28 Oktober 2011

Mendulang Emas Di Bulan Zulhijjah



Artikel ini diulangsiar semula sebagai perkongsian manfaat dengan sedikit modifikasi.




Maghrib semalam @ atau hari ini bermulalah 1 Zulhijjah 1432h. Ini bererti kita sudah masuk bulan terakhir bagi tahun hijrah 1432. Setelah berlalunya sebulan dari sekarang, tahun 1433 hijrah pula akan mengambil tempat.

Bermula pada hari ini juga, kita sedang melalui satu lagi peluang untuk menambah bekalan akhirat. Ianya akan berlangsung selama 10 hari, bermula dari 1 hingga 10 Zulhijjah (28 Oktober hingga 6 November).

Asas kelebihan ‘bonus berganda’ ini adalah berdasarkan firman Allah ta`ala :

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
Al-Fajr : 1 -2

Demi waktu fajar! Dan demi malam-malam sepuluh!

Pandangan Ahli Tafsir

Ulama sedikit berkhilaf dalam mentafsirkan erti ‘malam-malam yang sepuluh’. Namun, perselisihan tafsiran tersebut tidak mencetus kontradik yang serius dalam memahami teks. Ini kerana segala pandangan yang terbit boleh dan dapat disatukan dalam ayat tersebut.

Antara lain ulama memaksudkan ‘Layalin `Ashr’ sebagai :

- 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah.
- 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan.
- 10 hari pertama dalam bulan Muharram (kerana kewujudan hari asyura pada hari yang ke-10 Muharram)
- Dan lain-lain.

Dalil Hadith

Terdapat riwayat hadith yang menjelaskan kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah secara umum.

Ianya adalah hadith yang direkodkan oleh imam Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain. Sabda Rasulullah s.a.w :

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ أَحَبُّ إِلَى الله فِيْهِنَّ مِنْ هَذِهِ اْلأَيَّامِ يَعْنِي عَشْرَ ذِي الْحِجَّةِ. قَالُوا: وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيْلِ الله؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيْلِ الله، إِلَّا رَجُلاً خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، ثُمَّ لَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.

“Tidak ada hari-hari yang ketaatan pada waktu itu lebih disukai oleh Allah berbanding hari-hari sepuluh pertama dari bulan Zulhijjah. 

Para sahabat bertanya : “Hatta berperang di jalan Allah pun tidak sehebat itu, Ya Rasulullah?”

Baginda menjawab : “Hatta berperang di jalan Allah pun tidak sehebat itu, melainkan jika ia keluar berperang dengan diri dan hartanya, kemudian ia tidak lagi pulang-pulang (mati syahid).”

Rasional Kelebihan Bulan Zulhijjah

Dr. Yusuf Al-Qardawi menjelaskan antara punca Zulhijjah memiliki kelebihan ialah kerana ianya termasuk dari bulan-bulan haram yang empat. Selain itu, aktiviti-aktiviti ibadah haji seperti wuquf di Arafah, bermalam di Mina dan Muzdalifah dan laim-lain turut dilaksanakan dalam tempoh itu. Malah hari raya Aidil Adha dan sembelihan korban turut disyariatkan pada bulan tersebut. Peristiwa-peristiwa tersebut menyerlahkan kelebihan bulan Zulhijjah.

Justeru, seperti mana 10 malam terakhir Ramadhan adalah malam-malam terbaik, maka 10 hari pertama Zulhijjah adalah merupakan siang-siang terbaik. Sepertimana Lailatul Qadr adalah semulia-mulia malam, maka hari 9 Zulhijjah adalah semulia-mulia siang.

Kemuliaan hari-hari tersebut mesti dipenuhi dengan benda-benda baik. 

Amalan Umum dan Amalan Khusus

Ada banyak bentuk kebaikan yang boleh dilakukan dalam tempoh tersebut. Kita boleh berpuasa, memperbanyak bacaan al-Quran, berzikir, bersedekah, memperbanyak solat sunat, menghulurkan bantuan, menghadiri majlis ilmu dan macam-macam lagi. 

Hadith di atas datang secara umum. Justeru ia membuka ruang yang luas buat kita untuk mempelbagaikan jenis dan bentuk amalan asalkan ianya baik dan soleh di mata syarak menurut dalil yang umum dan prinsip maslahah.

Di sana terdapat beberapa hadith yang menyarankan amalan-amalan sunat di dalam tempoh 10 hari tersebut. Antaranya :
  • Berzikir. Rasul menyarankan :

مَا مِن أيامٍ أعظمُ عِندَ اللّه ولاَ أحبُّ إليهِ فِيهِنَّ العملُ مِن هذه الأيام (عشرِ ذي الحجة) أو قال: العشرِ- فأكْثِرُوا فيهنَّ مِنَ التهليل والتسبيح والتكبير والتحميد.

Tidak ada hari yang lebih agung dan lebih disukai oleh Allah dari segi beramal soleh daripada hari-hari 10 pertama Zulhijjah, kerana itu, perbanyakkanlah mengucap tahlil, tasbih, takbir dan tahmid pada hari-hari tersebut.

(H.R Ahmad, Tabrani, Baihaqi dll)
Imam Nawawi menjelaskan :

وَاعْلَمْ أَنَّهُ يُستَحبُّ الإكثارُ مِن الأذكارِ في هذا العَشْرِ زيادةً على غيرِه ، ويُستحبُّ مِن ذلك فِي يومِ عَرَفَةَ أكثرَ مِن باقي العَشْرِ

Ketahuilah bahawa disunatkan memperbanyak zikir pada sepuluh hari tersebut melebihi hari-hari lain. Dan disunatkan juga (membanyakkan zikir) pada hari Arafah (hari ke-9 Zulhijjah) lebih dari 10 hari yang berbaki.

(al-Adzkar, hlm. 173)
  • Berpuasa pada 9 Zulhijjah (hari Arafah) bagi mereka yang tidak menunaikan haji.
Puasa di hari Arafah menghapuskan dosa selama 2 tahun. Rasulullah s.a.w pernah menjelaskan :

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
(Puasa di hari Arafah) menghapuskan dosa tahun lalu dan tahun hadapan.

(H.R Muslim)

Bahkan pahala berpuasa dan melakukan kebaikan di siang hari-hari yang sepuluh itu ditambah dan digandakan. Lihat hadith ini.

وَإِنَّ صِيَامَ يَوْمٍ مِنْهَا يَعْدِلُ بِصِيَامِ سَنَةٍ، وَالْعَمَلَ فِيهِنَّ يُضَاعَفُ سَبْعمِائَةِ ضِعْفٍ

Sesungguhnya berpuasa sehari dari 10 hari tersebut pahalanya menyamai berpuasa setahun. Dan beramal soleh pada hari-hari tersebut digandakan pahalanya sehingga 700 kali ganda.

(H.R al-Baihaqi dlm. Syu`ab al-Iman, As-Suyuti dlm. Jami` al-Ahadith)

Peluang menggandakan pahala dan menghampiri rahmat Allah bakal tiba.

Usah biarkan peluang keemasan ini berlalu begitu sahaja. Siapa tahu, amalan kita dalam 10 pertama Zulhijjah nanti mungkin menjadi punca utama kita ke syurga....

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
Berlumba-lumbalah kamu dalam membuat kebaikan

Sekadar ingatan buat diri dan taulan.

Renung-renungkan dan selamat beramal!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...