28 September 2026

Apa yang perlu dilakukan jika kita terlupa rukun solat ketika sedang menunaikan solat?

 

Baru ni bapa mentua aku tanya tentang situasi seseorang yang sedang solat, tiba-tiba tertinggal salah satu rukun solat kerana terlupa. Jadi, apakah status solatnya dan bagaimana nak hadapi situasi ini.

 

Baik.

 

Hukum tinggal rukun solat

Rukun solat adalah perkara yang wajib dilakukan ketika solat. Jika sengaja tinggal, solatnya terus terbatal dan ia perlu solat semula. Jika terlupa dan tak sengaja tinggal, solat masih boleh dibaiki dengan melakukan rukun yang ditinggalkan.

 

Ulama berkata:

 

فَالْفَرْضُ الْمَتْرُوْكُ سَهْوًا لَا يَنُوْبُ أَي لَا يَقُوْمُ عَنهُ سُجُوْدُ السَّهْوِ وَلَا غَيْرُهُ مِنْ سُنَنِ الصَّلَاةِ، بَلْ حُكْمُهُ أَنَّهُ إِنْ ذَكَرَهُ قَبْلَ سَلَامِهِ، أَتَى بِهِ.

Perbuatan yang wajib (rukun) yang ditinggalkan kerana terlupa, tidak dapat digantikan oleh sujud sahwi dan perkara sunat solat yang lain, bahkan hukumnya ialah jika ia teringat sebelum memberi salam, ia hendaklah melaksanakannya.

[Al-Khatib Ash- Syarbini, Al-Iqna` Fi Hal Alfaz Abi Syuja`: 1/155]

 

Tertinggal rukun solat secara tidak sengaja

Aku akan huraikan berdasarkan situasi solat bersendirian.

 

Situasi ini melibatkan 3 keadaan.

 

1. Jika seseorang terlupa rukuk contohnya, lalu dia terus iktidal dan sujud. Kemudian ia sedar yang rukuknya tertinggal, maka ia hendaklah patah balik terus dan melakukan rukuk tersebut.

Caranya, ketika ia sedang sujud atau duduk di antara dua sujud, ia hendaklah terus bangun dan berdiri. Lepas tu dia rukuk dan sempurnakan saki baki rukun setelahnya mengikut susunan. Pergerakan patah balik tu tak perlu takbir (intiqalat). Hanya perlu bangun sahaja.

 

Ulama berkata:

  

إِجْمَاعُ الْجَمِيْعِ أَنَّ الْمُصَلِّيَ لَوْ نَسِيَ الرُّكُوْعَ مِنْ صَلَاتِهِ وَسَجَدَ، ثُمَّ ذَكَرَ وَهُوَ سَاجِدٌ أَنَّ عَلَيْهِ أَنْ يَقُوْمَ حَتَّى يَرْكَعَ.

Semua pihak telah berijmak: bahawa orang yang sedang solat, jika terlupa melakukan rukuk ketika solat dan terus sujud, kemudian ia teringat rukuk yang tertinggal ketika sedang sujud, ia hendaklah bangun semula untuk melakukan rukuk.

[Ibn Battal, Syarh Sahih Al-Bukhari 3/213]

 

2. Jika dia terlupa rukuk, dan hanya teringat ketika sedang membaca surah atau ketika sedang rukuk dalam rakaat berikutnya, maka ia teruskan saja pergerakan semasanya (tak perlu patah balik macam situasi 1).

Dalam hal ini, rakaat sebelumnya - yang terlupa rukuk tu -  dikira lagha (tak dikira sebagai rakaat). Jadi, rakaat keduanya pada waktu itu dikira rakaat pertama. Ia perlu tambah 1 lagi rakaat berikutan rakaat yang ia terlupa rukuk tu tidak dikira sebagai rakaat yang muktabar. 

 

3. Jika ia terlupa rukuk dan hanya teringat setelah memberi salam, maka ada 2 situasi:

 

A. JIKA jarak masa di antara memberi salam dan masa ia teringat tu masih sekejap (tempoh kurang dari seminit macam tu), dia hendaklah bangun dan tambah 1 rakaat lagi, lengkap dengan segala rukun-rukun solat berkaitan sebagai ganti rakaat yang tiada rukuk tu. Kemudian ia sempurnakan solat macam biasa.

 

Menariknya, jika ia dah bangun dari solat, sempat bercakap sedikit dan berpaling dari kiblat, tiba-tiba dalam tempoh yang sekejap tadi ia teringat yang ia perlu perbaiki solatnya, maka ia boleh kembali semula ke dalam solatnya di tempat ia teringat dan semua perbuatan tersebut belum dikira membatalkan solat selagi ia sedikit, sekejap serta badan dan pakaiannya tidak terkena najis.

 

Ulama berkata:

 

وَإِِنْ تَذَكَّرَهُ بَعْدَ السَّلَامِ وَالزَّمَانُ قَرِيْبٌ وَلَمْ يَطَأْ نَجَاسَةً، أَتَى بِهِ وُجُوْبًا وَبَنَى عَلَيْهِ بَقِيَّةَ الصَّلَاةِ - وَإِنْ تَكَلَّمَ قَلِيْلًا وَاسْتَدْبَرَ الْقِبْلَةَ وَخَرَجَ مِنَ الْمَسْجِدِ - وَسَجَدَ لِلسَّهْوِ.

Jika ia teringat (rukun yang ia terlupa) setelah memberi salam dan waktu ia teringat adalah dekat (dengan memberi salam) serta ia tidak terpijak najis, ia wajib melakukan rukun yang teringgal serta menyempurnakna saki-baki rukun solat setelahnya - sekalipun ia telah bercakap sedikit, berpaling dari kiblat dan keluar dari masjid, - kemudian ia sunat melakukan sujud sahwi.

[Al-Khatib Ash- Syarbini, Al-Iqna` Fi Hal Alfaz Abi Syuja`: 1/156]

 

B. JIKA jarak masa di antara memberi salam dan masa ia teringat adalah lama, seperti lepas ia bagi salam, ia duduk berzikir dan berdoa selama 5 minit, atau lepas solat dia bangun makan, kemudian lepas tu baru teringat yang ia tertinggal rukuk, maka ia wajib ulang solat tersebut sekali lagi.

 

Ataupun jika ia teringat rukun yang teringgal dalam tempoh yang sekejap tapi pakaian atau badannya terkena najis, maka solatnya terbatal dan ia perlu melakukan solat yang baharu.

 

Perhatian

Dalam semua situasi ia teringat dan sempat baiki solat, ia sunat melakukan sujud sahwi (sujud kerana terlupa) sebelum memberi salam, KECUALI situasi nombor 3-b, sebab ia perlu lakukan solat yang baharu. Jadi, bila solatnya dah baharu, ia tak perlu topup sujud sahwi.

Semua perincian di atas hanya melibatkan situasi meninggal rukun solat yang bersifat wajib dilakukan ketika solat.

Adapun situasi meninggalkan perkara sunat dalam solat, ia ada hukum berbeza.

Nantilah aku huraikan dalam tulisan yang berasingan.

Semoga Allah beri kefahaman kepada aku dan juga kepada orang yang membaca artikel ini.

 

Rujukan:

- الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع

شمس الدين، محمد بن أحمد الخطيب الشربيني الشافعي (ت 977هـ)


- شرح صحيح البخاري لابن بطال

أبو الحسن علي بن خلف بن عبد الملك (ت 449 هـ)

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa yang perlu dilakukan jika kita terlupa rukun solat ketika sedang menunaikan solat?

  Baru ni bapa mentua aku tanya tentang situasi seseorang yang sedang solat, tiba-tiba tertinggal salah satu rukun solat kerana terlupa. Jad...