20 Oktober 2011

Meneladani Hatim Si Pekak


Pernah dengar cerita tentang Hatim?

Ada pengajaran yang menarik daripada gelaran si pekak yang diberikan kepadanya. 

Siapa Hatim? Berdasarkan catatan dalam 'I.C beliau', nama penuhnya ialah Hatim Bin Unwan. Beliau adalah seorang ulama yang soleh. Hidup di sekitar kurun ke-3 hijrah dan berasal dari Khurasan.

Khurasan? Kat mana tu? 

Menurut satu sumber maklumat, kedudukan geografi Khurasan hari ini dikongsi di antara beberapa buah negara seperti Iran, Afghanistan, Tajikistan, Turkmenistan and Uzbekistan.


Hatim ini popular dengan gelaran Al-Asom (اَلْأَصَمْ). Al-Asom ertinya pekak.

Ingat lagi tak masa belajar tauhid di sekolah dulu? Kan dalam sifat yang mustahil bagi Allah ada sifat yang berbunyi 'Kaunuhu Asomma'? Ertinya mustahil Allah ta`ala berkeadaan pekak.
Jadi, kedua-dua istilah memberi makna yang sama.

Sekadar refresh maklumat lalu.

Kembali.

Kenapa si alim lagi soleh ini boleh digelar begitu? Sapa pula yang berani-berani menghina wali Allah ini?

Ada asal usul ceritanya.

Pada suatu hari, ada seorang wanita datang berjumpa Hatim di kedainya. Wanita ini ada kemusykilan agama. Ketika sedang menunggu Hatim datang, wanita itu tiba-tiba terkentut.

"Prooott!!" Bunyi angin menggegar suasana.

"Alamak! Malunya! Macam mana ni!!" Pucat lesi wanita itu. Mujurlah ketika itu tidak ada pelanggan.

"Syaikh Hatim dengar ke tak ni?" Wanita tadi tertanya-tanya dengan penuh debaran.

Hatim yang tidak jauh dari situ sebenarnya memang terdengar bunyi tersebut. 

Namun Hatim seorang yang mulia.

"Ye puan, ada apa yang boleh saya bantu?" Tanya Hatim sesudah sampai di hadapan wanita tersebut.

Dengan rasa malu wanita itu bertanya."Saya ada satu masalah."

"Sekolah? Kat sini memang ada satu sekolah." Ujar Hatim.

"Bukan sekolah wahai Syaikh, tapi masalah. Masalah tentang hukum-hakam."
Terang wanita tadi.

"Ooo, masalah. Ingatkan sekolah. Saya ni kurang dengar sikit. Boleh puan kuatkan suara?" Pinta Hatim.

"Alhamdulillahhhh...! Syaikh ni pekak rupanya. Pasti dia tak dengar bunyi angin tadi! Alhamdulillah!!" bisik hati wanita tersebut.
  
Sejak dari itu, Hatim popular dengan gelaran si pekak @ al-Asom sehinggalah hari ini.

Demi menjaga perasaan dan maruah orang, Hatim rela buat-buat pekak hingga orang lain menyangka Hatim benar-benar si pekak!


*     *     *     *     *     *

Semoga Allah merahmati Hatim Al-Asom. Sungguh! ianya akhlak yang mulia dan mengkagumkan!

Teladanilah Hatim. Janganlah suka mencari kehodohan dan keburukan peribadi orang lain. 

Setiap dari kita semuanya ada keburukan dan keaiban. Keburukan itu mungkin wujud pada fizikal, perangai, cara bercakap, cara berfikir dan seumpamanya. Tidak ada manusia yang sempurna.

Tetapi mujurlah Allah itu bersifat as-Sattar (maha penutup aib), maka kita sentiasa kelihatan sempurna di mata orang walaupun hakikat sebenarnya tidaklah begitu. Penghormatan yang diberikan selama ini adalah berasaskan sangka baik mereka kepada kita. Jika ianya didedahkan, sudah tentu penghargaan dan penghormatan mereka tidak seperti yang kita terima sekarang.

Oleh itu beringat-ingatlah. Kerana keaiban orang yang kita sebarkan akan disebarkan pula oleh Allah sama ada di dunia atau akhirat.


Nabi memberi amaran.

مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا فِي الدُّنْيَا، سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Sesiapa yang menyembunyikan @ tidak mendedahkan aib seseorang muslim di dunia, Allah tidak akan mendedahkan aibnya di dunia dan akhirat.

H.R Ahmad

Mengaib atau memalukan orang lain boleh berlaku dalam bentuk mengumpat, memfitnah, menegur orang 'dikhlayak awam', mencaci, memaki dan seumpamanya. Ia juga boleh berlaku dalam bentuk lisan, tulisan dan gaya isyarat.

Melainkan jika aib seseorang itu boleh membahayakan orang lain, maka ketika itu ia boleh didedahkan pada kadar berpatutan.Itu pun kerana mahu menyelamatkan orang lain.

Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa... di sini dan juga di sana.


P/S : Kisah ini telah dibuat sedikit modifikasi dari versi asal agar sesuai dijadikan sebuah cerita.


Rujukan :

- Kuliah Sairu as-Salikin - Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam
- Musnad Imam Ahmad
- Web : http://safeena.org/vb/showthread.php?6450-%CC%E6%C7%E3%DA-%C7%E1%CE%ED%D1-%28-%E3%E4-%C3%CE%C8%C7%D1-%CD%C7%CA%E3-%C7%E1%C3%D5%E3-%29

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...