Namun, yang ingin dikongsikan di sini bukanlah tentang keagungan karangan-karangan tersebut. Cuma secebis maklumat tentang sejarah perkembangan penulisan atau pembukuan teks-teks (matan) hadith.
Secara ringkasnya, ianya telah melalui 4 peringkat.
Peringkat 1 : Menghafaz
Peringkat ‘menghafal di dalam kepala @ dada’ telah berlaku dalam 3 zaman awal kemunculan Islam iaitu:
- Zaman Nabi s.a.w.
- Zaman al-Khulafa` ar-Rasyidun yang empat.
- Zaman awal dinasti Umawiyyah.
Kebanyakan umat Islam pada peringkat ini lebih cenderung menghafal matan-matan hadith kerana beberapa sebab :
1) Keadaan ummiy (tidak tahu membaca dan menulis) yang mendominasi umat Islam di peringkat awal Islam.
Pada ketika ini, bilangan mereka yang boleh menulis dan membaca amat sedikit. Hal ini telah diceritakan oleh Allah.
Dialah (Allah) yang telah menghantar kepada umat yang Ummiy (yang tidak tahu membaca dan menulis) itu seorang rasul dikalangan mereka. (al-Jumu`ah : 20)
2) Kekurangan alat-alat tulis dan kertas.
Di zaman ini, mereka yang pandai menulis hanya mampu menggunakan alat-alat tertentu yang bersifat terhad bagi menyalin maklumat-maklumat penting sebagai arkib simpanan mereka. Alat-alat tersebut adalah seperti dedaun, pelepah tamar, tulang-tulang yang lebar, batu, kayu dan seumpamanya
3) Larangan Rasulullah s.a.w dari menyalin teks hadith.
Di zaman awal Islam, Rasulullah s.a.w pernah menegah para sahabatnya dari menulis hadith-hadithnya. Larangan tersebut dibuat kerana ditakuti umat Islam pada ketika itu akan mengalami kecelaruan dalam membezakan al-Quran dan Sunnah.
Jangan kamu menulis sabdaanku. Maka sesiapa yang telah menyalin sesuatu selain al-Quran hendaklah ia memadamnya.
(H.R Muslim)
Peringkat 2 : Pembukuan (tadwin)
Idea menyalin serta membukukan matan-matan hadith sebenarnya datang dari cadangan khalifah Umar bin Abdul Aziz. Idea bernas ini telah dicatat di dalam sepucuk surat yang kemudiannya dihantar kepada seluruh pemimpin dan ulama yang berada di segenap pelusuk pemerintahannya.
Cari dan tulislah hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya aku khuatir ilmu dan ulama menjadi pupus. Dan janganlah kamu tulis melainkan hadith-hadith dari Rasulullah s.a.w.
Berikutan cadangan tersebut, maka ramailah ulama dan pemimpin yang berusaha menerbitkan buku yang memuatkan hadith-hadith nabi s.a.w sebagai simpanan untuk umat di masa hadapan.
Namun, Umar bin Abdul Aziz telah kembali ke rahmatullah sebelum beliau sempat melihat ‘projek meganya’ siap.
Berkenaan dengan sumbangan hebat Umar bin Abdul Aziz, Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyatakan :
Bahkan Rasul menyebut :
Sesiapa yang mencipta suatu jalan kebaikan lalu ianya diikuti oleh orang lain, maka ia mendapat pahala beserta pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan pahala mereka yang mengikut jejaknya sedikit pun...
(H.R Muslim, Tirmizi)
Setelah beberapa tahun iaitu di awal tahun 100 hijrah, lahirlah kitab hadith pertama di atas muka bumi ini yang telah disusun oleh Imam Muhammad bin Muslim bin Syihab az-Zuhri (Fathu al-Bari : 1/181)
Setelah itu, usaha membukukan hadith-hadith nabi semakin rancak serta para sarjana Islam – dari tahun ke tahun – telah meningkatkan mutu dan kreativiti serta menonjolkan aliran tertentu dalam karangan mereka.
Kategori Karangan
1) Menghimpunkan seluruh kategori hadith
Diperingkat awal pembukuan hadith, para ulama pada waktu itu telah mengambil pendekatan mencampur-adukkan segala apa yang dipanggil ‘hadith’, sama ada ianya hadith marfu` (sunnah Nabi), hadith mauquf (pandangan Sahabat) atau hadith maqtu` (pandangan tabi`in) dalam satu buku.
Di antara kitab-kitab yang menghimpun ke semua jenis hadith ialah :
- Al-Muwatto` : Karangan Imam Malik
- Al-Musonnaf : Karangan Ibnu Abi Syaibah
- Al-Musonnaf : Karangan Abdul Razzaq
Antara ciri khas kitab ‘Musonnaf’ ialah hadith-hadithnya disusun dan dihimpun mengikut bab-bab tertentu seperti bab toharah, bab solat, bab jual beli dan sebagainya seperti yang kita lihat dalam kitab Bulugh al-Maram.
Pendekatan ini dilihat berterusan sehingga ke pertengahan kurun 3 hijrah.
Peringkat 3 : Menghimpunkan hadith dari Rasulullah s.a.w sahaja (Tajrid al-Hadith an-Nabawi)
Pada waktu ini, para ulama mula menukar kecenderungan mereka. Jika di peringkat yang lalu mereka menghimpunkan seluruh jenis hadith dalam satu karangan sekaligus, maka di peringkat ini mereka hanya menyalin hadith-hadith yang warid dari Rasulullah s.a.w sahaja.
Diperingkat ini juga, banyak kitab-kitab hadith telah diterbitkan termasuk karangan jenis ‘musnad’. Musnad ialah kitab-kitab yang menghimpunkan hadith berdasarkan nama-nama Sahabat.
Di antara kitab Musnad yang masyhur :
- Musnad : Imam Abu Daud At-Toyalisi
- Musnad : Imam Ahmad
- Musnad : Imam Ishaq bin Rahawaih / Rahuyah
Selain itu juga, kitab-kitab sunan bukan musnad seperti sunan sittah turut muncul di peringkat ini.
Sunan sittah ialah :
- Saheh al-Bukhari
- Saheh al-Muslim
- Sunan Abi Daud
- Sunan Tirmizi
- Sunan Nasa`ie
- Sunan Ibnu Majah
Oleh kerana penulisan dan pembukuan ilmu hadith begitu rancak berkembang di peringkat ini, maka ulama telah menyimpulkan bahawa hampir keseluruhan teks hadith telah berjaya dibukukan sebelum tiba kurun ke-5 hijrah. Jika masih ada hadith yang tidak tercatat pun, ianya adalah sangat sedikit.
Peringkat 4 : Penambahbaikan
Trend penyusunan secara lebih bersistematik telah bermula semenjak pertengahan kurun ke-4 dan ia terus berkembang pesat hinggalah ke hari ini. Ini kerana setiap generasi mempunyai selera, keperluan dan kecenderungannya yang tersendiri. Lantaran itu wujud usaha-usaha penambahbaikan dalam mempersembahkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w seperti :
- Menghuraikan matan hadith (seperti Fathu al-Bari, `Aun al-Ma`bud).
- Menghadkan hadith kepada bilangan tertentu (seperti al-Arbai`in an-Nawawiyyah, 40 hadith Penawar Hati).
- Menggabungkan hadith-hadith dari kitab Musnad dan Mu`jam menjadi satu (seperti yang dilakukan oleh Imam al-Haithami dalam Majma` az-Zawa’id).
- Membukukan hadith dalam bentuk tajuk khusus (seperti kitab ash-Syama’il).
- Meringkaskan syarah yang panjang (seperti Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah).
- Menghimpunkan semua jenis karangan hadith dalam CD seperti CD program Maktabah Syamilah dan sebagainya.
Semoga Allah menjadikan kita di kalangan mereka yang mengambil manfaat...
ijin copy?
BalasPadam