21 Mei 2010

Khutbah : Judi Penyebab Malapetaka


هذه الخطبة ألقيتُها آنفا في إحدى الْمُصَلَّيَات في منطقة كوتا دمنسارا. وأحب أن أُشَارِكَها مع الإخوة الزوار لتعم الفائدة. فهذا النص استقيتُه من مقالة سابقة وتم تعديله إلى حد ستين في المائة تقريبا. ويمكنكم الاستفادةُ بـها وتعديلُ ما ينبغي تعديله، ليكونَ الخِطَابُ مناسبا وموافقا لِلظُّرُوْفِ والأماكن. والله الموفِّق


(Selapas Hamdalah, Selawat, Pesanan Taqwa…)

Sidang Jumaat yang dirahmati


Apabila Allah melarang manusia dari sesuatu perkara serta mengishtiharkannya sebagai maksiat dan dosa, ianya bererti tegahan tersebut mempunyai mudarat 100%, tidak ada langsung sebarang manfaat padanya. Sama ada mudarat itu berlaku di dunia atau di akhirat.

Jika pun terdapat manfaat pada perkara yang ditegah itu, maka ianya tidaklah bersifat dominan. Yang dominan dan banyak itu tetap mudarat, keburukan dan kejahatan.

Atau manfaat tersebut hanya bersifat sementara. Yang kekal dan berterusan adalah mudarat dan kesakitan.

Ianya tetap wajib dijauhi sekalipun wujud sekelumit manfaat padanya. Kerana apalah ertinya sebuah manfaat, jika terpaksa berdepan dengan pelbagai kerosakan yang dominan dan berterusan.

Kaedah ini telah diisyaratkan oleh al-Quran ketika turun ayat ‘peringkat ke-2’ dalam proses pengharaman arak dan judi. Ketika itu baginda Rasul s.a.w telah ditanya oleh umat Islam tentang status arak dan judi, apakah ianya baik atau buruk buat manusia.

Maka Allah menjelaskan :

قُلْ فِيْهِمَا إِثْمٌ كَبِيْرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ، وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Al-Baqarah : 219

Katakanlah kepada mereka : "Pada keduanya (arak dan judi) terdapat dosa (mudarat) yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa (mudarat) keduanya adalah lebih besar berbanding manfaatnya."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jika dilihat kepada perspektif judi, walaupun ia berpotensi untuk menjana keuntungan atau meningkatkan ekonomi, namun mudarat dan bahaya yang dapat dicetuskan oleh judi adalah besar dan tidak terjangka.

Ini kerana judi ialah sejenis permainan pertaruhan dari beberapa pihak, yang mana pihak yang menang akan meraih dan mengaut wang pertaruhan dari mereka yang kalah.

Mereka yang terlibat dengan perjudian akan menjadi ketagih dan gila berjudi. Kerana ketagih berjudi, si kaki judi tergamak mengorbankan bajet rumahtangga, bajet persekolahan anak-anak, mensia-siakan wang, membuang masa, saling memaki hamun, sering mengalami tekanan jiwa (kerana selalu kalah), dibebani hutang keliling pinggang, menjadi muflis, bahkan berpotensi besar mengheret si pelakunya ke kancah pembunuhan, permusuhan yang tiada penghujungnya.

Di samping itu judi juga berpotensi mencetuskan budaya rasuah, di samping menimbulkan rasa malas bekerja dan berusaha gigih. Kerana, manusia yang ketagih judi sentiasa ingin mencari jalan pintas untuk kaya, walaupun ia sendiri sering mengalami kerugian dalam pertaruhan.

Itulah antara sebab mengapa judi diharamkan oleh Allah dan Rasul. Peringatan tentang bahaya judi telah lama dijelaskan al-Quran dalam surah al-Maidah : 90 - 91.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (90) إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.Sesungguhnya syaitan hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, serta menghalang kamu dari mengingati Allah serta menunaikan solat. Maka berhentilah kamu (dari terlibat dengan perbuatan itu).

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Selain itu, judi menjadi haram kerana ianya merupakan satu cara untuk mendapatkan wang dengan cara yang salah dan zalim. Walaupun mereka berjudi itu atas kerelaan hati, namun syarak tidak pernah mengiktiraf kerelaan seperti ini. Ianya umpama zina yang dilakukan secara rela di antara 2 pihak, namun Allah dan RasulNya tetap tidak meredhainya bahkan mengancamkan mereka dengan azab yang amat pedih.

Keuntungan melalui hasil judi tidaklah halal. Ianya adalah salah satu dari sumber rezeki yang haram.

Allah menegaskan :

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Dan janganlah segelintir di kalangan kamu memakan harta orang lain di antara kamu dengan cara yang bathil dan salah.

Al-Baqarah : 188

Selain itu, keburukan memakan harta yang terhasil dari judi dan pertaruhan ini antara lain ialah daging, lemak, tulang serta tumbesaran fizikal yang terhasil dari rezeki haram akan dibakar oleh neraka.

Sabda Rasul s.a.w :

مَنْ نَبَتَ لَحْمُه مِن السُّحْتِ، فالنار أولى به

Sesiapa yang fizikalnya membesar kerana harta haram, maka api nerakalah yang layak membakarnya.

(al-Hakim)

Nabi juga pernah mengingatkan :

إِنَّ رِجَالًا يَتَخَوَّضُونَ فِي مَالِ اللَّهِ بِغَيْرِ حَقٍّ فَلَهُمْ النَّارُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Sesungguhnya orang-orang yang mengambil harta orang lain dengan tanpa hak akan dihumbankan ke dalam neraka pada hari kiamat kelak.

(al-Bukhari)

Bahkan Allah s.w.t tidak akan menerima sebarang ibadah serta tidak memperkenankan doa mereka yang bergelumang dengan harta yang haram. Dalam hal ini Ibnu Abbas r.a pernah menyatakan :

لَا يَقْبَلُ اللهُ صلاةً امْرِئٍ وَفِي جَوْفِه حَرَامٌ، حتى يتوبَ إلى الله تعالى مِنْهُ

Allah tidak akan menerima ibadah solat seseorang selagi ia bergelumang dengan harta haram, sehinggalah ia berhenti dan bertaubat nasuha kepada Allah.

(Nukilan dari kitab al-Kabair – Az-Zahabi)

Rasul turut berpesan :

فَإنَّ الرَجُلَ يَرْفَعُ اللُّقْمَةَ إلَى فِيْهِ مِن حرَامٍ فَما يُسْتَجَابُ له دَعْوَة أربعين يوما

Sesungguhnya seorang laki yang sekali menyuap harta haram ke dalam mulutnya tidak akan dilayan permintaan doanya selama 40 hari.

(ad-Dailami)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Setelah menjelaskan keburukan judi pada sudut dunia dan agama, mimbar Jumaat sekali lagi ingin mengukuh kesedaran bahawa perbuatan judi dan pertaruhan dalam apa jua bentuk, sama dengan kerelaan hati atau tidak, mengguna modal sedikit atau banyak, dengan cara meneka nombor atau bertaruh atas keputusan bola sepak, diberikan lesen kebenaran atau tidak, melalui internet atau manual adalah tetap ditegah dan diharamkan oleh Allah dan Rasulnya. Bahkan imam Az-zahabi menggolongkannya dalam (al-Kabair) dosa-dosa besar yang pelakunya tidak akan diampunkan Allah melainkan dengan cara bertaubat nasuha.

Pengharaman judi dan pertaruhan adalah satu ketetapan yang pasti dan qat`iy di sepanjang zaman dan di setiap tempat sehingga tibanya hari kiamat.

Mereka yang terlibat, dalam apa jua bentuk penglibatan dilaknat oleh Allah, rezaki yang terhasil adalah rezeki yang haram serta kehidupan mereka sifar berkat.

Ingatlah, jika judi dan pertaruhan ini menjadi trend majoriti rakyat Malaysia sama ada pada musim Piala Dunia atau di lain masa, maka tidaklah pelik andai Allah menurunkan bencana yang akan mengenai seluruh manusia tanpa kecuali. Azab dari maksiat yang berleluasa ini akan menimpa hatta kepada kanak2 yg tidak berdosa, golongan yang berjemaah di masjid, pelajar yang menuntut ilmu dan lain-lain.

Hal ini telah diingatkan oleh Rasulullah apabila baginda ditanya oleh Ummu Salamah :

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ قَالَ نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ

Ya Rasulullah, adakah kami semua akan ditimpa bencana sedangkan masih ada orang2 soleh di kalangan kami? Baginda menjawab : Ya, jika maksiat dan kefasikan berleluasa.

(Bukhari & Muslim)

Itulah rahsianya mengapa manusia perlu saling memberi nasihat dan teguran. Agar tidak menjadi ibarat nila setitik, rosak susu sebalanga. Kerana segelintir yang buat maksiat, habis seluruh masyarakat turut ditimpa bala.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم



وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ


Al-Anfal : 25

Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak hanya khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.

19 Mei 2010

Judi : Ibrah Dari Proton Iswara Merah


Apabila Allah melarang manusia dari sesuatu perkara, itu bererti tegahan tersebut mempunyai mudarat 100%, tiada ada langsung sebarang manfaat padanya. Sama ada di dunia atau akhirat.

Ataupun, jika terdapat manfaat pada perkara yang ditegah itu, maka ianya tidaklah bersifat dominan. Yang dominan tetap mudarat, keburukan dan kejahatan.


Atau manfaat tersebut hanya bersifat sementara. Yang kekal lama adalah mudarat dan penyeksaan.


Ianya tetap wajib dijauhi sekalipun wujud sekelumit manfaat padanya.

Sungguhpun namanya ‘manfaat’, ianya tidak diiktiraf dan dianggap tiada.

Kaedah ini telah diisyaratkan oleh al-Quran ketika turun ayat ‘peringkat ke-2’ dalam proses pengharaman arak dan judi.

قُلْ فِيْهِمَا إِثْمٌ كَبِيْرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ، وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا


Katakanlah kepada mereka : "Pada keduanya (arak dan judi) terdapat dosa (mudarat) yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa (mudarat) keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya."

Al-Baqarah : 219


Arak dan judi walaupun boleh menghilangkan dahaga, menjana keuntungan bagi yang menjualnya atau menang dalam pertaruhan, namun mudarat dan bahaya yang ditimbulkan oleh arak dan judi adalah besar dan tidak dijangka.


Kerana mabuk, si pemabuk boleh melakukan pembunuhan, merogol, merosakkan harta benda, memandu secara merbahaya, terbabit dalam pergaduhan, mendapat penyakit kronik, maruah menjadi rendah dan sebagainya.




Kerana ketagih berjudi, si kaki judi akan mengorbankan bajet rumahtangga, bajet persekolahan anak-anak, mensia-siakan wang, membuang masa, saling memaki hamun, sentiasa sakit jiwa (kerana selalu kalah), hutang keliling pinggang, menjadi muflis, bahkan berpotensi besar mengheret si pelakunya ke kancah pembunuhan, permusuhan yang tiada hujungnya.

Hidup tidak tenang.

Itu antara mafsadah (keburukan) arak dan judi dalam kehidupan.

Jalbu Manfaah Wa Dar`u Mafsadah

Imam ash-Syatibi menyatakan, ciri ‘mengambil manfaat dan menolak mudarat’ sebenarnya adalah tujuan (maqasid) utama di sebalik setiap arahan dan tegahan syara`.

(al-Muwafaqat, Jil. 1, Bah. 2, Hlm. 4)


Kerana itu Syaikh Izzuddin Abdus Salam menyimpulkan, segala apa yang ada di dalam ajaran Islam adalah maslahah (manfaat dan kebaikan).

وَالشَّرِيْعَةُ كُلُّهَا مَصَالِحُ، إِمَّا بِدَرْءِ مَفَاسِدَ أَوْ بِجَلْبِ مَصَالِحَ
(Cara hidup berasaskan) Syariah itu semuanya maslahah (kebaikan), sama ada dalam bentuk menolak kerosakan atau mencapai maslahah.

(Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, Jil. 1, Hlm 14)


Tinggal lagi manusia perlu menggunakan akal untuk mencari dan mengkaji apakah kebaikan dan kejahatan yang tersirat di sebalik suruh dan tegah syara`.

Belajar dan membaca antara kaedah terbaik untuk memahami rahsia Allah di sebalik sesuatu pensyariatan.


Fitrah Membenci Kejahatan

Manusia yang masih normal dan berfitrah pastinya membenci segala kejahatan dan keburukan. Dengan kata lain, mereka yang suka, minat dan menyokong segala bentuk perkara yang boleh menimbulkan mudarat adalah tidak normal dan kehilangan ciri fitrah.

Mereka ini boleh juga dikatakan kurang berakal dan tidak berapa siuman.

Fitrah adalah pakej yang disertakan Allah pada setiap insan.

اَلخِلْقَةُ التي يكونُ عليها كُلُّ مَوجُودٍ أوَّلَ خَلْقِهِ وَالطبِيْعَةُ السليمةُ لَمْ تَشُبْ بِعَيْبٍ. وعند اصطلاح الفلاسفة الاستعداد لإصابَةِ الْحُكْمِ والتمييزُ بين الحق والباطل

Fitrah ialah ciptaan yang wujud pada setiap insan sejak permulaan kejadiaannya dan ianya tabiat normal yang tidak pernah dicemari (oleh unsur-unsur perosak). Menurut ahli falsafah, fitrah ialah rasa kesediaan untuk menerima hukum yang betul dan kemampuan membezakan antara yang benar dan salah.

(Mu`jam al-Wasit, Bab Huruf Fa`)

Namun jika tidak dipelihara dengan ilmu dan iman, fitrah pantas bertukar menjadi fitnah.

Ghani Minhat Pun Tak Minat Judi Bolasepak


Dalam isu judi bolasepak yang telah di‘halal’kan oleh pihak kerajaan, raja bola negara, Datuk Abdul Ghani Minhat turut menyatakan rasa tidak setujunya. (Berita Harian, 13 Mei 2010)

Walaupun beliau tidak menyatakan alasan dari sudut agama, namun bantahan beliau adalah berpunca dari fitrah insani yang bencikan keburukan, kejahatan dan kemudaratan. Judi, bukan sekadar menyebabkan dosa kepada mereka yang terbabit, bahkan berpotensi mencetuskan gejala rasuah dalam sukan bolasepak tempatan.
Pada beliau, kebenaran ini akan membuka ruang judi pertahuran dalam liga tempatan sekaligus membunuh pembangunan bola sepak negara yang baru tumbuh.

Mutu permainan bolasepak negara belum pun sehebat China, Jepun dan Korea. Apabila judi bolasepak diberi ruang, gejala rasuah yang pernah mencemarkan negara pada suatu ketika dulu tidak mustahil kembali lagi. Pemain-pemain bermain tidak sepenuh hati. Keputusan perlawanan perlu mengikut ketentuan mereka yang bertaruh. Para penyokong tertipu dengan aksi lincah yang dibuat-buat.

Barangkali itu asas bantahan Datuk Ghani Minhat. Fitrahnya telah mencetuskan bantahan terhadap kejahatan yang ditimbulkan oleh judi.

Buku Manual Iswara
Seperti membeli produk kereta Proton Iswara 1.3, sudah tentu pemiliknya – mahu tidak mahu – mesti merujuk buku manual yang disediakan agar kenal kedudukan butang, punat, wayar dan skru yang berkaitan. Supaya tahu membuat selenggara asas dalam situasi kecemasan sebelum diserahkan ke bengkel untuk urusan selanjutnya.

Adalah dianggap tidak bijak atau kurang berakal jika menggunakan buku manual Proton Gen2 sedangkan kereta yang dibeli adalah Proton Iswara.

Walaupun kita berhak membantah syarikat pengeluar kereta Proton, namun bantahan itu tidak berasas dan tidak dapat diterima oleh mana-mana akal yang sihat.

“Ikut suka aku la nak guna buku manual mana pun. Aku yang beli, aku punya hal la!” Bebel si bodoh sombong.

Pihak syarikat pengeluar hanya mampu tersenyum sinis mendengar alasan bengap tersebut.

Tidak keterlaluan jika orang seperti ini dianggap jahil murakkab (bodoh berlapis-lapis). Sudahlah jahil. Tidak sedar yang diri tidak tahu. Kemudian berlagak tahu pula. Malangnya berganda.

Suka atau tidak, arahan buku manual yang sesuai dengan produknya mesti dipatuhi. Kerana syarikat pengeluar lebih arif dan faham tentang konsep produk yang dipasarkan. Mereka lebih tahu selok-belok dalaman yang tidak difahami oleh kebanyakan pengguna.

Mereka yang reka. Mereka lebih tahu.

Agar pengguna benar-benar mengguna. Bukan dipergunakan.

Al-Quran : Buku Manual Untuk Manusia


Justeru, segala yang terdapat dalam ‘manual book’ al-Quran dan Sunnah adalah ‘direction to use’ yang digubal Allah sebagai panduan buat ‘produk’ Allah bernama MANUSIA.

Setiap Arah (Amr) dan Tegah (Nahi) dari Allah dan Rasul mengandungi pelbagai kebaikan untuk mereka yang menurutinya sementara pelbagai jenis keburukan menanti mereka yang enggan dan ingkar.


Sebagai insan yang diberikan akal, Allah menjelaskan sebab mengapa judi diharamkan.


إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

Sesungguhnya syaitan hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, serta menghalang kamu dari mengingati Allah dan menunaikan solat. maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).

(Al-Maidah : 91)

Allah adalah Tuhan yang mencipta produk INSAN. Dia maha tahu tentang apa yang diperlukan oleh manusia. Dia maha arif apa yang baik, apa yang buruk untuk manusia.

Kefahaman ini menuntut kita supaya thiqah kepada keupayaan syariat dalam mengatur kehidupan. Agar percaya dengan sepenuh keimanan bahawa sesuatu yang digubal oleh Allah adalah perancangan teliti serta penuh hikmah dan kebijaksanaan Tuhan yang al-Hakiim.

Allah menyedarkan manusia.

إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Sesungguhnya Aku maha mengetahui apa yang kamu tidak ketahui


(Al-Baqarah : 30)

Jangan jadi seperti si bodoh sombong tadi. Lain produk yang dibeli, lain pula buku manual yang dirujuk.

Jadilah orang yang bijak. Usah jadi pengasas maksiat. Ramai yang menanti di peringkat 'downline' sana. Kering-kering dapat dosa.

Semoga pihak-pihak berkuasa agama, mufti-mufti dan mereka yang punya pengaruh ‘bersuara’ dalam isu ini. Suara anda lebih beraura dan lebih didengar.

Semoga kerajaan kita dikuasai oleh mereka ‘lebih normal’ dan cintakan fitrah. Kerana kuasa anda mampu menidakkan anasir pencetus fitnah.

Bantu kami Ya Allah.

11 Mei 2010

Sedikit Info Tentang Israiliyyat

“Ini bukan hadith, ini isra`iliyyat!”

“Hati-hati bila baca tafsir. Pastikan ianya datang dari sumber yang sahih. Banyak fakta-fakta isra`iliyyat yang mesti ditapis.”

“Enta tau tak amalan yang enta buat ni berasaskan isra`iliyyat?”

Itu antara kata-kata yang mungkin diungkapkan oleh sebahagian pelajar aliran Pengajian Islam dalam dan luar negara.

Apa dia Israiliyyat itu?

Apakah semuanya negatif? Atau sebahagiannya sahaja?

Asal Usul Israiliyyat (cara sebut ialah isra-i-liyyat)

Israiliyyat berasal dari kalimah Bani Israil. Israil ialah nama atau gelaran kepada Nabi Yaaqub. Menurut Dr Abu Shahbah, Israil bererti hamba Allah. Namun, Dr. Wahbah az-Zuhayli menyatakan dalam Tafsirnya bahawa Israil bererti pemimpin yang berjihad.

Justeru, istilah ‘Bani Israil’ memberi maksud anak-anak nabi Yaaqub termasuk cucu-cicit beliau di zaman nabi Musa dan Isa hingga ke hari ini. (Fathul Bari, Juz 10, Hlm. 261)

Secara umumnya, istilah Bani Israil dan Ahli Kitab merangkumi manusia yang menjadi pengikut Nabi Musa dan Nabi Isa. Namun secara khusus, kaum Nabi Musa digelar Yahudi, sementara kaum Nabi Isa dipanggil Nasrani.

Di dalam al-Quran, Allah s.w.t kerap memanggil golongan ini dengan gelaran Bani Israil (anak cucu Yaaqub). Uslub ini digunakan agar mereka sentiasa mencontohi datuk atau moyang mereka yang soleh itu. Supaya mereka merasa segan dan malu untuk terus melakukan kejahatan dan kemungkaran. Agar mereka cepat sedar dan insaf.
“Jangan malukan company!” barangkali itu bahasa hari ini.

Umpama menegur anak ustaz dengan kata-kata : “Kamukan anak ustaz fulan. Bapa kamu selalu keluar TV, bagi ceramah dan kuliah. Kenapa kamu tergamak buat macam ni?”

Taurat dan Talmud

Kitab utama orang-orang Yahudi ialah Taurat. Pada asalnya, kitab Taurat memang mengandungi petunjuk dan pedoman dari Allah. Ianya wahyu yang turun dari langit.

Namun setelah beberapa ketika, Taurat mula dimasuki unsur-unsur asing dan palsu. Ianya diseleweng dan ditokok tambah. Tidak lagi ori dan asli. Ulama melabelkan bendasing ini sebagai ‘dakhiil’.

Apabila al-Quran menyatakan Taurat sebagai sumber petunjuk dan cahaya kehidupan, ianya menghendaki Taurat versi asli. Bukan versi ‘baru’ yang telah diubah, ditokok dan dikurang.

Di samping kitab Taurat, golongan Yahudi juga mempunyai satu lagi kitab yang bernama Talmud. Ia juga boleh dikategorikan sebagai Taurat versi lisan. Asalnya, Talmud ialah himpunan nasihat, cerita, syariat agama, sastera, huraian, tafsiran serta riwayat-riwayat lain yang diajar dan disampaikan secara lisan dan turun temurun.

Oleh kerana maklumat-maklumat tersebut semakin banyak dan berkembang, maka pendeta-pendeta Yahudi mula membukukannya agar info-info berkaitan tidak hilang dan pupus. Penulisan ini akhirnya diterima oleh umat Yahudi sebagai rujukan kedua setelah Taurat yang bernama Talmud.

(al-Israiliyyat Wa al-Maudhu`at Fi Kutub at-Tafasir, hlm. 13)

Apa itu Israiliyyat?

Berdasarkan info-info di atas, Israiliyyat ialah :

Cerita-cerita zaman lampau, nasihat, hukum hakam dan maklumat yang dimuatkan dalam Taurat, Talmud, asfar (buku-buku sampingan selain Taurat dan Talmud), termasuk info budaya Yahudi dan cerita khurafat.

Sebahagian pengkaji berpendapat, info dan maklumat berkaitan golongan kristian turut juga termuat dalam Israiliyyat. Namun ia amat sedikit dan terhad.
(al-Israiliyyat Wa al-Maudhu`at Fi Kutub at-Tafasir)

Maklumat-maklumat ini kemudiannya berpindah ke dalam kitab-kitab sejarah, buku-buku cerita dan juga kitab-kitab tafsir.

Israiliyyat, sekalipun terdapat padanya cerita-cerita benar dan punya iktibar, namun kebatilan, khurafat, cerita pelik dan aneh serta info rekaan adalah lebih banyak dan dominan.

Kategori Israiliyyat

Secara umumnya, Israiliyyat boleh dibahagikan kepada 3 kategori :

1) Israiliyyat yang selari kehendak al-Quran dan Sunnah.

Contohnya: Kisah-kisah Bani Israil dalam Quran dan Hadith yang sahih. Seperti kisah laut terbelah setelah dipukul tongkat Nabi Musa.

Ianya adalah israiliyyat yang paling benar.

2) Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah dan fakta Sains.

Contohnya:

- Cerita malaikat Harut dan Marut yang terlibat minum arak, berzina dan membunuh.

- Cerita bumi terletak di atas tanduk lembu. “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.”

3) Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya (مسكوت عنه).


Contohnya:

- Riwayat-riwayat yang menceritakan bahagian anggota lembu yang diambil untuk memukul si mati dalam kisah Bani Israil. Ada yang mengatakan lidah. Ada yang mengatakan ekor.

- (Barangkali) seperti asal usul kapal Nabi Nuh serta teori tentang kelebihan kayu kokka.

Hukum menyebarkan Israiliyyat


Penyusun buku Mustika Hadith menyatakan, seseorang itu diberikan ‘kelonggaran’ untuk menyebarkan cerita Israiliyyat, asalkan cerita-cerita itu tidak diyakini kepalsuannya serta mengandungi pengajaran dan iktibar. (Mustika Hadith, Jilid 1, Hlm 103 – edisi jawi)

Ianya seperti :

- Kisah kaum yang dihukum membunuh diri sendiri sebagai bentuk penyesalan dan taubat dari dosa menyembah anak lembu. (lihat Surah al-Baqarah : 54)

- Kisah kaum yang diubah menjadi kera dan babi kerana kesalahan melanggar perintah Allah di hari Sabtu. (lihat al-Baqarah : 65, al-A`raf : 166)

- Dan lain-lain.

Kesimpulan tersebut adalah berdasarkan kefahaman dari pesanan Rasul s.a.w.


Sampaikanlah sesuatu daripadaku sekalipun Cuma 1 ayat. Ceritakanlah tentang perihal Bani Israil dan tidak ada salahnya (untuk kamu berbuat demikian). Namun sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya di dalam neraka.

(H.R al-Bukhari dan at-Tirmizi)

Namun, jika Israiliyyat itu diyakini kepalsuannya serta melibatkan pendustaan atas nama Baginda Rasul s.a.w atau info sesuatu Israiliyyat itu bercanggah dengan kaedah syariah dan fakta sains, maka seluruh ulama salaf dan khalaf bersepakat bahawa tidak boleh menyebarkan cerita Israiliyyat kepada khalayak awam, sama ada melalui upacan atau penulisan.

Ia amat bercanggah dengan disiplin ilmu dan maruah.

Ibnu Solah menjelaskan, tegahan ini adalah merangkumi perkara yang berkaitan halal dan haram, cerita-cerita, sejarah, targhib (galakan), tarhib (ancaman) dan fadhail (kelebihan beramal).

Tegahan ini berdasarkan amaran Rasulullah s.a.w dalam hadith di atas :


Namun sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya di dalam neraka.

Dan juga peringatan Baginda dalam hadis Muslim.


Sesiapa yang menceritakan sebuah hadith yang ia sendiri mendapatinya sebagai hadith rekaan dan palsu, maka ia sesungguhnya tergolong di kalangan penipu dan pendusta.


Melainkan jika israiliyyat itu disebutkan sebagai contoh dan peringatan serta dinyatakan status cerita berkenaan sebagai cerita israiliyyat yang direka-reka atau tidak mempunyai sandaran sanad yang diiktiraf. Maka ketika itu ianya diharuskan.

Adapun jika sesuatu maklumat itu tidak diketahui status benar atau palsunya, maka Nabi menyarankan agar kita mengambil sikap ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Janganlah kamu menganggap benar cerita-cerita ahli kitab dan jangan pula kamu mengganggap dusta. Tetapi katakanlah : “Kami beriman dengan Allah serta segala ajaran yang diturunkan kepada nabi Ibrahim, Ismail, Ishak dan Yaakub.”

(Tarikh at-Tafsir Wa Manahij al-Mufassirin, Hlm 78)

Sikap Kita

Sebagai golongan yang melibatkan diri dengan ilmu (seperti memberi kuliah, berkhutbah, menulis artikel, blog, berceramah dsb) kita sewajarnya menjadi contoh terhadap masyarakat dalam menonjolkan sikap cermat dan teliti sewaktu menyebarkan fakta al-Quran, Sunnah dan sejarah. Ianya seperti :
  • Menyatakan takhrij dan sumber sesuatu hadith ketika berucap atau menulis. Ini supaya kita terselamat dari kesalahan sewaktu mengungkapkan hadith dan dengan sumber tersebut para pendengar/pembaca boleh melakukan rujukan pada masa akan datang.
  • Menyatakan sesuatu cerita itu sebagai “israiliyyat yang tiada sandaran” sewaktu menulis atau menyebutkannya di khalayak awam.
  • Di antara bentuk “yang hampir kepada pendustaan atas nama Rasul” ialah menyebut kalimah-kalimah hadith dengan baris/tanda baca yang salah. Ini kerana ianya akan merubah maksud hadith atau menjadikannya tidak bermaksud, sekaligus merubah maksud syara`. Justeru, pastikan hadith dibaca/ditulis dengan tepat dan betul.
    (Mustika Hadith, Jilid 1, Hlm 103)
  • Tidak kerap menukilkan cerita Israiliyyat. Ini kerana selalunya isi cerita Israiliyyat adalah pelik, aneh dan mungkin seronok didengar. Justeru, adalah tidak wajar sering menyogokkan masyarakat dengan cerita pelik yang tidak berasas kerana ia tidak berfaedah. Banyak lagi maklumat penting yang perlu masyarakat tahu dan faham.
  • Agar tidak terjebak dari memetik riwayat israiliyyat yang tidak berasas, gunakan kitab tafsir yang memiliki ‘takhrij’ hadith dan penjelasan status riwayat. Atau gunakan at-Tafsir al-Munir karangan Dr. Wahbah az-Zuhayli sebagai rujukan tafsir. Ini kerana kitab tersebut dilihat hanya memuatkan fakta-fakta israiliyyat yang sahih dari al-Quran dan Sunnah.
Rujukan :

- At-Tafsir al-Munir – Dr. Wahbah az-Zuhayli
- Fath al-Bari - Ibnu Hajar al-Asqalani
- Mustika Hadith – Susunan bersama oleh Syaikh Abdullah bin Basmeh, Datuk Hj Muhammad Nor bin Ibrahim dan Hj. Ismail bin Yusuf
- Sahih al-Bukhari
- Sahih Muslim
- Sunan Tirmizi
- Al-Israiliyyat Wa al-Maudhu`at Fi Kutub at-Tafasir – Dr. Abu Shahbah
- Dirasat Wa Mabahith Fi Tarikh at-Tafsir Wa Manahij al-Mufassirin - Dr. Hasan Yunus `Abidu