4.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dalam seindah-indah ciptaan.
At-Tin : 4

“Wahai Amirul Mukminin, Allah telah mengisytiharkan dalam surah ini bahawa manusia adalah makhluk terindah dan tercantik. Justeru, walaupun ada ciptaan lain yang cantik, tetapi ia tidak dapat menandingi keindahan ciptaan Tuhan yang bernama manusia.” Ujar si alim membuat kesimpulan.

Semua terpegun dengan ‘kefahaman’ lelaki tersebut. Sebuah surah telah menyelamatkan sebuah rumahtangga.

Ibrah kisah

  • Al-Quran merupakan manual book untuk manusia. Ia boleh menyelesaikan masalah manusia jika kita mengkaji dan membongkar rahsianya. 
  • Al-Quran bukan bacaan bermusim ketika Ramadhan atau kematian. Tapi ianya bacaan hari-hari yang mesti dipelajari dan difahami.
  • Talak dan cerai bukan perkara main-main. Usah jadikannya umpama zikir atau wirid.
  • Kalau tak tahu, jangan segan bertanya mereka yang tahu! 

Usahakanlah...!
Jangan biarkan mushaf berhabuk sawang.

 
P/S : Enrti ini pernah diterbitkan dalam blog ini pada Oktober 2010. Tetapi kerana ada sedikit kesilapan, maka ia diterbitkan semula dengan sedikit pembetulan fakta. Moga ada manfaat...

06 September 2011

Si Dendang Perantau Yang 'Mengacau'


Teng ke teng ke teng teng teng teng teng teng teng, chit teng teng…
Teng ke teng ke teng teng teng teng teng teng teng, chit teng teng…

(bunyi intro muzik Dendang Perantau membelah sebuah ketenangan)



Di hari raya
Terkenang daku kepada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana
Ayah serta bondaku

Di tepian mandi
Danauku hijau yang aman damai selalu…….
…………………………..


‘Tup!’ lagu Dendang Perantau itu terhenti tiba-tiba.

Bukan sebab butang stop ditekan. Bukan juga kerana baterinya habis.

Tapi sebab rington ‘henfon’ memang macam tu. Tak boleh play panjang-panjang. Ia tertakluk kepada sistem ringing yang memang sudah disetkan begitu.

Walaupun tak habis satu lagu, tapi ianya telah membuatkan aku bertakbirratul ihram sebanyak 3 kali di surau itu!!!

Niat solat zohor ‘tak masuk-masuk’ sebab hati dikuasai lirik Dendang Perantau.

Bukankah tempat niat itu di hati?

*    *    *    *    *

Hati mula mengata. Nak marah pun ada.

Bukan salah handphone. Bukan juga silap si Dendang Perantau. Jauh sekali penyanyinya.

“Grrr, napelah pakcik ni tak ‘stop’ ringing tu……”

“Kot-kot dia terlupa silent kot…” Aku memujuk diri.

“Tapi bukankah dia boleh tutup HP tu walapun tengah solat!” amarahku mencelah.

Erm….. Sepatutnya memang begitu. Walaupun sedang solat, tapi manusia sebenarnya masih dibenarkan melakukan perbuatan yang bukan dari pergerakan solat.

Ya, menggaru, menekan butang stop pada talipon bimbit, membetulkan kedudukan pakaian, memperkemas keadaan rambut, menguis serangga berbisa dan yang sewaktu dengannya termasuk dalam kategori ‘bukan pergerakan solat’.

Jika PERLU, ia masih boleh dilakukan dalam solat. Tetapi mestilah pergerakan itu tidak terlalu banyak dan ekstrim.

Maksud terlalu banyak ialah seperti bergerak 3 kali @ lebih secara berturut-turut dengan anggota yang besar, seperti menghayunkan lengan.

Maksud esktrim ialah seperti melompat-lompat atau melakukan aksi stunt atau berlari-lari ketika sedang solat.

Jika dilakukan TANPA KEPERLUAN MENDESAK, ianya bakal membatalkan solat. 

Asas teori itu adalah fatwa para bijak pandai agamawan. 


وَإِنْ كَانَ الْفِعْلُ مِنْ غَيْرِ جِنْسِ الصَّلاَةِ، فَاتَّفَقَ الأَصْحَابُ عَلىَ أَنَّ الْقَلِيْلَ لاَ يَبْطُلُ وَالْكَثِيْرَ يَبْطُلُ...... ثُمَّ قاَلُوْا: اَلْفِعْلَةُ الْوَاحِدَةُ كَالْخطْوَةِ وَالضَّرْبَةِ قَلِيْلٌ قَطْعاً. وَالثَّلاَثُ كَثِيْرَةٌ قَطْعاً. وَالْاِثْنَتَانِ قَلِيْلٌ عَلىَ اْلأَصَحِّ.

Sekiranya pergerakan @ perbuatan itu bukan jenis pergerakan solat, maka ulama bersepakat bahawa pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat, sementara pergerakan yang banyak pula akan membatalkan solat……… Kemudian ulama berkata : Satu pergerakan seperti satu langkah atau satu pukulan dikira sedikit. Pergerakan 3 kali berturut-turut dikira banyak. Pergerakan 2 kali pula dikira sedikit.

(Kifayah Al-Akhyar, jilid 1, hlm. 98)

Konklusi dan Solusi

Saya, anda dan mana-mana individu dibenarkan tutup HP ketika sedang solat. Bahkan ianya mungkin wajib sebab deringan HP itu amat mengganggu orang lain.

Ia mengganggu mereka yang sedang solat dan yang sedang memulakan solat. Hukum yang paling ringan adalah makruh. Paling berat adalah haram. Ertinya ada habuan dosa. Tuhan pula murka.

Membaca al-Quran pun tak boleh kuat-kuat andai mengganggu pesolat, apatah lagi bunyi deringan talipon bimbit.

Jika terlupa silent sebelum solat, kita boleh hentikannya ketika solat.

Simple dan mudah. Ubah tangan dari kedudukan qiyam. Masukkan dalam poket, then picitlah mana-mana butang... Yang penting deringan itu berhenti.

Solat bukan bererti kita menjadi batu yang tak bergerak atau pokok yang tak berganjak.

Tapi, atas dasar keselamatan dan keperluan, Islam membenarkan kita melakukan sesuatu yang sesuai dengan situasinya.

Seperti solat syiddah al-khawf itu....

Memang pun, ajaran agama kita ini fleksibel pada tempat-tempatnya. 

Masjid dan surau pula banyak menganjurkan kuliah fardu ain. Ustaz-ustaz pun ramai.

Janganlah sia-siakan waktu. Usah juga persiakan peluang di depan mata.

Hidup bukan sekadar makan, minum, tidur, bekerja dan beranak-pinak semata. Luangkan sedikit masa untuk mengenali agama.

Islam itu amat indah bila kita faham.

Tirulah macam abang Sham Kamikaze.... 

Ada apa dengan dia?

Anda selongkarlah sendiri.... :)