28 September 2011

Uihh... ! Ni Ka Yang Kata Kenughi (Kenduri)



(Ini baru namanya 'makan besar'. Tapi harapnya mereka tak membazir dan tidak meminggirkan si miskin)


Ada orang cakap, orang Melayu ni rajin dan meriah buat kenduri. Ada macam-macam jenis kenduri yang orang kita buat. Kenduri doa selamat, kenduri tahlil, kenduri khatan, kenduri buka rumah, buka kedai, kenduri khatan dan sebagainya.

Selain kenduri kahwin, ada juga kenduri yang dibuat kerana kesyukuran. Kesyukuran pulak ada macam-macam sebab. Kesyukuran sebab dapat baby, syukur sebab lulus periksa, dapat masuk universiti, sembuh dari penyakit, dapat pekerjaan baru dan banyak lagi.

Pendek kata, macam-macam ada!

Sebenarnya, bukan takat orang Melayu, bangsa Arab pun macam tu jugak. Mereka ada banyak jenis kenduri berdasarkan tujuan dan sebab. Yang hebatnya, setiap kenduri mereka ada istilah yang khusus.

Cuba lihat di bawah.

Walimah - ( وَلِيْمَة)
Ini istilah yang paling popular dalam masyarakat Islam Arab dan bukan Arab. Makna asal ‘walimah’ ialah kenduri. Ia digunakan untuk apa jua jenis kenduri. Tapi, oleh kerana ramai orang khususkan istilah ini untuk kenduri kahwin, maka secara tak rasmi jadilah istilah WALIMAH ini cenderung digunakan untuk kenduri kahwin.

I`zar (إِعْذَارْ)
Ia bermaksud kenduri khatan. Istilah ini amat janggal dalam masyarakat Melayu. Susah juga nak eja dalam bahasa Melayu. Tapi 'kendurinya' tidaklah janggal.


Aqiqah ((عقيقة
Haaa, yang ni korang mesti tau kan? Kenduri dapat baby. Disunatkan buat pada hari ke-7 setelah baby dilahirkan. Kalau tak mampu, boleh la tangguh sampai mampu.

Ia disunatkan kepada ibu dan ayah atau penjaga baby. Kalau sampai dah dewasa pun tak sempat buat juga, maka ‘baby yang dah dewasa’ tu boleh buat sendiri-sendiri. Hukumnya sunat sahaja. Tak nak buat pun tak pe. Bak kata mereka yang berlakon dalam sinetron tu : “Terserah!”

Khurs (خُرْس)
Ianya kenduri yang dibuat setelah wanita selamat melahirkan anak. Yang ni lebih kurang macam kenduri kesyukuran.

Naqi`ah (نَقِيْعَة)
Jika orang yang musafir itu kembali pulang ke kampung halaman, maka kenduri yang dibuat oleh keluarga tersebut dipanggil naqi`ah.

Jadi, anak-anak yang baru balik dari oversea @ dalam negara kerana belajar @ bekerja , maka keluarganya boleh la buat kenduri sebagai tanda syukur atas keselamatan pergi dan pulang.

Wakirah (وَكِيْرَة)
Ini pula kenduri sempena bangunkan rumah, kedai, sekolah, surau, dewan dan yang sewaktu dengannya. Kalau kita macam doa selamat la…

Wadhimah (وَضِيْمَة) 
Ianya ialah kenduri yang dibuat setelah berlaku sesuatu musibah seperti kematian, kemalangan dan yang seumpamanya.

Kalau kita mungkin macam kenduri tahlil @ doa selamat. Namun tak pasti pula bagaimana bangsa Arab buat. Mungkin dengan menjemput orang berhimpun untuk kongsi kesedihan, kemudian diberikan jamuan ringan.

Hizaq (حِذَاقٌ)
Ini kenduri bagi mereka yang yang berjaya menghafaz al-Quran @ mengkhatam kitab. Kalau di tempat kita, ada kenduri khatam al-Quran. Tapi janganlah hanya sekali tu je khatam, lepas tu terus tak baca-baca… Teruskan baca dan baca sampai khatam untuk ke sekian kalinya. Ya deh??

Ma`dubah (مَأْدُبَة)
Setiap jamuan makan yang dibuat tanpa sebab dipanggil ma`dubah. Ini kerana tuan kenduri saja nak jamu orang makan atau nak pahala ekstra.

Kenduri jenis ni boleh di buat di kedai mamak, restoran nasi Arab, minum-minum petang di bawah pokok, makan-makan keropok, ‘cucoq’ kat beranda dan seumpamanya.

Orang yang diajak ni memang untung sebab makan free… hehe, tapi yang ajak dapat pahala.

Hukum berkaitan kenduri

Buat kenduri hukumnya sunat. Apa sahaja jenis kenduri! Asalkan tujuan baik dan harus.

Adapun hadir kenduri, maka ianya hanya wajib pada kenduri kahwin sahaja. Dengan kata lain, kalau saja-saja tak nak hadir, maka hukumnya berdosa di sisi Allah. Melainkan kalau ada keuzuran seperti tak sihat atau banyak sangat kenduri sampai tak sempat hadir, maka eloklah kita SMS atau talipon untuk minta maaf dan nyatakan alasan.

Punca kenduri kahwin wajib dihadiri ialah hadith Rasul s.a.w.

مَنْ تَرَكَ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللهَ وَرَسُولَهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Sesiapa yang tidak hadir jemput kahwin, maka ia telah menyalahi perintah Allah dan RasulNya

(H.R Bukhari dll)

Lagi...

!إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيُجِبْ

Jika ada di kalangan kamu dijemput ke kenduri kahwin, maka hendaklah ia hadir!

(H.R Muslim dll)

Namun, jika tuan kenduri didapati hanya menjemput orang kaya yang tiap-tiap hari kenyang dengan makanan mewah serta meminggirkan orang miskin yang kelaparan, maka kenduri tersebut digelar sebagai seburuk-buruk kenduri!
Nabi pesan tak payah hadir!

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الْأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ

Seburuk-buruk jamuan makan ialah kenduri kahwin yang hanya menjemput golongan kaya serta meminggirkan orang fakir
(H.R Bukhari dll)

Begitu juga jika kenduri itu menyelitkan unsur maksiat dan dosa ATAU tuan kenduri - secara pasti - menggunakan duit haram untuk menjamu orang ramai. Maka ketika itu tidak perlu hadir. Kerana kehadiran kita akan memakmur dan memeriahkan lagi maksiat tersebut.

Ada pun selain kenduri kahwin hukumnya sunat hadir. Ertinya kalau hadir dapat pahala, kalau tak, tak dapat apa-apa. Namun, sebagai adab dan sopan santun, eloklah kita bagitau kenduri yang kita tak dapat datang. Nyatakan alasan yang jujur. Kerana dia telah berbesar hati jemput kita. Maka kita beri excuse sebaik mungkin agar dia tidak kecik hati.

Sekadar berkongsi maklumat mana yang boleh...

P/S : Untuk maklumat tambahan, sila rujuk Bab Walimah dalam kitab-kitab fiqh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...