21 Oktober 2010

Surah at-Tin Penyelamat Rumahtangga

Imam al-Qurtubi menyelitkan kisah menarik ketika mentafsir sepotong ayat dari surah at-Tin.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dalam seindah-indah ciptaan.”
At-Tin : 4
Seorang lelaki bernama Isa dan Musa al-Hasyimi sangat menyayangi isterinya. Bagi Isa, isterinya bak bidadari kayangan yang turun ke dunia. Sudah habis bahasa pujian yang telah dihamburkan kepada kekasih hatinya itu.

Dek kerana ‘geram’ dengan kecantikan isterinya, Isa mengungkapkan :

“Engkau tertalak tiga jika engkau tidak secantik dan seindah bulan purnama!”

Ungkapan 'aneh' Isa telah membantutkan suasana romantik yang dibina.

Terperanjat dengan kata-kata Isa, isterinya bingkas bangkit dan menutup auratnya serta berkata:

“Kenapa abang menceraikan saya?!”

Tidur mereka pada malam itu tidak lena. Kerana kecantikan, penghargaan bertukar menjadi bencana. Bukan kecil anak tragedi yang terjadi. Sebuah rumahtangga bahagia dan kasih sayang menjadi korban.

Mengadu kepada khalifah

Keesokkan harinya, si ‘janda’ Isa berjumpa khalifah Abu Ja`afarAl-Mansur dan menceritakan segala-galanya kepada baginda. Khalifah al-Mansur berang dengan peristiwa tersebut lantas memanggil para ulama.

“Ini kes penceraian yang aneh. Maka, apakah pandangan syara` terhadap kes ini?” soal al-Mansur kepada jemaah mufti dan ulama di hadapannya.

“Talak telah jatuh dan wanita tersebut telah pun diceraikan.” Mereka sepakat memberikan jawapan setelah meneliti masalah dan berijtihad.

Ini kerana bulan purnama adalah ciptaan Allah yang indah dan tiada tolok bandingnya.

Bulan sering menjadi lambang keindahan dan kecantikan. Justeru, insan yang indah dan cantik akan disamakan pula dengan bulan purnama.

“Engkau laksana bulan...” Ungkap seorang penyanyi terohor itu.

"طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا..."
“Telah datang bulan pernama (Nabi Muhammad) kepada kami…” 

Seru golongan Ansar ketika menyambut kedatangan Rasulullah di Madinah.

Dari sudut itu, memang tiada siapa yang boleh mengatasi kecantikan bulan purnama.

Surah at-Tin sebagai penyelamat

Sungguh pun majoriti fuqaha` yang bersidang bersependapat menjatuhkan talak, ada seorang ulama dari aliran Hanafi yang dilihat masih berdiam diri.

Diamnya adalah diam ubi.

Khalifah al-Mansur menyedari kehadiran sarjana ini. Baginda menegur lelaki tersebut.

“Kenapa anda masih berdiam diri? Apakah ada pandangan lain?”

Lelaki tersebut mengangkat kepala dan membacakan surah at-Tin dari ayat 1 sehingga ayat 4.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dalam seindah-indah ciptaan.”
At-Tin : 4

“Wahai Amirul Mukminin, manusia adalah makhluk terindah dan tercantik berdasarkan ayat tadi. Justeru, tidak ada mana-mana ciptaan Tuhan yang boleh menandingi keindahan manusia, hatta sang rembulan.” Ujar si alim membuat kesimpulan.

Semua terpegun dengan ‘kefahaman’ lelaki tersebut. Sebuah surah telah menyelamatkan sebuah rumahtangga.

Ibrah kisah

Talak dan cerai bukan perkara main-main. Usah jadikannya umpama zikir atau wirid.

Kalau tak tahu, jangan segan bertanya mereka yang tahu! 

Al-Quran pula bukan bacaan bermusim ketika Ramadhan atau kematian. Tapi ianya bacaan hari-hari yang mesti dipelajari dan difahami.

Usahakanlah...!
Jangan biarkan mushaf berhabuk sawang.

Rujukan:


- Al-Jami`ul al-Ahkam - Imam al-Qurtubi
- At-Tafsir al-Munir - Dr. Wahbah az-Zuhayli

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...