27 Februari 2012

Ada Apa Dengan Projek Lynas?


Tiba-tiba negara digemparkan dengan isu projek Lynas. Yang banyak menghebahkan cerita tentang Lynas ini ialah media baru dan alternatif dalam web, blog, facebook dan sebagainya. Cerita-cerita dalam media ini cenderung menghalang dan tidak bersetuju dengan projek ini atas dasar-dasar tertentu.

Media arus perdana pula ada juga menyebutkan isu ini, tapi nampaknya tak banyak sangat. Dan media-media ini pula menjadi juruakap bagi pihak yang bersetuju dan mengiakan projek Lynas ini.

Ada apa dengan Lynas ini?

Saya sebagai rakyat biasa yang memang 'biasa-biasa' saja dari sudut pengetahuan sains alam sekitar cuba mencari-cari 'apa benda Lynas ni?'

Akhir sekali saya merasakan saya bersetuju dengan pihak 'penentang Lynas' atas sebab-sebab berikut :

- Lynas itu ialah satu projek Loji Pemprosesan Nadir Bumi LYNAS di Gebeng, Kuantan.

- Lynas ini syarikat dari Australia. Tapi kerajaan Australian tak benarkan Lynas beroperasi di sana atas sebab-sebab risiko pencemaran yang tinggi dan bahaya radiasi. 

- Hakikatnya, hampas atau sisa ini bukanlah sekadar kotoran atau sampah tetapi merupakan sisa radioaktif yang mengandungi gelombang radiasi yang amat merbahaya kepada kesihatan manusia dan kepada persekitaran kita.

- Bandar Kuantan merupakan sebahagian dari negara ini dan bukanlah sejauh yang kita sangkakan sebelum ini. Rakyat Malaysia mesti mengubah sikap ‘tidak apa’ khususnya yang berkaitan dengan isu Lynas dan perlu diambil tindakan proaktif dengan kadar segera.

- Sekiranya sisa toksik radioaktif ini menyerap masuk ke dalam sistem perairan dan tanah, sudah tentu banyak aktiviti akan terjejas. Dari upacara perkahwinan kepada bidang perniagaan kepada arena pelancongan, semuanya akan terjejas dengan peninggalan kesan jangka panjang.

- Ada pepatah masyhur menyebutkan “mencegah adalah lebih baik dari merawat”. Ini merupakan poin utama pihak penentang menghalang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dari berlaku.

- Lynas menimbulkan ketakutan dan kebimbangan manusia terhadap pendedahan kepada sisa radioaktif kerana ianya sukar dikesan dengan mata kasar.

- Projek ini umpama ‘time bomb’ ini yang boleh meletup pada bila-bila masa. Sungguh pun ia bermanfaat dari sudut ekonomi, tapi mudarat dan bahaya ke atas rakyat dan alam sekitar lebih berimpak besar dan menakutkan.

- Mengikut sumber laporan akhbar, loji pemprosesan Lynas mempunyai banyak kekurangan dari segi infrastruktur,  tidak mematuhi piawaian keselamatan dan banyak tanda tanya berkenaan dengan prosedur menandatangani kelulusan loji ini.

- Selain daripada itu, pihak Syarikat LYNAS belum lagi mengemukakan kertas cadangan untuk cara menguruskan dan membuang sisa radioaktif ini. Pihak Syarikat LYNAS hanya mempunyai idea untuk menguruskan sisa radioaktif menggunakan “kaedah sementara” di mana sisa radioaktif akan disimpan dahulu.

- Yang mengerikan bukan hanya sisa radioaktif pepejal sahaja malah air kumbahan dan sisa gas toksik yang dihasilkan dalam proses ini cukup untuk mencemarkan alam sekitar.

- Pemprosesan nadir bumi ini akan menghasilkan 500m3 sisa sejam yang boleh memenuhi 5 kolam renang Olimpik. Air tercemar ini turut mengandungi sisa radioaktif yang akan meresap ke dalam makanan melalui satu rantaian di mana air tercemar yang mengalir ke laut akan menjejaskan hidupan laut yang akhirnya akan dimakan oleh manusia.

- Sisa radioaktif yang terkandung dalam hidupan laut akan mengesahkan kemudaratan kesihatan. Gas yang dihasilkan dari pemprosesan tersebut adalah sebanyak 100 000m3 bagi setiap satu jam.

- Gas ini jika dibebaskan ke udara, akan terlarut bersama molekul air hujan yang akan menyebabkan pencemaran jangka panjang kepada kesihatan dan persekitaran.

- Di samping itu, dalam dunia perniagaan negara China memegang monopoli pembekal terbesar didunia bagi nadir bumi ini. 

- Di inner Mongolia, kawasan Bautou Ia sudah lama menjadi tempat penapisan nadir bumi terbesar di dunia.  Disebabkan kebocoran sisa air ini, 70.9 peratus daripada penduduk tempatan mengalami penyakit kanser dan kerajaan negara China telah membayar pampasan  kepada mangsa pendedahan sisa radioaktif ini tetapi sudah tentu tidak mencukupi. Menyedihkan lagi, penduduk Bautou tidak mampu untuk meninggalkan tempat tersebut dan tidak dapat menampung kehidupan yang lebih tinggi di luar. Oleh itu mereka terpaksa menjalani kehidupan di sana walaupun mengalami keracunan yang kritikal.

- Mengikut penduduk tempatan di sana, sumber utama pendapatan mereka disana adalah daripada kegiatan pertanian tetapi pada hari ini, hasil tanaman disana tidak boleh dimakan kerana mengakibatkan cirit-birit.

- Sumber air disana juga tidak boleh diminum kerana selepas air itu dididihkan, bahan sisa dapat dilihat terapung di atas air. Kegiatan perlombongan juga terjejas, begitu juga sumber mata air untuk kegiatan pertanian juga terjejas kerana sumber air tercemar. Ini jelas menunjukkan tahap pencemaran yang serius di kawasan tersebut.

- Selain daripada penyakit kanser, penduduk dikawasan Bautou juga mengalami masalah osteoporosis, hemiplegia, kelonggaran gigi dikalangan golongan orang dewasa. Kanak-kanak mengalami kerosakan gigi dan boleh dicabut begitu sahaja.

- Kerajaan negara China sudah mula risau mengenai tahap pencemaran di kawasan Baotou kerana tanda-tanda pencemaran berskala besar telah dikenalpasti di Sungai Huang He dan mungkin akan mengakibatkan masalah yang tidak dapat diduga.

Berdasarkan poin-poin tadi dan akal yang telah Tuhan beri bagi membezakan baik dan buruk, sewajarnya projek ini dihentikan serta-merta kerana ia jelas menjadikan ramai pihak khususnya rakyat Malaysia yang kerugian dan terkena mudarat.

Ini bukan sekadar isu politik. Ini isu alam sekitar yang melibatkan maslahah `ammah dan pertimbangan antara manfaat dan mudarat terhadap rakyat. Malah agama Islam amat-amat menegah sebarang bentuk kerosakan dan kemudaratan.

Ia juga melibatkan salah satu dari prinsip Maqasid Syariah Terpenting iaitu penjagaan nyawa dan keselamatan diri.

Kita bukan penentang pembangunan selagi ia bermanfaat. Tapi kita menentang pembangunan negara yang mengorbankan kehidupan rakyat dan orang ramai.


# Ya ALlah... Bantulah kami untuk menumpaskan kerosakan dan kejahatan di bumiMU...!