14 Mac 2012

Mengenal & Menjauhi Mudarat Manusia Bermuka Dua

Manusia adalah makhluk sosial.

Kerana itu mereka tidak mampu memencilkan diri dari bersosial lalu menjadi kera sumbang. Kemahuan fitrah menggamit mereka untuk sentiasa berkomunikasi dan berinteraksi, mencari rakan dan teman untuk berbual, berkolobrasi, bekerjasama, bergurau senda, meluah perasaan serta pelbagai lagi aktiviti fitrah.

Namun, tidak semua manusia itu sesuai disosialkan.

Dalam pada seseorang itu sedang sibuk berfitrah di lautan sosial, ada beberapa jenis manusia yang mesti dihadapi dengan sikap hati-hati dan waspada. Kerana mereka sebenarya adalah insan pemangsa di sebalik kelembutan sikap dan wajah mesra. Golongan ini berupaya menjadi ‘sesumpah’ yang menzahirkan bicara sopan di khalayak ramai sambil menyembunyikan sisi keji dan buruknya di belakang mereka.

Mereka ini digelar munafiq. Sifat yang membusuk di dalam jiwa mereka pula disebut nifaq. Memang sukar mengenalpasti kelompok ini kerana virus nifaq ini kemas tersembunyi di dalam hati. Dalam kebanyakan waktu, pembawaan dan tingkah laku mereka berjaya menyembunyikan identiti sebenar.

Namun, Allah s.w.t tidak membiarkan kita terus menjadi mangsa kepada pemangsa ini. Sekalipun nifaq sukar dikesan dan tidak terzahir di wajah, Allah telah memberikan isyarat dan gambaran sikap mereka agar manusia mengambil iktibar dan berwaspada.

Manusia yang fajir tidak selamanya mampu berpura-pura menjadi insan yang baik.

Antara sikap utama yang menonjolkan kemunafiqan mereka ialah benci kebaikan dan cinta kerosakan.

Allah berfirman :

اَلْمُنَافِقُوْنَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ، يَأْمُرُوْنَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوْفِ

Manusia lelaki dan perempuan yang bersikap nifaq, mereka sentiasa bantu-membantu sesama mereka, mereka menggalakkan kerosakan dan menegah perkara-perkara yang baik.
(At-Tawbah : 67)

Golongan ini sebenarnya kurang cenderung dan tidak selesa dengan ma`ruf yang merangkumi prinsip kebaikan dan keadilan. Pada mereka, ma`ruf adalah sesuatu yang membebankan, menyekat kebebasan dan dianggap menghalang kemajuan. Natijahnya golongan ini menjadi penentang kebenaran dan keadilan walaupun ianya berupaya merealisasikan manfaat atau menolak mudarat.

Maka lahirlah kempen-kempen menolak hukum al-Quran kerana ia dianggap mundur dan tidak adil. Kononnya menurup aurat adalah ekstrim dan tidak wasatiyyah. Berlaku adil dan saksama dikatakan betul bendul dan tidak cerdik. Solat dituduh sebagai pembantut kemajuan. Berpuasa dikatakan mengurangkan produktiviti umat. Pendokong kebajikan diselar hipokrit dan berpura-pura.

Sebaliknya, unsur-unsur kerosakan dan keburukan menjadi sesuatu yang digemari walaupun ianya terang-terang bertentangan agama, logik dan fitrah yang sihat. Mereka ini mahir menjustifikasikan kerosakan dengan slogan manis dan mesra.

Kerana itu penguasa yang mencuri dan merompak kekal berjawatan dan terus dilantik. Aksi-aksi mendekati zina, menayangkan aurat dan ghairah, berpelukan dan bersentuhan penuh syahwat di layar perak  menjadi halal atas nama seni, mencari rezeki dan menajamkan bakat. Menyebar-luaskan arak dan judi dianggap satu keperluan penting dalam meningkatkan ekonomi. Khianat amanah, menipu dan merasuah bukan kesalahan besar yang mengaibkan intgeriti. Penghina agama disanjung sementara penghidup agama ditekan dan diherdik.

Melakukan kerosakan adalah berdosa dan menjengkelkan. Namun tahap dosa, rasa jengkel dan meluat akan meningkat beberapa kali ganda apabila perkara-perkara tersebut  menjadi bahan promosi yang dikempenkan.

Benar, tiada insan yang sempurna dari melakukan kesalahan. Namun mengisytiharkan kempen mazmumah serta menggalakkan kerosakan adalah sesuatu kezaliman paling besar terhadap makhluk. Ia suatu bentuk pengisytiharan perang ke atas Allah azza wajalla dan agamaNya.

Insan bersifat nifaq tidak kisah dengan semua itu. Mereka hanya akan terlibat dengan kebaikan sekiranya ia mendatang benefit duniawi atau menaikkan ‘saham’ kemasyhuran.

Jika tidak, komited mereka tetap seperti apa yang dikhabarkan Ilahi iaitu :

يَأْمُرُوْنَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوْف

Mereka menggalakkan perkara yang buruk serta menegah prinsip kebaikan

Sensitiviti iman dan tahap kepedulian menjadi sifar apabila nafsu dilantik sebagai tuhan.

Allah memberi ingatan tentang penangan nafsu.

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً، فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّه؟ِ

 Apakah pandangan kamu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan, lalu ia disesatkan oleh Allah dalam keadaan ia tahu dan berilmu, dan Allah menutup pendengaran dan hatinya (dari kebenaran) serta menjadikan penutup yang menghijab penglihatannya. Maka siapakah lagi yang dapat memberikan petunjuk kepada orang ini setelah Allah (menjadikan ia dalam keadaan sedemikian rupa)?

Al-Jathiyah : 23

Tidak tahu tentang sesuatu, lalu tersesat dan tersalah arah adalah biasa. Ia boleh dianggap normal. Ia masih boleh dimaafkan dan diperbetulkan.

Namun memilih untuk berdegil dalam kesesatan dan terus mendokong kerosakan setelah Allah membekalkan penglihatan, pendengaran, keupayaan berfikir serta ilmu dan tahu yang berupaya membezakan antara haq dan batil, adalah sesuatu yang sangat hina dan amat luar biasa! Ia menunjukkan kerosakan jiwa dan pemikiran di tahap yang paling kritikal.

Lantaran itu manusia yang asalnya dimuliakan Tuhan menjadi setaraf haiwan, malah lebih hina daripada itu.

Allah memberikan peringatanNya.

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Al-A`raf : 179
Dan sesungguhnya Kami  isi neraka jahanam  itu kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.

Justeru, jauhi diri dari 2 musibah ini, iaitu musibah berperangai nifaq dan musibah menjadi mangsa si munafiq!

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...