Dulu ada kawan cakap.
"Engkau baca ayat-ayat sekian, nanti akan ada makhluk datang nak berdamping..."
Aku tanya. "Makhluk apakah itu?" Dia menjawab: "Itu khadam ayat atau khadam surah yang engkau baca."
Yang cakap macam ini ialah seorang kawan yang hafal 30 juz Al-Quran. Aku pun antara nak percaya atau tidak. Nak tolak, kawan ini hafiz Al-Quran kot. Nak terima, dari sumber mana dia ambil? Kenapa khadam tu wujud di sebalik ayat atau surah tertentu?
Macam-macam persoalan timbul dalam hati. Tapi aku tak ada jawapan tuntas. Tak tahu nak cari di mana. Sehinggalah isu berkaitan GISB muncul baru-baru ini. Hati aku tiba-tiba teringat amalan Aurad Muhammadiah yang mereka amalkan. Ketika aku selidik isi Aurad Muhammadiah, aku terjumpa antara doa dalam aurad tu:
Maksud:
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon padaMu dengan berkat dan kebenaran ayat-ayat yang mulia ini agar Engkau memelihara aku dari kecederaan, senjata dan selainnya. Dan ditundukkan padaku khadam-khadam ayat-ayat yang mulia ini, dan mereka memenuhi kehendakku, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap sesuatu.
(Rujukan: https://auradmuhammadiah.wordpress.com/2012/07/14/ayat-laqadja/)
Cara mengenalpasti kebenaran sebuah dakwaan
Jika kita tak mampu nak buat research, kena tanya ahli ilmu yang layak memberi pandangan. Tanyalah 3 - 4 orang untuk dapatkan kepastian.
Jika mampu membuat semakan, boleh rujuk kata-kata para ulama silam tentang perkara tersebut.
Setakat yang ditemui, dakwaan wujudnya khadam ayat atau surah ini tidak benar sama sekali. Alasan pertama, perkara ini tidak pernah dinyatakan oleh Tuhan yang menurunkan Al-Quran. Juga tidak pernah dikhabarkan oleh Rasul yang menyampaikan Al-Quran dalam mana-mana laporan hadith. Dakwaan khadam ini adalah perkara ghaib. Kaedahnya, setiap dakwaan berkaitan perkara ghaib hendaklah disertakan bukti konkrit dari wahyu. Jika tiada, ia dikira dakwaan kosong dan pendustaan atas nama agama.
Ulama menyatakan semua dakwaan kononnya wujudnya khadam di sebalik huruf, ayat atau surah Al-Quran adalah pendustaan yang dilariskan oleh 3 kelompok manusia iaitu:
1) Bomoh dan tukang sihir
Mereka mendakwa wujudnya ‘khadam’ di sebalik surah-surah tertentu dalam Al-Quran. Kemudian mereka mencampur adukkan unsur hieroglif dengan ayat-ayat Quran tertentu bagi tujuan aktiviti sihir. Terdapat juga tulisan ayat Al-Quran yang ditulis dalam bentuk atau imej tertentu yang dibuat bertujuan mengenakan santau, sihir atau musibah kepada mangsa. Keberkesanan pendekatan ini disumbang oleh bantuan syaitan dan jin.
2) Syiah Rafidhah
Dakwaan ini wujud dalam kitab, penulisan dan fatwa golongan Syiah. Dan seperti yang telah disebutkan, semua ini adalah dakwaan yang tiada sandaran dan bukti dari mana-mana sumber wahyu.
3) Ahli sufi ekstrim.
Kelompok ini memasukkan unsur Al-Quran ke dalam sihir mereka agar manusia menyangka ia sebahagian dari karamah mereka.
Ibn Khaldun (Al-Muqaddimah, hlm 930) pernah menyebutkan bahawa golongan yang terawal memasukkan unsur sihir ke dalam ajaran Islam ialah kelompok sufi yang jahil. Mereka menggunakaan kaedah kesempurnaan nama-nama Allah dalam bentuk roh, unsur astronomi dan bintang-bintang selain dari mendakwa wujudnya tabiat dan rahsia-rahsia huruf di dalam nama-nama Tuhan dan ia memberi kesan dalam alam semesta.
Mereka yang percaya dengan kewujudan khadam di sebalik huruf, ayat atau surah tertentu, sebenarnya telah mendakwa keterlibatan makhluk jin sebagai khadam. Sedangkan setiap perkara yang melibatkan benda ghaib hendaklah bersandarkan bukti wahyu dari Allah dan RasulNya, dan hal ini sama sekali tidak pernah wujud melainkan dakwaan-dakwaan yang kosong dari bukti.
Hakikatnya tiada makhluk yang tinggal di langit dan bumi yang mengetahui perkara ghaib, melainkan jika Allah yang mengkhabarkan kepada mereka. Allah menyatakan:
قُلْ لا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّماواتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَاّ اللَّهُ
Beritahulah mereka wahai Muhammad, bahawa tidak ada sesiapa yang tinggal di langit dan bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah
(An-Naml: 6)
Al-Quran adalah kalam Allah yang mengandungi bimbingan kelebihan dan kemuliaan. Ia tidak perlu kepada unsur khadam dan seumpamanya. Ia juga bukan dibaca untuk tujuan berdamping dengan makhluk tertentu. Fahami fungsi utama Al-Quran diturunkan oleh ALlah untuk kita semua iaitu:
كِتابٌ أَنْزَلْناهُ إِلَيْكَ مُبارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آياتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُوا الْأَلْبابِ
Al-Quran adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu agar mereka (umatmu) memahami kandungannya dengan teliti, dan supaya orang-orang yang berakal mengambil iktibar.
(Sad: 29)
Dengan membaca al-Quran, kita akan dapat bimbingan dan dampingan pertunjuk dan rahmat dari Tuhan yang maha berkuasa dan perkasa. Dan itu tentunya lebih hebat dari pendamping jin, mahkluk yang akan binasa dan mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan