Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah Wa An-Nihayah (2/114)
menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud
selepas kedatangan Nabi Isa A.S, dan mereka beriman kepada Allah dan ajaran
Nabi Isa serta dipanggil sebagai Nasara/Nasrani.
Berkenaan status
‘nasara/nasrani’, Dr. Solah Abd Al-Fattah Al-Khalidi dalam Al-Qasas
Al-Qur`ani (4/388) menjelaskan:
- Ajaran An-Nasraniyyah pada awalnya adalah mentauhidkan Allah s.w.t, tiada anak dan pasangan, mengimani Nabi Isa sebagai seorang rasul.
- Setelah beberapa ketika, berlaku perubahan cara anutan nasrani dari tauhid kepada trinity. Dikatakan yang merubah itu seorang Yahudi yang memasukkan unsur mempertuhankan Nabi Isa, bernama Saul Paulus.
- Dan Ashab Al-Kahfi adalah kelompok Nasara muwahhidun yang larikan diri demi memelihara iman dari kerajaan yang menyembah berhala.
Ibn Abbas telah membahagikan Nasara kepada kepada 3
kategori:
a. Nasara Ya`qubiah
(Jacobite)
b. Nasara Nasturiyyah
(Nestorianism)
c. Nasara Muslim
(Muwahhid)
(Lihat Tafsir Ibn
Kathir: 2/450)
Namun, bolehkah
memanggil pemuda Ashab Al-Kafhi ini sebagai penganut kristian?
Di sini, Majlis
Fatwa Jordan pada 2012 mengharuskan memanggil orang nasrani sebagai
masihi (kristian) atau memanggil orang kristian dengan istilah nasrani kerana
kedua-dua istilah ini merujuk kepada pihak yang sama.
Ketiadaan istilah
kristian atau masihi di dalam Al-Quran tidak menegah penggunaan istilah
tersebut kerana tiada dalil yang menegah penggunaan istilah tersebut, apatah
lagi realiti menunjukkan penggunaan nasrani dan masihi (kristian) merujuk
kepada pihak yang sama.
(Sila rujuk: https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=2673&fbclid=IwAR3qxpsS03B_iXE0uZfRCuyocDcvbLgA6FLImHE0U8iQRsV7JPmC7oEvyKc)
Nasara merujuk kepada
kelompok yang menolong Nabi Isa, manakala kristian pula berasal dari istilah
Jesus (Isa) Christ (Al-Masih), justeru mereka yang terkait dengan ajaran Nabi
Isa dipanggil sebagai kristian (masihi).
Benar, kelompok nasara
atau kristian hari ini dianggap sebagai tidak mengikuti ajaran Nabi Isa yang
asal. Namun secara sejarahnya, kelompok terawal ini dahulu pernah beriltizam
dengan ajaran Nabi Isa yang sebenar seperti yang dianuti 7 pemuda Ashab
Al-Kahfi.
Justeru, pengistilahan
kristian atau nasara terhadap pemuda-pemuda Ashab Al-Kahfi adalah merujuk
versi nasara muwahhidun (yang mengesakan Allah) seperti
yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas, Ibn Kathir dan lain-lain.