29 April 2010

Ada Apa Dengan Matahari?

Allah berfirman :

وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا
Demi matahari dan cahayanya di waktu pagi

Allah telah menggunakan matahari sebagai bahan sumpah.

Ada apa dengan matahari?

Ulama tafsir menyatakan bahawa, selain tujuan menarik perhatian manusia terhadap kepentingan perkara yang disebut setelah pernyataan sumpah atau ‘jawab qasam’, uslub ini juga digunakan untuk menzahirkan kehebatan sesuatu yang dijadikan bahan sumpahan.

Dalam konteks yang di atas, Syaikh Syanqiti menyebutkan :

Disertakan sumpahan (qasam) pada setiap ayat Quran sebagai isyarat kepada kesan-kesan agung yang dapat dilihat dan disentuh dengan pancaindera, sekaligus membuktikan kekuasaan Allah yang nyata. Pada matahari sahaja terdapat tanda kekuasaan Penciptanya. Ianya memiliki tenaga panas yang mengatasi segala jangkauan. Tenaganya tidak pernah kurang walaupun sudah berlalu berzaman-zaman. Fizikal mahatari itu sendiri adalah tanda (kehebatan Allah)
(Adwa` al-Bayan, Surah ash-Syams, Hlm. 595)

Mari merenung fakta-fakta berikut.

Jarak antara bumi dan matahari ialah sejauh 150 juta kilometer!

Bagaimana memahami jarak sejauh itu?

Berdasarkan keputusan kajian dari sebuah seminar antarabangsa di Paris suatu ketika dahulu, cahaya merupakan makhluk Allah yang paling laju. Dalam masa 1 saat, cahaya boleh pergi sejauh 300,000 kilometer!

300,000 km juga merupakan jarak antara bumi dan bulan.

Dengan jarak sejauh ini, cahaya matahari mengambil masa selama 8 minit untuk sampai dan ‘menyetuh’ fizikal bumi.

Kesimpulannya, jarak antara bumi dan matahari ialah 150 juta km atau 8 minit kelajuan cahaya!
Itu fakta tentang cahaya.

Namun berdasarkan tafsiran mufassirin, malaikat adalah lebih pantas dari cahaya. Ini berdasarkan ayat 4, surah al-Ma`arij.
تعْرُجُ الْمَلَائكةُ وَالرُّوحُ إِلَيْه فِي يَومٍ كانَ مِقدَارُهُ خَمْسِيْنَ أَلْفَ سَنَةٍ

Malaikat-malaikat termasuk Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam tempoh sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun (di dunia).
Dengan kata lain, malaikat-malaikat dan Jibril jika pergi ke al-ma`arij (satu tempat di langit ), maka tempoh masa perjalanan mereka – dengan kepantasan mereka – hanya memakan masa selama ‘satu hari’. Satu hari yang disebutkan itu adalah sama dengan 50 ribu tahun dunia jika ia ditempuhi kepantasan roket ciptaan manusia yang “canggih”.
Luas sungguh alam semesta.

Namun luas lagi akhirat Allah.

Oleh kerana syurga dan neraka terlampau luas, maka Nabi menggunakan istilah tahun dalam menentukan jarak.
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيل اللَّه بَاعَدَ اللَّه وَجْهه مِنْ النَّار سَبْعِينَ خَرِيفًا
Sesiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhikan dirinya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun!
(H.R Bukhari, Muslim, Tirmizi dll)
Pernah suatu ketika, para sahabat Nabi sedang duduk dengan baginda, tiba-tiba mereka terdengar bunyi dentuman memekakkan. Maka baginda menjelaskan :

هَذَا حَجَرٌ رُمِيَ بِهِ فِي النَّارِ مُنْذُ سَبْعِينَ خَرِيفًا فَهُوَ يَهْوِي فِي النَّارِ الْآنَ حَتَّى انْتَهَى إِلَى قَعْرِهَا

Bunyi tersebut adalah bunyi sebiji batu yang telah dilemparkan ke dalam neraka sejak 70 tahun yang lalu. Ia terus menuju ke dalam neraka dan baru sekarang ia sampai ke dasarnya.
(H.R Muslim)
Neraka adalah sebahagian dari akhirat. Jika sebiji batu mengambil masa selama 70 tahun untuk sampai ke dasar neraka, maka bagaimana pula dengan luas keseluruhan akhirat?
Saiz Matahari
Saiz matahari lebih besar daripada bumi sebanyak 1,300,000 kali ganda!

(Ini ialah saiz bumi jika dibandingkan dengan matahari. Matahari adalah salah satu dari jutaan bintang yang bertaburan di bimasakti kita. Agaknya, anda berada di mana?)


Betapa kerdilnya bumi jika dibandingkan matahari.


(Bumi di sebelah kanan, atas)

Jika dibandingkan dengan keseluruhan bintang, planet, bimasakti, komet yang bertaburan di seluruh jagatraya ini, bumi ibarat kuman atau sebiji debu.
Inikan pula manusia!


Namun ramai manusia yang tidak sedar diri. Merasa besar di celah belantara semesta. Perasan diri kaya dan serba cukup di atas kuasa jajahan "sekangkang kera”.
كَلَّا إنَّ الإنْسَانَ لَيَطْغَى، أَنْ رَآهُ اسْتَغْنَى
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, karena dia melihat dirinya serba cukup.
Perasan umpama katak di bawah tempurung. Sering terlupa ada yang lain yang lebih besar dan lebih hebat.

Haba Matahari


Berdasarkan kajian saintis, kepanasan permukaan matahari adalah berbeza dengan bahagian dalamannya. Kepanasan permukaan matahari dianggarkan setinggi 6000 darjah celcius! Sementara haba di bahagian dalamannya pula mencapai 20 juta darjah celcius!
(Mausu`ah al-I`jaz al-Ilmi, Hlm. 70)

Kepanasan yang di alami oleh manusia yang tinggal di Malaysia ialah hanya sekitar 33 darjah celcius sahaja. Itu pun ramai yang bersungut dan tidak mampu berada di tengah-tengah terik panas mentari di waktu tengahari.

Ramai yang membeli penghawa dingin untuk menghilangkan rasa bahang yang berpunca dari matahari.
33 darjah celcius itu adalah haba yang ‘kita’ rasai dari matahari yang terletak 150 juta kilometer dari bumi.
Bagaimana jika matahari didekatkan “sedikit” dengan bumi?

Saintis telah membuat kesimpulan. Jika matahari didekatkan dengan bumi, dari 150 juta km kepada 145 juta km, iaitu dikurangkan 5 juta km, maka tidak ada lagi kehidupan di bumi.

Ini kerana jika matahari “didekatkan” kepada bumi sebanyak 5 juta km, bumi akan mengalami kepanasan yang membunuh!
Suhu meningkat menjadi 450 darjah celcius!
Lautan akan menjadi wap dan kehidupan dibumi terhenti....

Sebaliknya, jika matahari “dijauhkan” sedikit daripada bumi menjadi jarak 152 juta km, kehidupan di bumi akan mengalami kebekuan tahap –40 di bawah paras beku. Lautan membeku dan hidupan perlahan-lahan pupus.

Sama seperti suhu di Marikh. Tiada yang mampu untuk hidup.

(Permukaan Planet Marikh)

Justeru, 150 juta kilometer adalah jarak yang ideal dan sesuai untuk hidupan di bumi seperti yang kita sama nikmati ketika ini...
Angka-angka ini bukan kebetulan. Bukan juga kerja cincai.

Allah benar-benar telah mencipta sesuatu itu dengan perancangan teliti, penuh rapi dan bersistematik.

صُنْعَ اللهِ الذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ

Begitulah kerja buat Allah yang mencipta tiap-tiap sesuatu dengan teliti


(an-Naml : 88)
وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهَ تَقْدِيْرًا
Dan Dia telah menciptakan sesuatu serta menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.

(al-Furqan : 2)

إن في ذلك لآيات لأولي الألباب
Cari Tuhan dengan akal. Kenali Tuhan dengan berfikir.

المراجع
موسوعة الإعجاز العلمي : آيات الله في الآفاق - د. راتب النابلسي
الموسوعة العلمية في الإعجاز القرآني - د. سمير عبد الحليم
أضواء البيان - الشيخ محمد أمين الشنقيطي

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Benarkah wujud makhluk yang menjadi 'khadam' Al-Quran?

Dulu ada kawan cakap. "Engkau baca ayat-ayat sekian, nanti akan ada makhluk datang nak berdamping..." Aku tanya. "Makhluk apa...