Al-Quran bukan sekadar buku yang menceritakan kisah-kisah teladan umat terdahulu. Ia juga bukan hanya kitab yang menjelaskan hukum-hakam serta perintah dan tegah. Malahan, Al-Quran juga tidak sekadar memuatkan prinsip keadilan, akidah, etika, alam ghaib, perubatan dan tatacara hidup.
Lebih dari itu, Al-Quran juga sering mengajak insan mencari kebenaran Tuhan melalui pemerhatian terhadap produk ciptaanNya.
Antaranya ialah ayat seumpama ini.
أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ؟
Tidakkah mereka itu perhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?
Al-Ghasyiyah : 17
Ada apa dengan unta hingga Tuhan mention namanya?
Mulut dan Perut Yang Lasak
Mari kita merenung unta barang 5 minit. Barangkali kita menemui sesuatu yang mengkagumkan tentangnya. Sesuatu yang sekaligus menumbuhkan rasa ta`zim dan hormat terhadap Tuhan dan agama.
Di sebalik wajahnya yang blues itu, unta sebenarnya adalah haiwan yang paling sabar dengan cabaran ekstrim di padang pasir. Dengan suhu setinggi 55 darjah celcius, unta – sejak ribuan yang lalu – tidak pernah bersungut kepanasan. Ia tetap sabar sekalipun padang pasir tidak menjanjikan makanan dan minuman yang melimpah.
Walaupun makanannya tidak semewah haiwan yang lain, namun Allah telah membekalkannya satu set mulut yang dilengkapi lidah, gigi dan bibir yang tahan lasak. Ia betah memakan apa sahaja yang melata di padang pasir. Pohon berduri tajam, dahan kering, rumput keras semuanya membujur lalu melintang patah. Anehnya, makanan-makanan yang keras dan tajam itu tidak pernah mengoyakkan mulut atau mencederakan perutya!
‘Bonnet’ Yang Unik
Di antara sesuatu yang menjadikan unta sesuai hidup di gurun ialah bonggolnya. Berat ‘bonnet’ unik ini akan mewakili 1/3 dari berat keseluruhan badannya jika ia dipenuhi air. Unta mampu memuatkan lebih kurang 130 liter air di dalam bonggolnya dalam tempoh 10 minit menyedut air.
Di samping itu juga terdapat lebih kurang 40 kg lemak tambahan di sekitar kawasan ini sebagai tenaga ‘spare’. Itulah rahsia mengapa unta mampu berjalan berhari-hari sambil menanggung beban berat di bawah cuaca ekstrim tanpa makan dan minum.
Sistem Keselamatan Pada Mata dan Hidung
Allah membekalkan sepasang mata dan sebatang hidung yang unik buat unta. Diberikan unta itu 2 lapis bulu mata yang tebal dan lentik serta kulit penutup mata yang lutsinar! Selain itu juga, unta dianugerahkan sebatang hidung yang canggih dengan sistem keselamatan.
Kedua-dua nikmat pemberian ini amat membantu unta dalam berhadapan dengan situasi angin ribut pasir dan debu yang menyesakkan!
Sekalipun angin bertiup kuat serta menerbangkan pasir dan debu yang tebal, unta tetap mampu meneruskan perjalanan seperti biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
By : CamelPhotos.com
Bulu mata yang lentik dan tebal itu akan menepis habuk-habuk kecil yang hinggap pada matanya. Namun, jika habuk dan pasir itu datang dalam bentuk yang lebih banyak dan ekstrim, maka unta akan berjalan dengan memejamkan mata. Tiada masalah untuk unta meneruskan perjalanan kerana kulit penutup matanya direka khas secara lutsinar atau transparent!
Malah, penafasannya kekal lancar dan jauh dari risiko lelah atau tersumbat kerana unta memiliki penutup lubang hidung khusus yang boleh terbuka dan tertutup secara automatic mengikut keperluan.
Kaki Yang Istimewa
Unta memiliki kaki yang lasak.
Walaupun berat badan unta mencapai ratusan kilo, ditambah dengan muatan berat yang ditanggung serta suhu tinggi tanah gurun yang memeritkan, unta tidak pernah terhincut-hincut atau terjengket-terjengket kepanasan sewaktu berjalan.
2 pasang kaki ajaib anugerah Tuhan ini telah di‘design’ khas bagi menghadapi permukaan tanah yang tidak menentu dan suasana panas yang ekstrim.
Unta memiliki 2 jari pada setiap kaki. Ia kelihatan lembut tetapi tebal dan lebar menjadikan unta selesa meneruskan pengembaraannya dengan lancar. Selain itu, kaki yang panjang turut menjadikan badannya terelak dari merasa kurang selesa dengan bahang pasir yang panas.
‘Aksesori’ Penebat Haba
Bagaimana unta mampu duduk dan berehat di atas permukaan tanah gurun yang panas membahang itu?
Jika suhu setinggi 32 darjah celcius pun sudah menyebabkan jalanraya menjadi panas ‘membara’ serta tidak ada manusia mampu memijak jalan tar tanpa selipar, inikan lagi padang pasir!
Kepanasannya berganda. Ianya melecurkan kulit dan menggandakan rasa pedih dan luka.
Tiada rungutan dari unta. Dia bebas berehat dan duduk pada bila-bila masa. Tiada kerisauan melecur atau cedera.
Rahsianya terletak pada aksesori tambahan yang disediakan oleh Allah pentadbir alam yang Maha Cekap. Setiap zon tubuh unta yang akan menyentuh tanah sewaktu duduk dan berehat telah disediakan lapisan bulu yang lebih tebal sebagai penebat haba dan kepanasan. Lapisan ekstra inilah menjadi menjadikan unta selesa duduk berehat dan tidur.
Dulu, kini dan selamanya, unta adalah nikmat buat insan penghuni gurun. Ia adalah kenderaan peribadi. Ia juga kenderaan pengangkutan barang-barang berat. Ia pembekal susu dan daging. Malah ia juga melambangkan kekayaan dan kemegahan pemiliknya.
Mulut yang lasak, mata dan hidung yang unik, sistem penghadaman yang kebal, bonggol penyimpan yang berkesan, ‘design’ kaki yang menakjubkan dan ketebalan bulu yang tumbuh di sesetengah kawasan badan unta, adakah semua ini berlaku secara kebetulan?
Apakah kehebatan unta ini berlaku tanpa perancangan?
Maha suci Allah dari terlupa atau terlalai. Semuanya kekal dalam pengawasan Allah. Semuanya terjadi mengikut ketetapan dan perancangan Tuhan Pentadbir alam.
Tiada satu pun yang berlaku diluar kehendakNya.
Tahap pengawasan Allah digambarkan dalam ayat kursi ini.
لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ!
Allah itu tidak mengantuk, usahkan lagi tidur!
Al-Baqarah : 255
Ia menggambarkan pemantauan Tuhan dan pemerhatianNya yang maha sempurna maksimum. Justeru, Dia benar-benar Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana!
Unta menggambarkan kebijaksanaan Tuhan yang teliti dan rapi dalam penciptaannya. Ia juga menyerlahkan keadilan Allah apabila ia diciptakan lengkap dan sesuai dengan situasi ekstrim di gurun panas.
Itulah tujuan utama di sebalik suruhan melihat unta.
أَفَلَا يَنْظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ؟
Tidakkah mereka itu perhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?
Al-Ghasyiyah : 17
Unta mesti direnung dengan pandangan iktibar.
Kebenaran Tuhan, kehebatan Islam dan kesesuaiannya terhadap insan adalah natiah dan tujuan utama dari merenung ayat-ayat Allah seperti ini.
Bukankah keajaiban unta menjadi bukti nyata bahawa ISLAM ciptaan Allah itu sentiasa adil, relevan dan lengkap buat insan penghuni bumi?
Ianya sebuah pengajaran buat insan yang mahu berfikir.
إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Sesungguhnya pada ciptaan Allah itu terdapat tanda-tanda kehebatanNya bagi orang-orang yang mahu berfikir.
Ar-Ra`ad : 3
Tiada ulasan:
Catat Ulasan