27 Disember 2023

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah Wa An-Nihayah (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas kedatangan Nabi Isa A.S, dan mereka beriman kepada Allah dan ajaran Nabi Isa serta dipanggil sebagai Nasara/Nasrani.

Berkenaan status ‘nasara/nasrani’, Dr. Solah Abd Al-Fattah Al-Khalidi dalam Al-Qasas Al-Qur`ani (4/388) menjelaskan:

  1. Ajaran An-Nasraniyyah pada awalnya adalah mentauhidkan Allah s.w.t, tiada anak dan pasangan, mengimani Nabi Isa sebagai seorang rasul.
  2. Setelah beberapa ketika, berlaku perubahan cara anutan nasrani dari tauhid kepada trinity. Dikatakan yang merubah itu seorang Yahudi yang memasukkan unsur mempertuhankan Nabi Isa, bernama Saul Paulus.
  3. Dan Ashab Al-Kahfi adalah kelompok Nasara muwahhidun yang larikan diri demi memelihara iman dari kerajaan yang menyembah berhala.

Ibn Abbas telah membahagikan Nasara kepada kepada 3 kategori:

a. Nasara Ya`qubiah (Jacobite)

b. Nasara Nasturiyyah (Nestorianism)

c. Nasara Muslim (Muwahhid)

(Lihat Tafsir Ibn Kathir: 2/450)

 

Namun, bolehkah memanggil pemuda Ashab Al-Kafhi ini sebagai penganut kristian?

Di sini, Majlis Fatwa Jordan pada 2012 mengharuskan memanggil orang nasrani sebagai masihi (kristian) atau memanggil orang kristian dengan istilah nasrani kerana kedua-dua istilah ini merujuk kepada pihak yang sama. 

Ketiadaan istilah kristian atau masihi di dalam Al-Quran tidak menegah penggunaan istilah tersebut kerana tiada dalil yang menegah penggunaan istilah tersebut, apatah lagi realiti menunjukkan penggunaan nasrani dan masihi (kristian) merujuk kepada pihak yang sama.

(Sila rujuk: https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=2673&fbclid=IwAR3qxpsS03B_iXE0uZfRCuyocDcvbLgA6FLImHE0U8iQRsV7JPmC7oEvyKc)

Nasara merujuk kepada kelompok yang menolong Nabi Isa, manakala kristian pula berasal dari istilah Jesus (Isa) Christ (Al-Masih), justeru mereka yang terkait dengan ajaran Nabi Isa dipanggil sebagai kristian (masihi).

Benar, kelompok nasara atau kristian hari ini dianggap sebagai tidak mengikuti ajaran Nabi Isa yang asal. Namun secara sejarahnya, kelompok terawal ini dahulu pernah beriltizam dengan ajaran Nabi Isa yang sebenar seperti yang dianuti 7 pemuda Ashab Al-Kahfi. 

Justeru, pengistilahan kristian atau nasara terhadap pemuda-pemuda Ashab Al-Kahfi adalah merujuk versi nasara muwahhidun (yang mengesakan Allah) seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas, Ibn Kathir dan lain-lain.

 

 

 

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...