(Edisi ulang siar bersama pembetulan & penambahan fakta)
Imam al-Qurtubi menyelitkan kisah menarik ketika mentafsir sepotong ayat dari surah at-Tin.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dalam seindah-indah ciptaan.”
At-Tin : 4
Seorang lelaki bernama Isa Bin Musa Al-Hasyimi sangat menyayangi isterinya. Bertuah si Isa kerana beristerikan wanita jelita. Bagi Isa, isterinya bak bidadari kayangan yang turun ke dunia. Sudah habis bahasa pujian yang telah dihamburkan kepada kekasih hatinya itu.
Dek kerana ‘geram’ dengan kecantikan isterinya, Isa mengungkapkan :
“Engkau tertalak tiga jika engkau tidak secantik dan seindah bulan purnama!”
Ungkapan 'aneh' Isa telah membantutkan suasana romantik yang dibina.
Terperanjat dengan kata-kata Isa, isterinya bingkas bangkit dan menutup auratnya serta berkata:
“Kenapa abang menceraikan saya?!”
Tidur mereka pada malam itu tidak lena. Kerana kecantikan, penghargaan bertukar menjadi bencana. Bukan kecil anak tragedi yang terjadi. Sebuah rumahtangga bahagia dan kasih sayang runtuh sekelip mata dilanggar 'tsunami'.
Mengadu kepada khalifah
Isa yang masih terkejut dengan bencana ciptaannya sendiri bergegas menemui khalifah Abu Ja`afar Al-Mansur dan menceritakan segala-galanya kepada baginda.
"Tolonglah wahai Amirul Mukminin! Saya pun tak pasti adakah dia masih isteri saya tak tidak!" Rayu Isa.
Khalifah al-Mansur yang juga kelihatan bingung dengan kes pelik tersebut lantas memanggil para ulama.
“Ini kes penceraian yang aneh. Maka, apakah pandangan syara` terhadap kes ini?” soal al-Mansur kepada jemaah mufti dan ulama di hadapannya.
“Talak telah jatuh dan wanita tersebut telah pun diceraikan.” Mereka sepakat memberikan jawapan setelah meneliti masalah dan berijtihad.
Ini kerana bulan purnama adalah ciptaan Allah yang indah dan tiada tolok bandingnya.
Bulan sering menjadi lambang keindahan dan kecantikan. Justeru, insan yang indah dan cantik akan disamakan pula dengan bulan purnama.
“Engkau laksana bulan...” Ungkap seorang penyanyi terohor itu.
"طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا..."
“Telah datang bulan pernama (Nabi Muhammad) kepada kami…!”
Seru golongan Ansar ketika menyambut kedatangan Rasulullah di Madinah.
Dari sudut itu, memang tiada siapa yang boleh mengatasi kecantikan bulan purnama.
Surah at-Tin sebagai penyelamat
Sungguh pun majoriti fuqaha` yang bersidang bersependapat menjatuhkan talak, ada seorang ulama dari aliran Hanafi yang dilihat masih berdiam diri.
Diamnya adalah diam ubi.
Khalifah al-Mansur menyedari kehadiran sarjana ini. Baginda menegur lelaki tersebut.
“Kenapa anda masih berdiam diri? Apakah ada pandangan lain?”
Lelaki tersebut mengangkat kepala dan membacakan surah at-Tin dari ayat 1 sehingga ayat 4.
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia itu dalam seindah-indah ciptaan.”
At-Tin : 4
“Wahai Amirul Mukminin, Allah telah mengisytiharkan dalam surah ini bahawa manusia adalah makhluk terindah dan tercantik. Justeru, walaupun ada ciptaan lain yang cantik, tetapi ia tidak dapat menandingi keindahan ciptaan Tuhan yang bernama manusia.” Ujar si alim membuat kesimpulan.
Semua terpegun dengan ‘kefahaman’ lelaki tersebut. Sebuah surah telah menyelamatkan sebuah rumahtangga.
Ibrah kisah
- Al-Quran merupakan manual book untuk manusia. Ia boleh menyelesaikan masalah manusia jika kita mengkaji dan membongkar rahsianya.
- Al-Quran bukan bacaan bermusim ketika Ramadhan atau kematian. Tapi ianya bacaan hari-hari yang mesti dipelajari dan difahami.
- Talak dan cerai bukan perkara main-main. Usah jadikannya umpama zikir atau wirid.
- Kalau tak tahu, jangan segan bertanya mereka yang tahu!
Usahakanlah...!
Jangan biarkan mushaf berhabuk sawang.
P/S : Enrti ini pernah diterbitkan dalam blog ini pada Oktober 2010. Tetapi kerana ada sedikit kesilapan, maka ia diterbitkan semula dengan sedikit pembetulan fakta. Moga ada manfaat...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan