19 Mei 2010

Judi : Ibrah Dari Proton Iswara Merah


Apabila Allah melarang manusia dari sesuatu perkara, itu bererti tegahan tersebut mempunyai mudarat 100%, tiada ada langsung sebarang manfaat padanya. Sama ada di dunia atau akhirat.

Ataupun, jika terdapat manfaat pada perkara yang ditegah itu, maka ianya tidaklah bersifat dominan. Yang dominan tetap mudarat, keburukan dan kejahatan.


Atau manfaat tersebut hanya bersifat sementara. Yang kekal lama adalah mudarat dan penyeksaan.


Ianya tetap wajib dijauhi sekalipun wujud sekelumit manfaat padanya.

Sungguhpun namanya ‘manfaat’, ianya tidak diiktiraf dan dianggap tiada.

Kaedah ini telah diisyaratkan oleh al-Quran ketika turun ayat ‘peringkat ke-2’ dalam proses pengharaman arak dan judi.

قُلْ فِيْهِمَا إِثْمٌ كَبِيْرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ، وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا


Katakanlah kepada mereka : "Pada keduanya (arak dan judi) terdapat dosa (mudarat) yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa (mudarat) keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya."

Al-Baqarah : 219


Arak dan judi walaupun boleh menghilangkan dahaga, menjana keuntungan bagi yang menjualnya atau menang dalam pertaruhan, namun mudarat dan bahaya yang ditimbulkan oleh arak dan judi adalah besar dan tidak dijangka.


Kerana mabuk, si pemabuk boleh melakukan pembunuhan, merogol, merosakkan harta benda, memandu secara merbahaya, terbabit dalam pergaduhan, mendapat penyakit kronik, maruah menjadi rendah dan sebagainya.




Kerana ketagih berjudi, si kaki judi akan mengorbankan bajet rumahtangga, bajet persekolahan anak-anak, mensia-siakan wang, membuang masa, saling memaki hamun, sentiasa sakit jiwa (kerana selalu kalah), hutang keliling pinggang, menjadi muflis, bahkan berpotensi besar mengheret si pelakunya ke kancah pembunuhan, permusuhan yang tiada hujungnya.

Hidup tidak tenang.

Itu antara mafsadah (keburukan) arak dan judi dalam kehidupan.

Jalbu Manfaah Wa Dar`u Mafsadah

Imam ash-Syatibi menyatakan, ciri ‘mengambil manfaat dan menolak mudarat’ sebenarnya adalah tujuan (maqasid) utama di sebalik setiap arahan dan tegahan syara`.

(al-Muwafaqat, Jil. 1, Bah. 2, Hlm. 4)


Kerana itu Syaikh Izzuddin Abdus Salam menyimpulkan, segala apa yang ada di dalam ajaran Islam adalah maslahah (manfaat dan kebaikan).

وَالشَّرِيْعَةُ كُلُّهَا مَصَالِحُ، إِمَّا بِدَرْءِ مَفَاسِدَ أَوْ بِجَلْبِ مَصَالِحَ
(Cara hidup berasaskan) Syariah itu semuanya maslahah (kebaikan), sama ada dalam bentuk menolak kerosakan atau mencapai maslahah.

(Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, Jil. 1, Hlm 14)


Tinggal lagi manusia perlu menggunakan akal untuk mencari dan mengkaji apakah kebaikan dan kejahatan yang tersirat di sebalik suruh dan tegah syara`.

Belajar dan membaca antara kaedah terbaik untuk memahami rahsia Allah di sebalik sesuatu pensyariatan.


Fitrah Membenci Kejahatan

Manusia yang masih normal dan berfitrah pastinya membenci segala kejahatan dan keburukan. Dengan kata lain, mereka yang suka, minat dan menyokong segala bentuk perkara yang boleh menimbulkan mudarat adalah tidak normal dan kehilangan ciri fitrah.

Mereka ini boleh juga dikatakan kurang berakal dan tidak berapa siuman.

Fitrah adalah pakej yang disertakan Allah pada setiap insan.

اَلخِلْقَةُ التي يكونُ عليها كُلُّ مَوجُودٍ أوَّلَ خَلْقِهِ وَالطبِيْعَةُ السليمةُ لَمْ تَشُبْ بِعَيْبٍ. وعند اصطلاح الفلاسفة الاستعداد لإصابَةِ الْحُكْمِ والتمييزُ بين الحق والباطل

Fitrah ialah ciptaan yang wujud pada setiap insan sejak permulaan kejadiaannya dan ianya tabiat normal yang tidak pernah dicemari (oleh unsur-unsur perosak). Menurut ahli falsafah, fitrah ialah rasa kesediaan untuk menerima hukum yang betul dan kemampuan membezakan antara yang benar dan salah.

(Mu`jam al-Wasit, Bab Huruf Fa`)

Namun jika tidak dipelihara dengan ilmu dan iman, fitrah pantas bertukar menjadi fitnah.

Ghani Minhat Pun Tak Minat Judi Bolasepak


Dalam isu judi bolasepak yang telah di‘halal’kan oleh pihak kerajaan, raja bola negara, Datuk Abdul Ghani Minhat turut menyatakan rasa tidak setujunya. (Berita Harian, 13 Mei 2010)

Walaupun beliau tidak menyatakan alasan dari sudut agama, namun bantahan beliau adalah berpunca dari fitrah insani yang bencikan keburukan, kejahatan dan kemudaratan. Judi, bukan sekadar menyebabkan dosa kepada mereka yang terbabit, bahkan berpotensi mencetuskan gejala rasuah dalam sukan bolasepak tempatan.
Pada beliau, kebenaran ini akan membuka ruang judi pertahuran dalam liga tempatan sekaligus membunuh pembangunan bola sepak negara yang baru tumbuh.

Mutu permainan bolasepak negara belum pun sehebat China, Jepun dan Korea. Apabila judi bolasepak diberi ruang, gejala rasuah yang pernah mencemarkan negara pada suatu ketika dulu tidak mustahil kembali lagi. Pemain-pemain bermain tidak sepenuh hati. Keputusan perlawanan perlu mengikut ketentuan mereka yang bertaruh. Para penyokong tertipu dengan aksi lincah yang dibuat-buat.

Barangkali itu asas bantahan Datuk Ghani Minhat. Fitrahnya telah mencetuskan bantahan terhadap kejahatan yang ditimbulkan oleh judi.

Buku Manual Iswara
Seperti membeli produk kereta Proton Iswara 1.3, sudah tentu pemiliknya – mahu tidak mahu – mesti merujuk buku manual yang disediakan agar kenal kedudukan butang, punat, wayar dan skru yang berkaitan. Supaya tahu membuat selenggara asas dalam situasi kecemasan sebelum diserahkan ke bengkel untuk urusan selanjutnya.

Adalah dianggap tidak bijak atau kurang berakal jika menggunakan buku manual Proton Gen2 sedangkan kereta yang dibeli adalah Proton Iswara.

Walaupun kita berhak membantah syarikat pengeluar kereta Proton, namun bantahan itu tidak berasas dan tidak dapat diterima oleh mana-mana akal yang sihat.

“Ikut suka aku la nak guna buku manual mana pun. Aku yang beli, aku punya hal la!” Bebel si bodoh sombong.

Pihak syarikat pengeluar hanya mampu tersenyum sinis mendengar alasan bengap tersebut.

Tidak keterlaluan jika orang seperti ini dianggap jahil murakkab (bodoh berlapis-lapis). Sudahlah jahil. Tidak sedar yang diri tidak tahu. Kemudian berlagak tahu pula. Malangnya berganda.

Suka atau tidak, arahan buku manual yang sesuai dengan produknya mesti dipatuhi. Kerana syarikat pengeluar lebih arif dan faham tentang konsep produk yang dipasarkan. Mereka lebih tahu selok-belok dalaman yang tidak difahami oleh kebanyakan pengguna.

Mereka yang reka. Mereka lebih tahu.

Agar pengguna benar-benar mengguna. Bukan dipergunakan.

Al-Quran : Buku Manual Untuk Manusia


Justeru, segala yang terdapat dalam ‘manual book’ al-Quran dan Sunnah adalah ‘direction to use’ yang digubal Allah sebagai panduan buat ‘produk’ Allah bernama MANUSIA.

Setiap Arah (Amr) dan Tegah (Nahi) dari Allah dan Rasul mengandungi pelbagai kebaikan untuk mereka yang menurutinya sementara pelbagai jenis keburukan menanti mereka yang enggan dan ingkar.


Sebagai insan yang diberikan akal, Allah menjelaskan sebab mengapa judi diharamkan.


إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

Sesungguhnya syaitan hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, serta menghalang kamu dari mengingati Allah dan menunaikan solat. maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).

(Al-Maidah : 91)

Allah adalah Tuhan yang mencipta produk INSAN. Dia maha tahu tentang apa yang diperlukan oleh manusia. Dia maha arif apa yang baik, apa yang buruk untuk manusia.

Kefahaman ini menuntut kita supaya thiqah kepada keupayaan syariat dalam mengatur kehidupan. Agar percaya dengan sepenuh keimanan bahawa sesuatu yang digubal oleh Allah adalah perancangan teliti serta penuh hikmah dan kebijaksanaan Tuhan yang al-Hakiim.

Allah menyedarkan manusia.

إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Sesungguhnya Aku maha mengetahui apa yang kamu tidak ketahui


(Al-Baqarah : 30)

Jangan jadi seperti si bodoh sombong tadi. Lain produk yang dibeli, lain pula buku manual yang dirujuk.

Jadilah orang yang bijak. Usah jadi pengasas maksiat. Ramai yang menanti di peringkat 'downline' sana. Kering-kering dapat dosa.

Semoga pihak-pihak berkuasa agama, mufti-mufti dan mereka yang punya pengaruh ‘bersuara’ dalam isu ini. Suara anda lebih beraura dan lebih didengar.

Semoga kerajaan kita dikuasai oleh mereka ‘lebih normal’ dan cintakan fitrah. Kerana kuasa anda mampu menidakkan anasir pencetus fitnah.

Bantu kami Ya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...