28 Oktober 2010

'Mendulang Emas' Di Bulan Zulhijjah

Kredit : shoair.deviantart.com

Jika 2 bulan setengah yang lalu umat Islam di seluruh dunia telah melalui musim ‘pahala berganda’ di bulan Ramadhan, maka pada 1 Zulhijjah nanti (jangkaan pada 8 November 2010), kita akan menemui satu lagi peluang meraih pahala berganda.

Tempoh dan waktu ‘pahala berganda’ tersebut akan berlangsung selama 10 hari, bermula dari 1 hingga 10 Zulhijjah pada setiap tahun hijrah. Asas kelebihan ‘bonus berganda’ ini adalah berdasarkan firman Allah ta`ala :


وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Al-Fajr : 1 -2


Demi waktu fajar! Dan demi malam-malam sepuluh!

Pandangan Ahli Tafsir

Ulama sedikit berkhilaf dalam mentafsirkan erti ‘malam-malam yang sepuluh’. Namun, perselisihan tafsiran tersebut tidak mencetus kontradik yang serius dalam memahami teks. Ini kerana segala pandangan yang terbit boleh dan dapat disatukan dalam ayat tersebut.


Antara lain ulama memaksudkan ‘Layalin `Ashr’ sebagai :

- 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah.
- 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan.
- 10 hari pertama dalam bulan Muharram (kerana kewujudan hari asyura pada hari yang ke-10 Muharram)
- Dan lain-lain.

Hadith Sebagai Penguat

Terdapat riwayat hadith yang menjelaskan kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah secara umum.
Ianya adalah hadith yang direkodkan oleh imam Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain. Sabda Rasulullah s.a.w :


ما من أيام العمل الصالح أحبّ إلى اللَّه فيهنّ من هذه الأيام- يعني عشر ذي الحجة- قالوا: ولا الجهاد في سبيل اللَّه؟ قال: ولا الجهاد في سبيل اللَّه، إلا رجلا خرج بنفسه وماله، ثم لم يرجع من ذلك بشيء

“Tidak ada hari-hari yang ketaatan padanya lebih disukai oleh Allah berbanding hari-hari sepuluh pertama dari bulan Zulhijjah.

Para sahabat bertanya : “Hatta berperang di jalan Allah pun tidak sehebat itu, Ya Rasulullah?”

Baginda menjawab : “Berperang di jalan Allah pun tidak sehebat itu, melainkan jika ia keluar berperang dengan diri dan hartanya, kemudian ia tidak lagi pulang-pulang (mati syahid).”


Rasional Kelebihan Zulhijjah

Dr. Yusuf Al-Qardawi menjelaskan antara punca Zulhijjah memiliki kelebihan ialah kerana ianya termasuk dari bulan-bulan haram yang empat. Selain itu, aktiviti-aktiviti ibadah haji seperti wuquf di Arafah, bermalam di Mina dan Muzdalifah dan laim-lain turut dilaksanakan dalam tempoh itu. Malah hari raya Aidil Adha dan sembelihan korban turut disyariatkan pada bulan tersebut. Peristiwa-peristiwa tersebut menyerlahkan kelebihan bulan Zulhijjah.

Justeru, seperti mana 10 malam terakhir Ramadhan adalah malam-malam terbaik, maka 10 hari pertama Zulhijjah adalah siang-siang terbaik. Sepertimana Lailatul Qadr adalah semulia-mulia malam, maka siang 9 Zulhijjah adalah semulia-mulia siang.

Amalan Umum dan Amalan Khusus

Ada banyak bentuk kebaikan yang boleh dilakukan dalam tempoh tersebut. Kita boleh berpuasa, memperbanyak bacaan al-Quran, berzikir, bersedekah, memperbanyak solat sunat, menghulurkan bantuan, menghadiri majlis ilmu dan banyak lagi.

‘Keumuman’ hadith di atas membuka ruang yang luas buat manusia untuk mempelbagaikan jenis dan bentuk amalan asalkan ianya baik dan soleh di mata syarak menurut dalil yang umum dan prinsip maslahah.

Di sana terdapat beberapa hadith yang menyarankan amalan-amalan sunat di dalam tempoh 10 hari tersebut. Antaranya :

  • Berzikir. Rasul menyarankan :


مَا مِن أيامٍ أعظمُ عِندَ اللّه ولاَ أحبُّ إليهِ فِيهِنَّ العملُ مِن هذه الأيام: عشرِ ذي الحجة- أو قال: العشرِ- فأكْثِرُوا فيهنَّ مِنَ التهليل والتسبيح والتكبير والتحميد

Tidak ada hari yang lebih agung dan lebih disukai oleh Allah dari segi beramal soleh daripada hari-hari 10 pertama Zulhijjah, kerana itu, perbanyakkanlah mengucap tahlil, tasbih, takbir dan tahmid pada hari-hari tersebut.


(H.R Ahmad, Tabrani, Baihaqi dll)

Imam Nawawi menjelaskan :


وَاعْلَمْ أَنَّهُ يُستَحبُّ الإكثارُ مِن الأذكارِ في هذا العَشْرِ زيادةً على غيرِه ، ويُستحبُّ مِن ذلك فِي يومِ عَرَفَةَ أكثرَ مِن باقي العَشْرِ

Ketahuilah bahawa disunatkan memperbanyak zikir pada sepuluh hari tersebut melebihi hari-hari lain. Dan disunatkan juga (membanyakkan zikir) pada hari Arafah (hari ke-9 Zulhijjah) lebih dari 10 hari yang berbaki.


(al-Adzkar, hlm. 173)

  • Berpuasa pada 9 Zulhijjah (hari Arafah) bagi mereka yang tidak menunaikan haji.

Puasa di hari Arafah ‘membakar’ dosa selama 2 tahun. Rasulullah s.a.w pernah menjelaskan :


يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

(Puasa di hari Arafah) menghapuskan dosa tahun lalu dan tahun hadapan.

(H.R Muslim)

Bahkan pahala berpuasa dan melakukan kebaikan di siang hari-hari yang sepuluh itu ditambah dan digandakan.


وَإِنَّ صِيَامَ يَوْمٍ مِنْهَا يَعْدِلُ بِصِيَامِ سَنَةٍ، وَالْعَمَلَ فِيهِنَّ يُضَاعَفُ سَبْعمِائَةِ ضِعْفٍ

Sesungguhnya berpuasa sehari dari 10 hari tersebut pahalanya menyamai berpuasa setahun. Dan beramal soleh pada hari-hari tersebut digandakan pahalanya sehingga 700 kali ganda.


(H.R al-Baihaqi dlm. Syu`ab al-Iman, As-Suyuti dlm. Jami` al-Ahadith)

Peluang menggandakan pahala dan menghampiri rahmat Allah bakal tiba.

Usah biarkan peluang keemasan ini berlalu begitu sahaja. Siapa tahu, amalan kita dalam 10 pertama Zulhijjah nanti mungkin menjadi punca utama kita ke syurga....


فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Berlumba-lumbalah kamu dalam membuat kebaikan

Sekadar ingatan buat diri dan taulan.

Renung-renungkan dan selamat beramal!


21 Oktober 2010

Surah at-Tin Penyelamat Rumahtangga

Imam al-Qurtubi menyelitkan kisah menarik ketika mentafsir sepotong ayat dari surah at-Tin.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dalam seindah-indah ciptaan.”
At-Tin : 4
Seorang lelaki bernama Isa dan Musa al-Hasyimi sangat menyayangi isterinya. Bagi Isa, isterinya bak bidadari kayangan yang turun ke dunia. Sudah habis bahasa pujian yang telah dihamburkan kepada kekasih hatinya itu.

Dek kerana ‘geram’ dengan kecantikan isterinya, Isa mengungkapkan :

“Engkau tertalak tiga jika engkau tidak secantik dan seindah bulan purnama!”

Ungkapan 'aneh' Isa telah membantutkan suasana romantik yang dibina.

Terperanjat dengan kata-kata Isa, isterinya bingkas bangkit dan menutup auratnya serta berkata:

“Kenapa abang menceraikan saya?!”

Tidur mereka pada malam itu tidak lena. Kerana kecantikan, penghargaan bertukar menjadi bencana. Bukan kecil anak tragedi yang terjadi. Sebuah rumahtangga bahagia dan kasih sayang menjadi korban.

Mengadu kepada khalifah

Keesokkan harinya, si ‘janda’ Isa berjumpa khalifah Abu Ja`afarAl-Mansur dan menceritakan segala-galanya kepada baginda. Khalifah al-Mansur berang dengan peristiwa tersebut lantas memanggil para ulama.

“Ini kes penceraian yang aneh. Maka, apakah pandangan syara` terhadap kes ini?” soal al-Mansur kepada jemaah mufti dan ulama di hadapannya.

“Talak telah jatuh dan wanita tersebut telah pun diceraikan.” Mereka sepakat memberikan jawapan setelah meneliti masalah dan berijtihad.

Ini kerana bulan purnama adalah ciptaan Allah yang indah dan tiada tolok bandingnya.

Bulan sering menjadi lambang keindahan dan kecantikan. Justeru, insan yang indah dan cantik akan disamakan pula dengan bulan purnama.

“Engkau laksana bulan...” Ungkap seorang penyanyi terohor itu.

"طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا..."
“Telah datang bulan pernama (Nabi Muhammad) kepada kami…” 

Seru golongan Ansar ketika menyambut kedatangan Rasulullah di Madinah.

Dari sudut itu, memang tiada siapa yang boleh mengatasi kecantikan bulan purnama.

Surah at-Tin sebagai penyelamat

Sungguh pun majoriti fuqaha` yang bersidang bersependapat menjatuhkan talak, ada seorang ulama dari aliran Hanafi yang dilihat masih berdiam diri.

Diamnya adalah diam ubi.

Khalifah al-Mansur menyedari kehadiran sarjana ini. Baginda menegur lelaki tersebut.

“Kenapa anda masih berdiam diri? Apakah ada pandangan lain?”

Lelaki tersebut mengangkat kepala dan membacakan surah at-Tin dari ayat 1 sehingga ayat 4.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dalam seindah-indah ciptaan.”
At-Tin : 4

“Wahai Amirul Mukminin, manusia adalah makhluk terindah dan tercantik berdasarkan ayat tadi. Justeru, tidak ada mana-mana ciptaan Tuhan yang boleh menandingi keindahan manusia, hatta sang rembulan.” Ujar si alim membuat kesimpulan.

Semua terpegun dengan ‘kefahaman’ lelaki tersebut. Sebuah surah telah menyelamatkan sebuah rumahtangga.

Ibrah kisah

Talak dan cerai bukan perkara main-main. Usah jadikannya umpama zikir atau wirid.

Kalau tak tahu, jangan segan bertanya mereka yang tahu! 

Al-Quran pula bukan bacaan bermusim ketika Ramadhan atau kematian. Tapi ianya bacaan hari-hari yang mesti dipelajari dan difahami.

Usahakanlah...!
Jangan biarkan mushaf berhabuk sawang.

Rujukan:


- Al-Jami`ul al-Ahkam - Imam al-Qurtubi
- At-Tafsir al-Munir - Dr. Wahbah az-Zuhayli