11 Februari 2020

Kelebihan Mempelajari Al-Quran (Teks Ucapan Ringkas)


اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ وَبَرَكَاتُهْ

اَلْحَمْدُ ِللهِ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ رَسُوْلِ اللهِ، وَبَعْدُ.

Hadirin dan hadirat yang berbahagia,

Al-Quran ialah sebuah kitab petunjuk  yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ia adalah pedoman hidup untuk manusia.
Allah berfirman di dalam Al-Quran :

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ، وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَات،ِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

Yang bermaksud :
Sesungguhnya Al-Quran adalah kitab yang memberi pedoman ke jalan yang lurus, serta memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman yang melakukan amal kebaikan, bahawa mereka akan mendapat ganjaran yang besar.
Surah Al-Isra`, ayat 9.

Di dalam Al-Quran, terdapat pelbagai ilmu dan pengetahuan yang dapat membimbing kehidupan manusia ke jalan yang benar. Al-Quran juga dapat menjelaskan kepada manusia perbezaan di antara perkara yang haq dan yang batil. Justeru, Al-Quran wajib dipelajari oleh setiap muslim agar kefahaman yang benar dapat memandu pemikiran dan tingkah laku mereka.

Nabi Muhammad s.a.w telah menjelaskan, orang yang mempelajari ilmu-ilmu Al-Quran adalah orang yang mulia dan terbaik di sisi Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w :

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang mempelajari Al-Quran serta mengajarkannya pula kepada orang lain.
Hadith Riwayat Al-Bukhari

Saudara dan saudari yang dimuliakan,

Mempelajari Al-Quran tidak terhenti setakat mahir membaca, melagukan atau menghafalnya semata. Tetapi apa yang lebih penting ialah mesej dan pengajaran Tuhan di dalam Al-Quran perlu difahami melalui tadabbur lalu diamalkan dalam kehidupan.

Ilmu-ilmu berkaitan Al-Quran adalah luas bak lautan dalam yang tidak bertepi. Justeru, usaha memahami Al-Quran adalah sebuah proses seumur hidup dan perlu diteruskan selagi hayat di kandung badan. Ia perlu dilakukan oleh setiap muslim dari masa ke semasa dengan ikhlas, tabah dan istiqamah.

Akhir kata, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadith Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah s.w.t mengangkat darjat dan memajukan sesuatu kaum kerana mereka memahami dan mengamalkan ilmu Al-Quran dan merendahkan kedudukan kaum yang lain kerana mereka mengabaikan ilmu Al-Quran.”

Semoga Allah memberikan kesedaran dan kekuatan kepada kita untuk meneruskan langkah-langkah menaiktarafkan kefahaman Al-Quran di dalam diri kita semua.

وَبِاللهِ التَّوْفِيقْ وَالْهِدَايَةْ، وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ وَبَرَكَاتُهْ




1 ulasan:

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...