28 Ogos 2011

Perihal Puasa Yang Enam Itu

Ramadhan semakin hampir tamat. KL ni dah mula beransur lengang. Ramai yang dah pulang ke kampung. Ke utara, ke selatan dan juga pantai timur. Apa pun, ke mana saja kalian pergi, janganlah lupa baca doa. Semoga selamat pergi dan pulang hendaknya.

Syawal yang bakal menjengah itu bakal berlangsung sebulan. Memang nampak lama. Tapi kalau tak kena gaya, boleh melepas puasa sunat syawal yang 6 hari tu.


Apa tidaknya, lepas puas bercuti di kampung, orang akan beraya di bandar pula.
Open house sana sini. Itu belum kira jamuan raya di tempat kerja. Di surau dan masjid pun ada sekali.

Sebab tu kena rancang puasa yang 6 hari tu.


Err… ada apa dengan puasa sunat syawal ni?


Nabi menyatakan, sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian berpuasa pula 6 hari di bulan syawal, maka Allah memberikannnya pahala senilai puasa selama 365 hari!


Hadith ini riwayat imam Muslim. Statusnya sahih.

Nak puasa tiap-tiap hari sepanjang tahun memang tak mampu. Malah malas dan kurang berminat. Cabaran berdepan dengan nasi beriyani, ayam goreng berempah dan jus minuman yang dingin memang memeritkan. Tapi Allah ni amat-amat pemurah. Diberinya pahala yang melimpah dari amalan yang secebis.


Semua itu kebaikannya kembali kepada kita juga.


Di celah itu ada orang bertanya. Bagaimana pula jika gabung puasa qada` dengan puasa yang 6 itu? Boleh ke? Atau kena buat asing-asing?


Sebenarnya, dalam isu ni, ramai ulama yang memutuskan boleh menggabungkan kedua-dua puasa ni. Dua-duanya valid. Tapi, walaupun sah dan boleh, pahalanya kurang sempurna. Dengan kata lain, tidaklah penuh.
Ertinya, kalau buat asing-asing itu yang paling baik. Lebih afdhal.


Sebab? Sebabnya ialah hadith tadi. Justeru, mereka yang mengambil kaedah ‘short cut’, maka pahalanya pun di‘cut’ sebahagiannya. Siapa yang buat sempurna, insya Allah pakej ganjaran pahalanya penuh jua…

Mana sama hasil bulanan mereka yang kerja 8 jam cukup-cukup dengan mereka yang kerja lebih masa?


Tapi, kot mana pun masih lebih baik berbanding mereka yang tak buat langsung.

Ulama menyebutkan :

وَلَوْ صَامَ فِيْهِ قَضَاءً عَنْ رَمَضَانَ أَوْ غَيْرَهُ كَعَاشُوْرَاء أَوْ نَذْرًا أَوْ نَفْلًا آخَرَ، حَصَلَ لَهُ ثَوَابُ تَطَوُّعِهَا، إِذِ الْمَدَارُ عَلىَ وُجُوْدِ الصَّوْمِ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّال........ لَكِنْ لَا يَحْصُلُ لَهُ الثَّوَابُ الكَامِلُ عَلَى الْمَطْلُوْبِ إِلَّا بِنِيَّةِ صَوْمِهَا عَنْ خُصُوْصِ السِّتِّ مِن شَوَّالٍ

Jika seseorang itu qada` puasa Ramadhan di bulan Syawal ataupun puasa yang lain seperti qada` puasa Asyura, qada` puasa nazar atau ada` puasa sunat yang lain, maka ia masih lagi mendapat pa hala puasa sunat Syawal, kerana perbuatan puasa itu sudah pun wujud di dalam bulan Syawal.... Tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna melainkan jika ia melakukan 6 hari puasa Syawal secara khusus...

(Rujuk : Tanqih al-Lubab, jilid 1, m.s 438)

Itu pandangan pakar agama. Benar, bukan mereka yang menentukan pahala. Tapi keputusan itu berdasarkan kajian mereka terhadap hadith beserta kaedah-kaedah yang berkaitan. Kita yang kurang tahu ini kenalah ikut saranan pakar… 

Betul tak? :)


24 Ogos 2011

Berhari Raya Dengan Sebab, Natijah & Doa

Sesuatu yang tak pernah berhenti dari terus berlaku di musim perayaan ini ialah kemalangan jalanraya. Tiada beza antara lebuhraya dan jalan biasa. Macam-macam bentuk kemalangan berlaku.

Lori langgar lori. Lori langgar kereta. Motor langgar lori. Kereta langgar motor. Kereta langgar pejalan kaki. Bas terbabas. Kereta terlajak. Bas belah rumah. Pejalan kaki tersalah lintas.
Punca kemalangan pun pelbagai.

Ada yang sengaja, ada yang tidak. Ada yang boleh diikhtiarkan elak, ada yang memang sengaja cari nahas. Ada yang kerana tayar pecah tiba-tiba. Ada yang kerana mengantuk. Ada yang kerana muatan lebih. Ada yang berpunca dari kucing atau babi hutan yang melintas secara mengejut.
Pendek kata, macam-macam ada!
Saban tahun kempen keselamatan jalanraya rancak dibuat. Pesanan demi pesanan sentiasa berkumandang di media cetak, elektronik dan ‘alternatif’. Tapi statistiknya tetap tak banyak berubah. Ia tetap berlaku. Seolah-olah kempen tak pernah dibuat.
“Kenapa ye?” tanya seseorang.

“Entahlah...” jawab seorang lagi.
Memang membingungkan.

Sebenarnya, ramai juga pengguna jalan raya tu ikut cakap dan beringat. Ramai juga yang pandu ikut kelajuan yang ditetapkan, pakai tali pinggang, ada airbag, ketatkan helmet dan sebagainya.

Tapi, kerana orang lain potong double line lalu bertembung, maka berlakulah kecelakaan. Kerana driver lori tu letih, dia langgar kereta atau gilis motor di depan. Kerana pemandu bas tu terlampau mengejar trip, basnya tergolek ke dalam gaung atau menghentam penghadang.

“Kesian yang kena langgar tu ye”
luah simpati seseorang

Berat mata memandang, baru lagi bahu memikul.

* * * * *
Masalah utamanya tetap pada sikap pengguna jalanraya.

Namun apa pula jaminan selamat untuk mereka yang ikut peraturan dan sudah mengambil langkah hati-hati?

Barangkali, kempen dan usaha kita masih kurang dari sudut kebergantungan kepada Tuhan
 
Tuhan perhatikan gelagat kita semua. Dia sediakan sistem ‘SEBAB dan NATIJAH’ untuk mengajar makhluk berikhtiar dan berusaha.

SEBAB dan NATIJAH? Contohnya?
Ada api (sebab), ada la terbakar (natijah)

Ada makan (sebab), ada la kenyang (natijah)

Ada minum (sebab), ada la hilang dahaga (natijah)
Ada pisau yang memotong (sebab), ada la natijah putus benda yang dipotong.
Ada kerja (sebab), ada la gaji dan upahnya (natijah)
Makanya, jika ada usaha dan ikhtiar berjaga-jaga ketika memandu, ada la selamat dan sampai ke destinasinya.
Itu dari sudut saintifiknya. Sistem S & N ini berlaku setiap hari secara konsisten. Jarang benar natijah berbeza dengan sebab.

Setiap hari para tukang masak berjaya menampilkan masakan yang lazat kerana api telah ‘memberikan’ natijah yang sewajarnya.

Setiap kali berbuka puasa manusia akan merasai natijah kenyang di‘sebab’kan makan.
Bagi menghasilkan natijah hirisan timun yang comel ‘lote’, maka pisau digunakan sebagai asbabnya.
Kerana sebab & natijah ini sering konsisten, maka ramai manusia tercelaru, lalu bergantung kepada sebab semata-mata!
Siapa sangka Inspira yang baru ini mengalami kemalangan kerana tayarnya meletup secara tiba-tiba. Sebab sudah wujud, namun Tuhanlah yang menentukan natijahnya. (Credit to ondscene.my)

Tak boleh la macam tu… Jangan lupa bahawa ‘sebab’ adalah system ciptaan Allah. Dan Allah boleh ‘pause’kan natijahnya sekalipun sebab sudah wujud.

“Sudah makan ubat (sebab), tapi batuknya tak lega-lega juga (natijah)” kata saya. Ramadhan kali ni diuji dengan kerap batuk :)
Lebih hebat lagi, terkadang sesuatu natijah itu muncul walaupun dengan tanpa sebab!
Pening kepala terkadang hilang (natijah) secara tiba-tiba walaupun tanpa makan ubat (sebab).
Nak contoh lagi?
Nabi Ibrahim Alayhis Salam pernah dicampak ke dalam api, tapi tak terbakar. 

Sebab (api) sudah ada, tapi natijahnya (terbakar) telah di‘off’kan oleh Allah buat sementara.
Berbalik ke tajuk utama.
Kesimpulannya, janganlah lupakan Allah bila berpergian ke mana-mana. Jauh atau dekat.
Nak-nak pulak di musim raya ni. Kenderaan akan padat di jalan raya. Macam-macam ‘pesen’ pemandu ada. Ada yang cekap, ada yang baru belajar. Ada yang sopan, ada yang kureng. Ada yang cermat, ada yang gopoh.
Banyak udang banyak garam. Banyak orang banyak juga la ragam dan pe`elnya.

Sekalipun kereta dah ada 6 airbag, besinya bukan ‘tin milo’, system brakenya canggih, ikatan tali pinggangnya kemas, itu bukan jaminan manusia bakal mendapat ‘natijah’ yang diharapkan.
Cara pemanduan sudah baik, kenderaan berada dilorong yang betul dan tidak menunggang secara merbahaya, namun siapa dapat menjamin tiada pemandu yang cuai yang merempuh atau menggilis?

Malang itu tidak dapat dihidu dan dikesan. Justeru, bergantung haraplah kepada Tuhan.
Allah memberikan tawaranNya :

فَاذْكُرُوْنِيْ أَذْكُرْكُمْ

Al-Baqarah : 152
Ingatlah Aku, nescaya Aku ingat kepada kamu
Usahlah sekadar berpesan kepada yang tersayang : "Hati-hati bawa kereta ye nak.."
Tetapi selitkankah juga: "Jangan lupa baca doa ye sayang..."


22 Ogos 2011

Solat Sambil Melihat Mushaf...

Sewaktu sedang mengemaskan kedudukan kakiku dalam 'facebook', seorang lelaki separuh umur menyapaku.

Lelaki tu : "Ustaz, saya lihat ramai orang sekarang ni bila solat tarawih mereka pegang al-Quran. Tak de masalah ke ustaz?"

Aku : "Tak de masalah. Solat masih lagi sah. Menyelak helaian mushaf pada waktu tu tidak membatalkan solat, kerana pergerakannya tidak banyak. Selain itu ia boleh membantu untuk tumpu kepada bacaan," Jawabku
ringkas. (ringkas ke tu?)

Lelaki tu : "Owh, Ok ustaz, terima kasih banyak."


Memang begitu. Memegang @ melihat mushaf al-Quran ketika solat tidak mengganggu kesahihan solat. Sesiapa yang perlu, dibenarkan buat.

Bukan sekadar solat tarawih, solat-solat yang lain pun dibenarkan juga.

Ada la sedikit khilaf (percanggahan) di kalangan ulama. Tapi ia berkisar di sekitar harus atau makruh, elok dibuat dalam solat fardu ke atau solat sunat, harus untuk hafiz Quran ke atau bukan hafiz. So, secara kesimpulannya, boleh aje.

Mushaf tadi boleh diletakkan di atas rehal atau dipegang dengan tangan. Cuma kalau nak rujuk atau sujud, sediakan kerusi atau meja di sebelah. Kalau tak, masuk poket atas.


(Ni gambar cadangan. Kalau boleh, tak guna mushaf lagi bagus. Kalau nak juga, letakkan rehal di hadapan) Credit to : warkahsiber.blogspot.com

Ia bukanlah benda asing. Sebab para Tabi`in juga pernah dilihat melakukannya. Dari situ Imam an-Nawawi memutuskan :

لَوْ قَرَأَ القرآنَ مِنَ المُصْحَفِ لَم تَبْطُلْ صَلاتُه سَواءٌ كان يَحفَظُه أمْ لاَ ، بَلْ يَجِبُ عليهِ ذَلك إِذَا لَمْ يحفظِ الْفَاتحةَ

Jika seseorang itu membaca Quran dengan melihat mushaf ketika solatnya, maka solatnya tidak batal, sama ada ia memang hafaz surah tersebut atau tidak. Bahkan terkadang wajib atas seseorang itu melihat mushaf jika ia belum menghafal surah al-Fatihah

Pertanyaan yang melambangkan kesungguhan. Sebuah kotak ilmu telah dibuka dengan kunci pertanyaan.


21 Ogos 2011

Dunia & Akhirat : Sama Tapi Tak Serupa

Di syurga ada susu, di dunia ada Dutchlady, F & N, Hi Goat bagai…

Di syurga ada madu. Di dunia ada Khaula. Ada Masad. Manisnya jangan tanya.

Di syurga ada buah-buahan. Di dunia ada juga.

Sama, tapi sebenarnya langsung-langsung tak serupa!

Inilah apa yang dikatakan oleh ulama, sama pada nama, tapi hakikatnya langsung tidak sama.
Begitu juga api dan bau busuk. Ianya wujud di dunia. Wujud juga di dalam neraka. Sama juga ke?

Semua orang kenal susu dan anggur. Semua orang pernah rasa kedua-duanya. Tapi itu hanya versi dunia. Adapun versi akhirat, manusia hanya kenal nama sahaja. Hakikat sebenarnya masih lagi belum dapat dipastikan. Apa yang pasti ianya teramat-amat hebat!

Syaikh Sya`rawi berkata :


أَمَّا هِيَ عَلىَ الْحَقِيْقَةِ، فَفَوْقَ الْوَصْفِ الَّذِيْ تُؤَدِّيْهِ اللُّغَةُ

Adapun hakikat sebenar nikmat-nikmat syurga, maka kehebatannya mengatasi dan menjangkaui ciri-ciri yang dapat diungkapkan oleh mana-mana bahasa!

(Tafsir Sya`rawi, Surah as-Sajadah, ayat 17)

Unimagine! Tiada perkataan yang mampu menggambarkan nikmat syurga! Habis segala bahasa pujian dan ungkapan dihamburkan, namun tetap tak sepadan dengan yang sebenar.

Begitu juga dengan api neraka.

Siapa yang tak kenal api? Hatta sang belang dalam hutan pun kenal api dan menjauhinya, inikan pula manusia yang berakal.

Api di dunia amat ditakuti oleh si hidup. Ianya kawan ketika kecil. Namun menjadi musuh melawan bila membesar. Tiada yang hidup bila hangus terbakar. Tiada senyuman menguntum bila badan dicucuh dan disambar.

“No Mercy!” kata api, walaupun kepada majusi yang melantiknya sebagai Tuhan.

Majusi dalam bahasa moden juga di panggil Zoroastrian. Mereka masih lagi wujud di Iran.

"Bakor aje!" kata si Usop Wilcha

Sakit, pedih, derita, tak tahan – itulah reflek dari sebuah api.

Namun bagaimana pula dengan api neraka?

Renungi pesanan Rasulullah s.a.w :


نَارُكُمْ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنْ نَارِ جَهَنَّمَ! قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ كَانَتْ لَكَافِيَةً! قَالَ فُضِّلَتْ عَلَيْهِنَّ بِتِسْعَةٍ وَسِتِّينَ جُزْءًا كُلُّهُنَّ مِثْلُ حَرِّهَا

Api yang kamu gunakan di dunia ini suhunya hanyalah 1 per 70 dari api neraka jahannam!

Lantas sahabat berkata : Ya Rasulullah, api yang ada di dunia ini pun sudah cukup untuk menyeksa pesalah!

Baginda membalas : Ya, panas api neraka mengatasi api dunia 69 kali ganda, setiap satu bahagian mempunyai kepanasan yang sama!

Jajarkan ke Kanan

(H.R Bukhari)
Namun hadith di atas seakan kontradik dengan hadith di bawah.


هَذِهِ النَّارُ جُزْءٌ مِنْ مِائَةِ جُزْءٍ مِنْ جَهَنَّمَ

Api di dunia ini, panasnya hanya 1 per 100 dari kepanasan api neraka jahannam

(H.R Ahmad)

“Mana satu ni? Panas api neraka tu 70 kali ganda ke tau 100 kali ganda dari api dunia?!” Tanya sekeping hati.

Sebab tu belajar mesti berguru. Rujukan mesti tepat. Jangan semudahnya membaca buku tanpa guru dan pengetahuan asas!

“Tanyalah ustaz” bak kata TV9. Itu kalau dalam bab agama.

“Tanyalah ahli sains” jika bidang sains yang menjadi kemusykilan.

“Tanyalah cikgu Norizan” kalau kebingungan dalam bab matematik.

Kembali ke trek.

Syaikh Ibnu Hajar menyebutkan bahawa :


الْمُرَاد الْمُبَالَغَة فِي الْكَثْرَة لَا الْعَدَد الْخَالِص أَوْ الْحُكْم لِلزَّائِدِ

 “Maksud 70 x ganda dan 100 x ganda (secara combine) ialah kuantiti yang banyak. Ia bukan semata-mata maksud angka berkenaan atau hukuman tambahan.”

(Fat-hu al-Bari, juz 10, m.s 50)

Berapa darjah celcius itu tak penting. Yang penting ialah kepanasan api dalam neraka tiada taranya. Tidak tergambar dek akal. Tiada bahasa yang mampu diungkapkan.

Yang ada hanya sedikit gambaran buat mereka yang sudi beriman.



لا تُبْقِي وَلا تَذَرُ

Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sebarang sisa!


Al-Muddaththir : 28

Benar, tiada siapa yang sanggup menahan kepanasan dibakar di dunia ini.

Namun yang peliknya, ramai yang seolah-olah ‘bersedia’ untuk dipanggang di ‘sana’.

Kata takut azab, tapi tak takut Tuhan....

Macam mana tu...?

..................................

Miliki Facebook Dengan Harga RM10??

Fuh! fuhhh!!! banyaknya habuk dalam blog ni. Entri terakhir yang masuk ialah pada 9 mac 2011!!?? Sedar tak sedar dah lebih kurang 5 bulan tak terisi....

Itulah yang namanya malas + sibuk + 'baloq liat' dan yang sewaktu dengannya...

Niat asal berblog untuk kongsi info bermanfaat dengan orang lain... Nak cari pahala ekstra melalui penulisan, seperti ulama-ulama kita tu. Tapi kalau tak kena gaya malasnya, blog akan jadi blocked!

Facebook

Oh ya, nak bagitau yang saya baru je ada facebook.

"Apa la, orang lain dah berkurun guna facebook tak kecoh pun, dia ni baru je guna nak kecoh sedunia."

Hehehe, sila add ye....



v


v


v


v


v


v


v


v


v


Hehe, jangan marah... saja je gurau. Enrti ni sebenarnya mood untuk cari semangat baru hidupkan blog dan cari pahala ekstra. Idea selalu datang. Tapi nak menulis tu masya Allah, punyalah malas.

Tahniah pada kawan-kawan yang kekal istiqamah!

Latar Belakang Entri : Sebenarnya, semalam lepas berbuka puasa di sebuah surau, ada orang telah tertukar kasut dengan saya. Kasut kami serupa, warna hitam, kasut separuh penuh, Made by ASADI, Sold in Giant (betul ke grammar tu?).

Walaupun dia tinggalkan kasut dia, tapi saya tak berani ambil sebab ada 2-3 orang jemaah lagi yang memakai kasut yang sama. Bimbang tersilap ambil, saya belilah si facebook tu.... :)

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

Ibnu Kathir  dalam  Al-Bidayah Wa An-Nihayah  (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas...