20 Mei 2019

Bolehkah Beri`tikaf Di Surau?



Erti dan Hukum I`tikaf

I`tikaf adalah suatu ibadah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Asalkan kita masuk masjid, kita disunatkan berniat i`tikaf, walaupun tempohnya sekejap. I`tikaf bermaksud, berada dalam masjid dengan niat i`tikaf (Mughni Al-Muhtaj). 

Walaupun waktu i`tikaf bersifat terbuka, tapi waktu paling afdhal kita digalakkan i`tikaf ialah pada 10 hari kedua dan 10 hari ketiga di bulan Ramadhan. Sebab Nabi kita melakukannya (H.R Al-Bukhari dan Muslim).

Hikmah I`tikaf

I`tikaf digalakkan kerana ia memberi peluang kepada pelakunya untuk menambah ibadah dan ketaatan ketika berada di dalam masjid seperti solat sunat, membaca Al-Quran, menghadiri majlis ilmu, berzikir dan seumpamanya. 

Cara I`tikaf

Cara yang paling afdhal ialah menggabungkan i`tikaf dengan berpuasa, iaitu kita duduk dalam masjid dengan niat i`tikaf, beribadah sambil berpuasa. Namun, boleh juga beri`tikaf tanpa puasa. 

Kita boleh i`tikaf seberapa lama yang kita mahu. Kita juga boleh niat i`tikaf sambil-sambil kita belajar, menghadiri majlis akad nikah, bermesyuarat, menunggu orang lain atau membersih, vakuum carpet dan sebagainya. Ia cara mudah untuk dapat pahala tambahan, insya Allah.

Tapi, kalau setakat melintas masuk dalam masjid dari pintu kemudian keluar ke pintu yang lain, ia tidak memadai. Ulama menyebutkan, perlu kita masuk dan 'stay' sekejap barang 2-3 saat sambil niat i`tikaf, lepas tu keluar. Ini tempoh minimum i`tikaf yang dibenarkan (Tuhfat Al-Habib `Ala Syarh Al-Khatib).

Lokasi I`tikaf

Tempat i`tikaf adalah di masjid. Namun, timbul persoalan adakah sah kita i`tikaf di surau atau musalla?

Di sini, kita perlu menilai dulu pengertian masjid. Dari situ, baru kita akan lihat, boleh atau tidak beri`tikaf di surau dan musalla.


Para ulama membahagikan masjid kepada 2 kategori:

1) Masjid Al-Jami`(الجامع)
2) Masjid Al-Jama`ah (الجماعة)


Masjid Al-Jami` atau juga ditulis dengan 'jamek' bermaksud setiap masjid yang didirikan padanya solat jumaat. Ini kerana maksud al-jami` ialah yang menghimpunkan. Ia merujuk kepada fungsi masjid yang mengumpulkan umat Islam di hari Jumaat untuk menunaikan solat jumaat. 

Berdasarkan maksud ini, setiap surau yang diizinkan untuk tunaikan solat jumaat adalah termasuk dalam kategori masjid. 

Masjid Al-Jama`ah pula setiap tempat yang dikhususkan untuk aktiviti solat fardu secara berjemaah secara konsisten. Berdasarkan ciri ini, surau-surau biasa di taman-taman, kampung-kampung dan seumpamanya, yang mempunyai organisasi pengurusan, ditunaikan solat berjemaah 5 waktu dan apa sahaja aktiviti yang mirip dibuat di masjid jamek, maka ia termasuk dalam kategori masjid al-jama`ah walaupun ia tidak bernama 'masjid'.

Fatwa Wilayah Persekutuan tentang Masjid Al-Jama`ah menyatakan :

"Sesetengah surau di Malaysia padanya dilaungkan azan, ditunaikan solat lima waktu berjemaah di dalamnya, bahkan surau-surau ini ada carta organisasinya yang tersendiri dari sudut pentadbiran dan juga bangunan yang sesuai. Surau-surau ini juga telah didaftarkan dengan jabatan-jabatan agama negeri masing-masing untuk mendapatkan pengesahan seterusnya mula beroperasi. Surau-surau seperti ini wujud di kawasan perumahan awam yang mana apabila pihak pemaju ingin memajukan sesuatu kawasan yang majoritinya beragama Islam, maka sebidang tanah telah diperuntukkan untuk dibinakan surau atau masjid yang mana tanah itu akan diambil alih pengurusannya oleh majlis atau jabatan agama yang terbabit. Atas dasar ini, kami melihat, meskipun asal pada namanya adalah surau namun ianya telah menepati ciri-ciri masjid yang telah ditetapkan di sisi para ulama."

Ini bererti, surau di RnR, surau di stesen minyak, surau umum di mall termasuk musalla (seperti padang atau stadium yang sesekali diadakan solat hajat, istisqa` dan seumpamanya), adalah tidak menepati konsep masjid. Maka, ibadah i`tikaf tidak wujud di tempat ibadah sebegitu.


16 Mei 2019

Qadha dan Fidyah Puasa: Siapa Yang Kena, Siapa Yang Dikecualikan?

Puasa Satu Kewajipan


Semua orang maklum bahawa setiap muslim yang mukallaf wajib menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Secara amnya, ia mirip solat fardhu 5 waktu dari sudut jika ia tidak dibuat, ia wajib diganti (qadha).


Cuma, persoalan timbul, adakah setiap puasa Ramadhan yang ditinggalkan wajib diqadha?


Jawapannya ya dan tidak.

Ya, secara asasnya, puasa yang ditinggalkan perlu diqadha.


Tidak, kerana ada setengah manusia yang perlu membayar fidyah sahaja. Ada juga yang Allah 'halal'kan terus puasanya jika ia sampai ajal ketika sedang keuzuran. (Ada huraian di bawah)


Kategori Orang Tinggalkan Puasa

Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan, ada beberapa macam.

1) Sengaja tinggal. Yang ni berdosa di sisi Allah kerana abaikan kewajipan. Wajib bertaubat nasuha dan qadha.

2) Yang musafir atau sakit kuat di bulan Ramadhan. Yang ini ada perincian panjang dibahaskan oleh ulama. Tapi cukuplah disimpulkan di sini, bahawa 2 golongan ini jika memenuhi syarat, mereka boleh berbuka puasa ketika musafir dan ketika alami sakit.

Tapi mereka wajib qadha di hari yang lain.

3) Wanita yang haid atau nifas. Ini juga wajib ganti.

4) Wanita yang hamil dan menyusukan anak. Golongan ni 'harus' tinggalkan puasa JIKA puasa mereka boleh memudaratkan diri atau anak dalam perut atau yang sedang disusukan. Dan mereka perlu qadha di hari yang lain.

5) Orang yang koma, pengsan atau gila seluruh siang. Start sebelum subuh sampai lepas azan maghrib ia koma atau gila. Waktu malam baru sedar atau normal. Mereka perlu ganti puasa di hari yang lain.

Tapi kalau ia terjaga dari koma atau pengsan di mana-mana juzuk waktu di siang Ramadhan, maka ia wajib imsak (teruskan puasa) pada baki hari tersebut - jika ia berkemampuan. Kalau tak mampu juga, consider qadha.

6) Orang yang tidak mampu berpuasa disebabkan oleh terlalu tua dan uzur atau kerana alami sakit berat yang tak kunjung sembuh, yang menyebabkan dia tak mampu berpuasa pada bila-bila masa.

Golongan ini lain sikit. Disebabkan realitinya dia tak akan mampu puasa, syarak terus arahkan mereka keluarkan fidyah mengikut hari yang mereka tinggal puasa.

Fidyah sehari ialah beras seberat satu cupak bersamaan 650 gram (lebih kurang). Atau nilainya RM 1.80 sehari di Selangor dan lain-lain negeri. Cuma Wilayah Persekutuan lain sikit. Fidyah secupak beras di sana dikira RM 4. Aku tak sempat cek kenapa ijtihad mereka berbeza. Tapi itulah perbezaan yang wujud.


Selain golongan nombor 6 👆, siapa lagi yang kena fidyah?

ٍSemua pihak yang tinggalkan puasa Ramadhan, perlu qadha. Itu asasnya.

Namun bagaimana jika tak ganti-ganti, hingga Ramadhan berikutnya datang?

Ia tetap kena ganti sebab itu hutangnya dengan Tuhan. Cuma adakah perlu bayar fidyah atau tak, bergantung kepada alasan, kenapa ia lewatkan qadha.

Berikut adalah senarai 'mereka' yang wajib berfidyah.

1) Golongan nombor 1, 2, 3,4 dan 5 (skrol naik atas balik) yang sengaja tangguhkan ganti puasa hingga datang Ramadhan berikutnya. Golongan ini kena qadha macam biasa beserta fidyah mengikut hari yang ditinggalkan.

Ketetapan ini diambil dari pandangan ulama :

مَنْ أَخَّرَ قَضَاءَ رَمَضَانَ مَعَ إمْكَانِهِ حَتَّى دَخَلَ رَمَضَانُ آخَرُ لَزِمَهُ مَعَ الْقَضَاءِ لِكُلِّ يَوْمٍ مُدٌّ

"Sesiapa yang melengahkan qadha puasa Ramadhan hingga masuk Ramadhan berikutnya, sedangkan ia mampu melakukannya, maka wajib kepadanya membayar fidyah satu cupak sehari bersama qadha."

(Hasyiyah Al-Bujairimi `Ala Al-Khatib)


TAPI....

Jika ia lewat qadha kerana sakitnya berterusan hingga ke Ramadhan berikutnya, ia tak perlu fidyah. Hanya perlu qadha sahaja bila sihat kelak. Kalau 3 tahun kali Ramadhan dia sakit berterusan, tiada fidyah atau gandaan. Hanya perlu qadha sahaja.

 أَمَّا مَنْ لَمْ يُمْكِنْهُ الْقَضَاءُ لِاسْتِمْرَارِ عُذْرِهِ حَتَّى دَخَلَ رَمَضَانُ، فَلَا فِدْيَةَ عَلَيْهِ بِهَذَا التَّأْخِيرِ


"Adapun orang yang tak mampu qadha kerana halangannya masih berterusan hingga masuknya Ramadhan yang berikut, maka ia tidak dikenakan fidyah disebabkan kelewatan tersebut."

(Hasyiyah Al-Bujairimi `Ala Al-Khatib)

Cuma seandainya ia mati ketika sedang sakit, hutang puasanya tu Allah 'halal'kan. Sebab ia tak sempat sihat. Waris pun tak perlu bayarkan fidyah apa-apa. Hal yang sama berlaku kepada wanita yang mati ketika haid atau nifas. Tak perlu sesiapa qadha`kan puasa. Tak perlu difidyahkan.

Jika ia sihat kembali (atau wanita yang haid menjadi suci), dan ada gap beberapa hari untuk dia qadha, tapi dia tidak qadha, lalu ajalnya sampai, maka warisnya boleh pilih salah satu dari 2 option.

Warisnyanya boleh puasa untuk si mati ikut hari yang dia tinggal. Ini hukumnya sunat saja untuk waris buat. Jika tiada yang sudi, maka wajib dibayarkan fidyah untuk si mati.

2) Dari 5 golongan tadi ☝ , golongan nombor 4 (wanita hamil dan menyusu anak) ada perincian sikit tentang fidyah.

Mereka ini, kalau tak puasa semasa kehamilan dan menyusu, kenalah QADHA SAHAJA JIKA motif mereka tinggal puasa kerana bimbang mudarat ke atas diri sendiri, seperti bimbang pengsan, darah rendah dan sebagainya. Tapi... kalau sengaja tangguhkan qadha sampai datang Ramadhan berikutnya, kenalah bayar fidyah sekali.

Jika si ibu tadi tinggalkan puasa kerana bimbangkan mudarat ke atas bayi, maka mereka perlu QADHA dan FIDYAH!.
So, kena cek betul-betul apa motif ibu-ibu hamil dan menyusu anak tinggalkan puasa.


Siapa yang bayar fidyah secara kompaun dan berganda?

Golongan 1, 2, 3, 4 dan 5 adalah pihak yang terdedah kepada kompaun jika mereka ada unsur sengaja melengahkan qadha sampai datang Ramadhan berikutnya. Kalau 2 kali Ramadhan dia lengah, maka kena bayar fidyah 2 kali ganda. Jika lengah 5 kali Ramadhan, darablah kepada 5. 

(Kadar fidyah (RM1.80) X berapa hari tak puasa X berapa kali Ramadhan yang dilengah)

Ini berdasarkan ketetapan Fiqh :

وَيَتَكَرَّرُ الْمُدُّ إذَا لَمْ يُخْرِجْهُ بِتَكَرُّرِ السِّنِينَ

"Dan bayaran fidyah cupak itu digandakan dengan sebab berulang-ulang tahun jika ia tidak membayarnya"

Tapi jika ada halangan atau keuzuran yang langsung menutup peluang untuk qadha, maka tak perlu fidyah. Just qadha sahaja.


Golongan ke-6 (orang tua keuzuran dan pesakit kekal), tak kena gandaan fidyah?
Jawapannya iya, mereka dikecualikan dari kaedah di atas.
Ini kerana Imam An-Nawawi ada sebut dalam Raudhah At-Talibin (juz 2, hlm. 385) :

إِذَا أَخَّرَ الشَّيْخُ الْهَرِمُ الْمُدَّ عَنِ السَّنَةِ الْأُولَى، فَالْمَذْهَبُ أَنَّهُ لَا شَيْءَ عَلَيْهِ

"Jika orang tua yang keuzuran melewatkan bayaran cupaknya (fidyah) dari Ramadhan sebelumnya, maka mengikut pandangan mazhab, ia tidak dikenakan apa-apa (tambahan)"


Orang yang sakit yang tak ada harapan sembuh, maka ia sama hukum dengan orang tua yang keuzuran. Asasnya adalah dari ayat ini.


وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

"Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan yang seumpamanya) membayar fidyah dengan memberi makan kepada golongan miskin"

Al-Baqarah : 184

Berhubungan dengan ayat di atas, ulama telah menjadikan orang tua uzur dan pesakit kekal yang tidak mampu berpuasa dalam satu kelompok berasingan dari 5 golongan tadi.

Sebab, orang tua dan pesakit seumur hidup ini, sejak awal mereka tidak diwajibkan berpuasa, sebaliknya mereka hanya ditaklifkan 'mengeluarkan cupak fidyah', berbeza dengan golongan lain yang asalnya memang boleh berpuasa.

Pengarang Hasyiyah Al-Jamal berkata:

وَلَا شَيْءَ عَلَى الْهَرِمِ وَالزَّمِنِ وَمَنْ اشْتَدَّتْ مَشَقَّةُ الصَّوْمِ عَلَيْهِ لِتَأْخِيرِ الْفِدْيَةِ إذَا أَخَّرَهَا عَنْ السَّنَةِ الْأُولَى 


"Dan tiada apa-apa (gandaan fidyah) atas orang tua dan pesakit kekal serta mereka yang mengalami kepayahan melampau ketika berpuasa disebabkan melambatkan bayaran fidyah, jika ia lambatkan dari tahun pertama."


Jadi, berdasarkan pandangan ini, hanya 5 kelompok sahaja yang terdedah kepada fidyah berganda. Sementara orang tua uzur dan pesakit yang kekal diberi kelonggaran.

Rujukan :

Al-Fiqh Al-Manhaji - Mustafa Al-Bugha dan rakan-rakan
Rawdhah At-Talibin - Yahya bin Syaraf An-Nawawi
Hasyiah Al-Jamal `Ala Syarh Al-Minhaj - Sulaiman bin Umar Al-Azhari
Hasyiyah Al-Bujairimi `Ala Al-Khatib - Sulaiman bin Muhammad Al-Bujairimi

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...